Monday, 2 August 2010

Bukit Bintang

Berjalan-jalan dan merayau-rayau di Bukit Bintang pada waktu malam, sebenarnya tiada apa-apa yang menakjubkan. Kaki lima yang penuh sesak dengan manusia yang pelbagai raut muka, mendengar pula pelbagai bahasa dari mereka bukanlah suatu perkara aneh, sekurang-kurangnya untuk gua.

Dan pada malam itu, sekadar untuk menjadi peneman kepada seorang kawan, gua telah dengan rela hati menjadi pemandu pelancongnya untuk ke Bukit Bintang. Di dalam kereta dia berkali-kali mengeluh tentang segala urat dan tulang-temulangnya berasa lenguh-lenguh lantaran baru sahaja menamatkan satu pemanduan yang sangat jauh. Manakala besoknya pula dia harus ke KLIA untuk terbang ke seberang Laut China Selatan.

Kemudian merayap-rayap di kaki lima di sepanjang bangunan kedai di Bukit Bintang, gua dengan dia telah dikerumuni oleh para tukang jemput untuk merasa segala jenis urutan. Gua hanya mengeleng-gelengkan kepala apabila dipelawa walaupun sambil berjalan itu tawaran harga untuk khidmat urutan turun dengan mendadak. Dan apabila ditanya oleh kawan gua, bagaimana urutannya, gua hanya mengangkat kedua-dua bahu gua kerana gua tidak tahu. Tapi gua tidak akan berasa apa-apa kalau kawan gua itu ingin mencuba, dan gua tetap akan memilih untuk tidak masuk bersamanya. Bukannya gua seorang manusia yang sangat baik lantas tidak mahu diurut oleh para perempuan, tapi memang gua yang tidak suka akan hal-hal sebegitu. Dan malam itu, gua masih lagi dapat bertahan dan masih lagi tidak tahu apa sebenarnya yang ada di sebalik perempuan-perempuan si tukang urut tersebut. Dan sesuatu yang menjadi persoalan gua ialah, mengapa hanya pejalan kaki daripada kalangan lelaki sahaja yang dihampiri mereka, tetapi tidak pejalan kaki wanita? Bagi gua, gua melihat jawapan daripada persoalan itu ialah ada sesuatu yang sedang ‘bermain-main’ di situ.

Malam itu gua tidak langsung tertarik dengan ajakan si tukang jemput mengurut. Gua lebih tertarik kepada alunan muzik yang dimainkan oleh sekumpulan seniman dari Peru di seberang jalan. Di persimpangan lampu isyarat, di hadapan Maybank, di seberangnya ialah MacD, dan di atasnya jentera monorel yang melintas, gua terpacak mendengar ritma lagu rakyat Peru. Sehabis setiap lagu yang dimainkan mereka, hanya gua seorang sahaja yang bertepuk tangan. Gua tidak peduli, sebab tepukan daripada gua itu ialah sebagai tanda penghargaan gua untuk mereka yang mempersembahkan suatu ritma yang tak pernah gua dengar. Nampaknya hanya gua dan seorang lelaki negro kurus tinggi dan berkepala botak sahaja yang menghargai muzik yang dimainkan mereka. Tapi negro itu rasanya lebih menghargainya kerana dia telah meliang-liukkan tubuhnya menari mengikut ritma lagu yang dimainkan. Dan gua terus terpacak di situ dan menikmati ritma demi ritma.

Kemudian menyusur lagi kaki lima bangunan di sana, menyusur di tepian Low Yat, telinga gua tertangkap bunyi live band. Lagu yang dilantunkan ialah lagu-lagu Melayu 90-an. Gua tertinjau-tinjau dari mana bunyi itu datang. Dan akhirnya gua ternampak tiga orang anak muda dan seorang awek berada di tepi sebuah food court sedang asyik bermain muzik. Bagi gua, ini sesuatu yang sangat menarik; live band di sebuah food court. Maknanya, kalau gua duduk-duduk di situ sambil mencicip segelas nescafe o kurang manis dengan harga seratus dua puluh sen, gua sudah boleh melayan live band sampailah gua boring. Tidak perlu lagi masuk ke kelab dan memesan sejag coca cola yang berharga hampir sepuluh ribu sen!

