Monday, 25 April 2011

Setanah tidak Senafas.

Tubuhnya kecil sahaja. Baju sekolahnya selalu menggelibir keluar dari seluar hijau sekolahnya yang lusuh. Gua tak pernah mengajarnya. Gua hanya mengajar tingkatan 6. Dia ketika itu berada di tingkatan 4.

Gua selalu memerhatikannya. Dia dipandang sebagai seorang pelajar yang selalu bikin kacau kepada guru-guru. Dia selalu dikatakan pemalas. Kerja rumah tidak pernah disiapkan. Lantaran itu biik guru menjadi kelasnya yang kedua. Dia selalu dipanggil dan dimarahi. Malah kadang-kadang dengan sumpah seranah dari guru.

Gua hanya memerhatikannya.

"Kau ni bodoh macam tahi!" seranah seorang guru disiplin. Gua mendengar dari jauh. Dia yang bertubuh kecil, hanya diam. Dia tak mengeluarkan sepatah kata. Dari tempat duduk gua, gua tengok ke mukanya. Gua tahu, jauh dalam hatinya, dia sangat kecewa dengan seranah yang sebegitu.

Gua hanya memerhatikannya dari jauh.

Dan saban minggu, boleh dikatakan dia akan selalu dimarahi dan diseranah.

Suatu ketika, gua berkesempatan menghampirinya.

"Kenapa dengan kamu ni Lias?" gua tanya ketika dia duduk-duduk di bawah pokok semarak api. Dia tak menjawab. Dia hanya senyum sahaja.

Kemudian gua sambung,"Saya tahu, kamu selalu tidur lewat. Kamu menolong bapa kamu menyapu sampah, kan?" gua kata. "Kerana itu kamu selalu bangun lewat, dan selalu lewat datang ke sekolah. Kerja rumah pun kamu tak sempat nak siapkan," gua kata.

Dia tidak memandang gua. Dia menunduk kepalanya. Mungkin melihat kasut sekolahnya yang sudah koyak di hujung.

"Sia ramai adik-adik ba cegu. Kalau sia nda membantu bapa sia menyapu sampah, siapa lagi yang mo membantu. Sia kasian ba sama baliauku. Biarla sia dimarah cegu-cegu sebab nda pandai menyiapkan karja rumah. Sia bukan berjaga malam membuat karja-karja yang nda baik. Sia menolong bapa sia," dia kata.

"Tak apa la Lias. Tak ramai cikgu yang paham itu.Saya tahu kamu selalu menolong bapa kamu menyapu sampah di Bandar Ramai-Ramai dan Jalan Leila," gua kata. Gua senyum.

Dia mengangkat mukanya. Dan dia tanya gua, "Mana cikgu tahu?"

Gua tak menjawab pertanyaan dia. Gua hanya senyum dan meninggalkan dia di bawah pokok semarak api. Gua tinggalkan dia sekejap di bawah dunianya sendiri. Dunia yang jarang-jarang orang cuba mengambil tahu. Dunia yang tak ramai cikgu ingin mengambil tahu.

Kemudian, di tingkatan 5, dia masih bergelut dengan situasi yang sama. Dia tetap menjadi sasaran maki hamun guru disiplin. Dia tetap dianggap sebagai 'penjahat' oleh guru kelasnya. Dan kesannya, dia menjadi jauh dari sekolah. Dia kerap tidak hadir ke sekolah. Kerja rumah yang diberikan juga tidak pernah disiapkan.

Dan gua hanya memerhatikannya dari jauh. Gua melihat betapa seorang anak Sabah yang bergelut untuk hidup, tetapi tiada siapa yang cuba untuk memahaminya. Melainkan sumpah seranah dan kata-kata sindiran, tiada apa-apa perkataan yang elok yang keluar dari mulut kebanyakan guru.

Dia menjadi sangat jauh dari sekolah. Dia semakin jauh dengan dunia yang boleh membawanya keluar dari lingkaran setan miskin dan terhimpit. Dan akhirnya, SPMnya hancur lebur.

