Thursday, 14 May 2015

KATIL NOMBOR 7

Matanya terpejam. Rapat. Kaku. Wajahnya bening. Seakan sedang bermimpi. Seutas tiub di mulutnya. Seutas lagi dari belakang kepala. Ada sisa-sisa darah dari tiub lutsinar itu. Cair. Mesin-mesin berada di kepala katilnya.

Dia terbaring. Seperti sedang tidur yang sangat nyenyak. Gua memegang tangannya. Terasa suam. Kemudian memberi salam di cuping telinganya. Perlahan. Sangat perlahan.

"Assalamualaikum, kawe maghi ni...."
Kelopak matanya seperti bergerak, sedikit. Kemudian diam kembali. 

Begitulah ... seorang sahabat. Walaupun sedang tidur, masih meraikan kedatangan sahabatnya. Cuma kali ini, dia hanya meraikan kedatangan gua dengan sedikit gerakan kelopak matanya. Itu sahaja.  Pendarahan di belakang kepalanya seakan rawana jahat yang terus-terusan menariknya untuk terus memejamkan matanya.

Kemudian, kesan komplikasi pendarahan otaknya mula menyerang buah pinggangnya. Buah pinggangnya mulai enggan bekerja. Mesin terpaksa digunakan.

Dan matanya masih terpejam. Dia masih lena di katil nombor 7.

Dan hari ini ... beberapa detik sebelum muazzin menyambut kedatangan asar, dia benar-benar lena. Lena yang sangat panjang. Kelopak matanya terus terpejam. Tak akan memandang lagi. Meninggalkan helaian daun kenangan yang tetap merimbun di hati para sahabat.

Sahabat, selamat tidur. Kau meninggalkan aku tanpa sempat berpamitan.

*rahimidin zahari, seorang penyair. seorang budayawan. seorang sahabat. kembali ke sisi-Nya.

https://m.youtube.com/watch?v=qypAaDUpV7oRahimidin Zahari

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...