Hari ini. Gua sangat letih. Terbang dari Tanah Serendah Sekebun Bunga. Tiba di bumi KLIA dan hanya untuk mendengar dicorong henfon beberapa kerja yang sepatutnya sudah diberesi, tapi masih tersadai.
Lalu, perjalanan gua yang sepatutnya menuju ke rumah, terpaksa dilencongkan ke kantor.
Kulit tersangat melekit dan belengas. Mata terasa panas dan memerah. Rongkong terasa kering. Tenaga badan yang berada pada takat negatif.
Kemudian harus membelek sehelai demi sehelai kertas yang bertimbun di atas meja. Membuat pembetulan itu ini. Memotong sana sini. Menambah apa-apa yang tertinggal. Mencantikkan apa-apa yang janggal.
Tanpa pendingin hawa. Hanya bilah-bilah kipas yang berputar. Tiada suara manusia.
Melewati tengah malam, kerja-kerja tersadai masih belum lunas. Kulit semakin berlengas. Bola-bola mata semakin panas dan memerah. Tenaga badan semakin merudum.
Berhenti seketika, sekali-sekala. Hanya untuk melihat tiang-tiang lampu jalan.
Tadi malam, di tingkat 17 Hotel Reinasance Kota Bharu, gua berjanji dengan Puteri Kecil untuk pulang pada petang hari dan membawanya berlibur. Tentunya, Puteri Kecil sedang lena sekarang ini dan membawa janji gua ke dalam mimpinya.
Tiada liburan seperti yang dijanjikan. Anak yang sekecil itu takkan faham apabila diceritakan kesibukan urusan kerja bapanya. Anak yang sekecil itu hanya tahu merenggek untuk dibawa berjalan-jalan.
Pada jam 12.30 tengah malam, Ahad, gua masih terkebil-kebil menyudahkan kerja-kerja yang digendalakan orang.
Lewat awal pagi, gua sampai rumah. Melihat Puteri Kecil yang lena bermimpi, gua termenung tanpa sebab. Apakah gua sudah semakin jauh daripadanya tanpa gua mahu dan gua sedar?
Perlahan-lahan, gua mencium pipinya.
Seperti malam-malam yang lain.
Siri percakapan daripada seorang manusia kecil, Dihimpun sesuka hati dia. Dia belasah apa-apa sahaja. Dia memuji apa-apa sahaja. Dia memaki apa-apa sahaja. Kadang menjadi seorang rebel. Kadang-kadang menjadi seorang romantikalasofa. Kadang-kadang bercita-cita ingin menjadi seorang angkasawan. Kadang-kadang bercita-cita menjadi Tok Peran dalam Makyung.
Sunday, 24 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
TAKDEER
Takdir memang indah. Ada takdir yang datang dalam sebatas senyuman, ada juga yang datang dalam kehilangan yang tak bertepi. Kedua-duanya t...
-
Gua sudah lupa nama dia. Tapi susuk wajah dan binaan tubuhnya, gua masih ingat. Hari itu hari pertama cuti penggal persekolahan. Asrama SM...
-
GUA AKAN CARI LU SAMPAI GUA DAPAT. GUA TAK MAIN-MAIN LAGI KALI INI>
No comments:
Post a Comment