"Lias, kau tak boleh berhenti setakat ini. Bapakmu tentu sekali akan kecewa dengan SPMmu. Adikmu, si Salamiah, pelajar yang cemerlang. Saya tahu, kamu juga boleh menjadi secemerlang adik kamu. Cuma kamu perlu usaha sedikit sahaja lagi. Salamiah dan kamu berkongsi bapa yang sama. Ibu yang sama. Kamu semua dididik oleh bapa yang sama. Aku tahu, ini bukan penghujung untuk dunia kamu. Kamu boleh pergi ke mana-mana sahaja, kalau itu yang kamu mahu. Tapi kalau kamu hanya ingin berhenti sahaja di sini, meneruskan kerjaya bapak kamu sebagai penyapu sampah... maka itulah dunia kamu. Tapi kalau kamu ingin ke hujung dunia, kamu juga akan sampai ke hujung dunia, asal sahaja kamu tidak berhenti di sini," gua kata kepadanya. Matanya merah, tanda dia berjaga malam.

Kemudian, dia meneruskan kehidupannya. Yang gua dengar, dia gigih belajar sendiri. Dan dia tetap dengan dunia dia, menolong bapanya menyapu sampah. Cuma waktu itu, tiada lagi sumpah seranah dari guru disiplin. Dia meneruskan kegigihannya dengan mengambil STPM. Dia bekerja sendiri untuk menampung pelajarannya yang diambil secara persendirian. Pusat Tuisyen Purnama menjadi tempat dia meneruskan hidupnya yang terbantut semasa di sekolah. Cikgu Mansor, seorang guru tuisyen, seorang guru yang tidak pernah mendapat pendidikan formal untuk menjadi seorang guru yang baik, seorang guru yang berasal jauh dari Bumi Sabah, menjadi pembakar semangatnya.

Akhirnya, seperti adik perempuannya yang telah berjaya ke UUM, dia pula berjaya ke fakulti ekonomi di UM setelah cemerlang dalam STPM.

Setiap kali pulang apabila bercuti panjang, dia tetap membantu bapanya menyapu sampah.

"Kamu tak berasa malu ke menyapu sampah ni?" gua tanya. Ketika itu gua terserempak dengannya yang berpeluh-peluh menyapu sampah di kaki lima bangunan kedai di Bandar Ramai-Ramai.
"Sia biasa suda ba cikgu. Lagipun, sia cuma ingin menolong baliaku jak ni. Kasi ringan sikit dia punya karaja. Mimang sia belajar di U suda, tapi sia tetap seorang anak penyapu sampah," dia jawab.
"Sia mo menolong baliaku. Banyak suda pengorbanan yang balaiau berikan kepada kami adik beradik. Sia harus menggembirakan baliaku. Sia mesti..." dia sambung lagi.

****
Di Wangsa Walk, gua pekena teh tarik dengan Cikgu Mansor.
"Lias sudah jadi cikgu. Salamiah pula sedang buat Masters di UUM. Mereka adik beradik membelikan sebuah apartment untuk bapak diorang. Dan sekarang ni, bapak diorang akan pergi menyapu sampah dengan kereta yang dibelikan oleh anak-anak," kata Cikgu Mansor.

Gua teringat semula seorang remaja lelaki bertubuh kecil, bermata merah, beruniform selekeh yang selalu berdiri di hujung bilik guru. Seorang remaja lelaki yang dikatakan 'bodoh macam tahi' oleh guru disiplinya sendiri, seorang guru yang berasal dari tanah yang sama, tetapi tidak punya alur rasa untuk mendalami jerit perih anak-anak yang setanah dengannya.

3 comments:

  1. dulu gua ucap salam dengan seorang cikgu tingkatan 6 gua
    "Asalamualaikum cikgu"
    cikgu baru tu jawab
    "jangan anggap saya macam kau punya abang!"

    gua masih konpius kitab mana dia belajar lagu tu dia jawab.......

    ReplyDelete
  2. Gua bukan seorang guru yang terpilih dan terbaik. Tapi gua selalu memilih untuk masuk ke dalam diri anak-anak Sabah. Apa yg gua lakukan selalunya banyak mengundang pandangan sinikal para sahabat guru yang lain. Tapi gua tak kisah. Sikit pun gua tak kisah!

    ReplyDelete
  3. saya budak sabah, sekolah pendalaman, cerita cikgu semua saya baca, semuanya betul dan dapat saya selami, walaupun saya bukan d sandakan...di mana ceruk sabah pun ceritanya ttp sama...jadi perlu saya ucapkan terima kasih kepada cikgu, kerana menyelami hidup kami budak2 sabah...kurang yg mengerti!!

    ReplyDelete

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...