Friday, 14 November 2025

MENELAN MAAF

 


Daripada menebak siapa yang pertama menodai tenang, lebih baik kita potong saja salahnya, dan mengunyah maaf yang pahit itu.  Perlahan-lahan.  Sebab nanti, di hujung dendam itu tiada sesiapa pun yang boleh dijulang sebagai jaguh.  Bahkan, yang lidah titiskan nanti bukan lagi kata-kata, tetapi darah. Hamis. Meloyakan. Lantaran harus menyebutkan nama yang seharusnya dilupakan.

Wednesday, 12 November 2025

TIDAK MENGAPA

 





Mari kita rayakan hal-hal kecil, meski tak ada yang bertepuk tangan. Dengan segelas kopi yang tak tumpah, dan nafas yang masih sempat dihela, mari kita rayakannya. Tidak mengapa kalau sepi. Tidak apa-apa jika tak difahami siapa-siapa. Kita sudah cukup hebat, kerana mampu bertahan tanpa panggung, terus tega tanpa sorak, dan tahu waktunya kita harus meninggalkan pentas.

Tuesday, 11 November 2025

TAKDEER

 



Takdir memang indah. Ada takdir yang datang dalam sebatas senyuman, ada juga yang datang dalam kehilangan yang tak bertepi. Kedua-duanya tetap indah. Cuma cara kita melihatnya yang berbeza. Apa-apa pun bentuknya, dan bagaimana ia datang, semuanya daripada Allah Yang Maha Mengetahui. Kadang kita tak faham mengapa sesuatu itu terjadi. Lalu kita pun rasa punah, kita rasa arah yang ingin dituju sudah hilang daripada pandangan. Tapi suatu hari nanti, kala masa sudah berlalu, kita “kan menoleh ke belakang dan berkata dalam hati, ‘Sunhanallah, kalau bukan kerana itu, aku tak ‘kan jadi seperti hari ini.’


Itulah takdir. Kelihatannya berat, tapi di sebaliknya tersimpan hikmah yang indah. Allah tak pernah menulis takdir untuk menyakitkan kita. Dia menulisnya untuk menguatkan kita. Dan kala kita belajar untuk reda, kita akan sedar … setiap takdir-Nya itu, walau pahit pada awalnya, tapi akan berakhir dengan keindahan yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata….


Monday, 10 November 2025

PERI-PERI YANG MENJADI MERPATI

 





Dan. Ia pun pergi. Seperti selalu. Ia seperti sebuah buku yang halamannya sudah dibaca. Lalu ditutup untuk dibuka lagi pada suatu hari nanti. Dan juga seperti suatu perjalanan pengalaman yang kita mulai semalam, tetapi tak tahu jalan hujungnya walaupun kita pasti titik penamatnya ada di sana.


Lalu aku hanya berjalan sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, disapa oleh suara yang tak pernah pun aku dengar. Atau, oleh suara yang lama bersembunyi, tetapi mengintai-intai dari sebalik sehelai tirai tipis. Dan. Aku pasti kilas di sebalik tirai itu ialah sepasang matamu. Lama menghilang. Tanpa suara yang tiba di sini. Mengkhabarkan adakah di tanah hujung ada ribut, ataupun sentiasa tenang?


Suaramu sunyi. Tapi aku mendengarnya dari sini. Adakah engkau masih besembunyi di tempat rahsiamu, sesekali? Atau, adakah tempat rahsiamu itu tidak lagi menjadi rahsia? Lalu engkau membukanya dan membiarkan angin segara menyerbu masuk? 


Walaupun aku tidak lagi mempunyai ingin mencari jawapan, tetapi aku dapat merasainya. Tidak perlu kepada suara, cukup dengan suatu bisikan halus.


Maka jadilah ia seperti seekor merpati yang tugasnya menghantar bingkis. Tetapi sayapnya kepatahan dipukul pawana dari arah matahari terbit. Lalu bingkisan itu terus utuh di ranting kakinya. Terus ada di situ sementara menunggu tumbuhnya sayap baru untuk dia megepak lagi. 


Seperti merpati yang patah sayapnya, bingkisan yang dikirim tak pernah tiba. Tiada lagi.

Tiada desir bayu.

Tiada butir-butir hujan.

Tiada juga bayang-bayang.


SELAMAT KEMBALI KEPADA SELAMAT DATANG

  tiada apa-apa yang harus aku kesali untuk hari-hari 2025 kerana aku mengenggam akan rasa yakin "tuhan tidak kejam" yang datang d...