Dan satu lagi yang sangat menarik perhatian gua ialah, setelah sekian lama gua tertanya-tanya ke mana perginya para tukang urut kaki Melayu, maka malam itu gua sudah tahu jawapannya. Mereka semuanya sudah terlontar ke belakang bangunan kedai dan sangat tersembunyi dan jauh dari pandangan para pelancong. Seingat gua, tiga atau empat tahun yang lepas, para tukang urut kaki Melayu inilah yang mempelopori urutan kaki di kaki lima bangunan kedai di Bukit Bintang. Sambutan daripada para pelancong dan warga tempatan sangat meriah. Ada yang terpaksa berbaris menunggu giliran. Namun kemudiannya, satu demi satu premis-premis di kaki lima itu disewa oleh bangsa Cina dan mereka telah membukanya sebagai pusat urutan kaki. Dan para pengurutnya pula ialah perempuan-perempuan yang entah dibawa dari mana dan entah apa yang diurut mereka.. Tidak lama kemudian, para tukang urut kaki Melayu di kaki lima ini tidak lagi gua nampak, sehinggalah pada malam itu baru gua tahu di mana mereka….mereka terlontar di belakang bangunan kedai lantaran tidak mampu untuk bersaing untuk menyewa premis kedai di segi tiga emas negara. Kadang-kadang gua tertanya-tanya, mengapakah terlalu payah untuk mencari rezeki buat anak-anak peribumi di bumi sendiri?

Selain disapa oleh tukang jemput untuk mengurut berlesen (?), gua juga beberapa kali disapa oleh beberapa orang apek separuh umur yang bertanyakan “Mau amoi? Cantik-cantik, muda-muda. Boleh tengok-tengok dulu”. Para apek separuh umur ini telah menyebabkan gua tertanya-tanya, apakah susah sangat untuk menghapuskan sarang pelacuran di Bukit Bintang? Kalau di Brickfield, pihak berkuasa boleh menyerbu masuk dan memecahkan bilik-bilik yang dijadikan tempat persundalan, memutuskan bekalan air dan elektrik, merampas segala peralatan yang ada di sana, mengapa tidak juga dilakukan perkara yang sama di Bukit Bintang? Mengapa susah sangat? Daripada menembak budak yang memandu kereta pada awal pagi, lebih baik pihak polis menggempur tempat-tempat persundalan di Bukit Bintang. Atau apakah wujudnya perbezaan kelas layanan di sini kerana premis persundalan di Brickfield nampak hamis dan kotor dan lebih dipanjat tangganya oleh para jantan gersang yang berpendapatan rendah. Dengan nilai 30 ringgit hingga 40 ringgit mereka boleh melampiaskan nafsu mereka. Tetapi di Bukit Bintang, berbilik berharwa dingin, tab mandi yang ada pancuran air panas dan air sejuk, tilam yang empuk dan bilik yang luas dan dengan harga serendah 198 ringgit sehingga ribuan ringgit untuk seorang perempuan, maka persundalan di Bukit Bintang menjadi sesuatu yang sangat ekslusif dan tidak boleh dikacau!

Kadang-kadang gua sendiri pun bingung dengan dunia seputar alam di bumi Malaysia yang indah permai ini!

Di jalan Alor, Bukit Bintang, di belakang Hotel Radius International, gua berhenti sekejap di sebuah gerai gurger untuk melepaskan lelah. Sambil menanti burger yang dipesan, gua menyedut 100 plus dari tinnya. Sambil menanti burger, gua memandang Hotel Radius International itu.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...