Monday, 9 August 2010

Kosmetik Kehidupan

[i]

Di sana, dia kata tali gitarnya putus. Gua senyap dan diam sahaja.

Di sini, beberapa jam kemudian, tali gitar gua pula yang putus.

Ah, kebetulan yang berlaku lagi sekali!

Gua ganti sendiri tali yang putus. Untuk malam itu, gua masih lagi sempat untuk menghabiskan ritma yang tergendala.

Kemudian, malam besoknya, tali gitar gua putus lagi.
Di sana, dia kata dia belum sempat menggantikan tali gitarnya yang putus. Sangat sibuk, kata dia.
“Oh, patutlah tali gitar aku asyik putus. Rupanya kamu belum menggantikan tali gitar kamu,” kata gua via ruang siber.
“Kamu yang tak tunggu aku pergi menggantikan tali gitar,” dia balas, via ruang siber.
“Hahahahaha…jarak sangat jauh untuk aku menunggu kamu,” balas gua.

Kemudian senyap.

[ii]

Gua terfikir mungkin Elixir yang gua gunakan tidak mampu menahan pick gitar yang bergerigi [akhir-akhir ini gua dalam keasyikan menggunakan pick gitar yang bergerigi lantaran kesan tonenya yang lebih bagus, seperti menggunakan 12 tali]. Kali ini gua terfikir untuk menggunakan Ernie Balls. Mungkin lebih lasak. Dan mungkin tonenya sebagus yang dijana Elixir.

Sebaik sahaja langit menjadi gelap, gua memandu ke arah Bukit Bintang. Ada satu music store di sana. Gua bercadang untuk ke sana, menggantikan tali gitar gua sambil melihat-lihat gitar yang dijual.

Seperti biasa, Bukit Bintang sangat sarat. Kaki lima di Bukit Bintang tidak pernah tiada manusia. Di bahu gua, gitar gua yang berbungkus dengan beg berwarna hitam. Apabila berjalan di kaki lima Bukit Bintang dengan menyandang gitar letrik di bahu, gua seperti seorang pemuzik yang kehilangan kelab!

Di dalam music store itu, gua terserempak dengan Edrie Hashim. Gua angkat tangan gua, dia membalasnya.
“Gua nak amik Epiphone. Diorang sponsor,” kata Edrie. Gua senyum-senyum. Dalam hati, gua fikir, alangklah nikmatnya jika mempunyai nama yang gah. Serba-serbi ditaja.

“Bro…lu dah tau tentang Os?” Edrie tanya gua.
“Tak, gua dah lama tak jumpa dia. Kenapa? Pehal?”. Gua balas. Os atau nama sebenarnya ialah Firdaus, gitaris Republic of Brickfield sebuah kumpulan yang memperjuangkan irama raggae.
“Dia kantoi lagi ?” gua tanya.
“Tak. Dia dah lama clean,” kata Edrie. Matanya merenung gua.
“Os dah meninggal. Sakit paru-paru. Baru semalam. Dia meninggal di Hospital Sungai Buluh,” sambung Edrie lagi.
Gua terdiam.

Dari Allah kita datang, kepada Allah juga kita akan kembali.

[iii]

Firdaus ini seorang mamat yang genius. Dia antara pelajar yang sangat pintar. Selesai sekolah rendah, dia menyambung pelajarannya di Sekolah Datuk Abdul Razak, sebuah sebolah berasrama penuh untuk anak-anak terpilih. Tetapi Firdaus telah memilih untuk menjadi orang muzik. Dan dia benar-benar memilih muzik sebagai jalan untuk dia meneruskan kehidupan sedangkan kawan-kawan sekelasnya yang lain memilih untuk menjadi pembikin wang.

Tetapi realiti dunia muzik di Malaysia, kalau tiada berita sensasi atau lagu-lagu putus cinta mendayu-dayu, lu tak akan punya ruang untuk bernafas. Lu tak akan ada ruang untuk hidup mewah. Jadi, Firdaus telah memilih untuk menjadi seorang busker. Dia selalu busking di Pasar Seni. Setiap hari dia akan busking di sana.

Kemudian, sekitar tahun 2004 [2005?], gua sering terserempak dengan Firdaus sedang busking di Jalan Alor. Setiap malam dia busking di situ.

Pada suatu malam, gua sengaja menunggu dia habis busking di Jalan Alor. Gua hanya menunggu dia pada jarak yang agak jauh. Jalan Alor seratus peratus diisi oleh gerai orang Cina. Perut babi salai yang bergantungan, bubur katak, asap dan aroma masakan yang entah apa-apa, tidak mahu gua sumbatkan ke deria bau gua.

Selesai Firdaus busking, gua mengajaknya berehat sebentar di sebuah kedai mamak. Firdaus nampak ceria.
“Collection aku bagus malam ni,” dia kata dengan mata cekung yang bercahaya.
Gua melihat Firdaus. Mukanya cekung. Tubuhnya sangat susut. Fizikal Firdaus sangat berbeza.
“Lu main ubat ke?” gua tanya.
Firdaus tak menjawab. Dia hanya bersandar santai. Apabila dia diam, dia sebenarnya sudah memberikan jawapannya. Gua sudah tau jawapannya.
“Kalau gua clean, gua tak akan busking siang malam. Penat. Tapi gua harus mencari sen. Ubat sekarang ni susah mau dapat. Sennya sangat mahal,” Firdaus berkata dengan suara yang sangat mendatar.

“Kenapa? Lu dah tak mau kawan sama gua lagi? Lu jijik dengan gua?” Firdaus tanya tiba-tiba.
Kemudian gua kata, “Lu macam la tak kenal gua,”.

[iv]

Bagi gua, samada lu seorang penagih dadah atau perempuan malam yang berdagang tubuh, gua memandang semua itu sebagai kosmetik satu kehidupan. Lain orang, lain kosmetik hidup mereka. Bagi gua, orang yang menagih bukannya orang yang harus dijauhi dan dipandang dengan penuh kejijikan. Mereka adalah orang-orang yang sedang sakit. Orang-orang yang sakit tidak harus dijauhi. Orang-orang yang sakit harus didekati dan ditolong. Bagi gua penagih dadah seperti Firdaus ini jauh lebih baik daripada para haiwan politik yang sanggup menjual Tuhan demi meraih undi. Penagih dadah seperti Firdaus ini tidak menelan harta rakyat sesuka hati. Orang-orang seperti Firdaus tidak kenal apa itu C4 dan apa itu komisen jualan kapal selam buruk. Orang-orang seperti Firdaus ini tidak tahu meraba punggung perempuan pelayan di restoran mewah.

[Dan tentang perempuan malam, nanti gua ceritakan pada masa yang lain.]

[v]
Firdaus kantoi. Dia kena cekup.
Kemudian dia membaiki dirinya di rumah PENGASIH.

[vi]

Hari ini Firdaus a.k.a. Os pemetik gitar Republik of Brickfield sudah tiada.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...