Monday, 29 September 2025

BULAN DI SEBALIK ANGIN

 


Bulan juga kadang-kadang tidak bermain dengan angin. Atau, melontar pandang kepada sang pungguk yang saban malam menyerunya untuk turun ke bumi. Tiada apa-apa yang harus dinanti. Bulan tetap akan berada di dada langit. Pungguk mungkin terlupa betapa anggunya diq pada malan hari, bertenggek di dahan paling tinggi di pokok ara. Atau, mungkin sahaja dia tidak mengetahuinya. Tidak tahu yang ia makhluk Tuhan yang paling anggun. Bertuah tetapi sering bertingkah adat pandangan manusia. Apabila sahaja pungguk berlagu pada malam yang sunyi, maka para ibu pun cepat-cepat menyeru anaknya mengunci mulut. Sambil pelbagai cerita pelik keluar daripada mulutnya.

          Ahhh….cukuplah membebel. Dunia tak akan berubah dengan kata-kata. Dunia juga tidak akan berputar songsang lalu kembali ke masa silam. Maka, melangkahlah. Usah bercanda dengan kerang-kerangan yang meninggalkan cangkerangnya di pinggir pantai. Kelak kakimu sendiri yang tercucuk lalu terluka. Meninggalkan setiap tetes darah di atas bekas injak telapak kakimu.

            Kata orang, ada pohon pauh janggi di dasar lautan sana. Begitulah yang diceritakan para leluhur. Benarkah? Benarkah ada pauh janggi tumbuh mengakar lalu meninggi di dasar lautan lepas? Jawapannya janganlah kita sandarkan pada hukum logik zaman sekarang. Kembali sahaja ke zaman leluhur yang hidup dikurung oleh feudalisme.

Sunday, 28 September 2025

TENTANG ANGIN

 

Terbanglah bersama angin. Angin tak pernah berbohong. Apabila tiba musimnya ia akan bertiup datang. Apabila tamat musimnya, ia akan pergi tanpa lengah. Cuma kadangnya pemergiannya tercepat, kadangnya sedikit lewat. Yang pasti, tidak perlu dinanti janji para angin  untuk dilunaskannya. Beri saja kepercayaan kepadanya. Angin bukan seperti mulut manusia, yang didalamnya terhampar sekujur lidah. Tiada tulang. Lembut pada zahirnyq tapi mampu mengeluarkan patah-patah yang sangat keras. Adakalanya bertingkah kejam. Serta tajam. Dan penuh bisa. Yang mampu menggugurkan kuntum-kuntuk kasih ke bumi. Mengering. Kemudian dimakan para ulat. Lalu menyebatikan dirinya dengan tanah. Diam di situ. Menunggu tiba giliran. Disemikan benih-benih baru. Bertunas. Bercanbah. Lalu menjulang ke langit. Menjadi saka yang tegap. Teguh. Namun, datangnya angin berkembar taufan. Menguji ampuhnya dahan. Teguhnya ranting. Datang menyerbu si ribut. Kadang bertingkah waktu. Selalunya bertali arus tanpa henti. Lalu, sang saka yang teguh berdiri. Yang dahannya ampuh. Yang rantingnya teguh. Kecundang juga dengan kuatnya alam.

Saturday, 27 September 2025

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

 


Dan. Hujan. Pun. Gugur.

        Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.  Biarlah tetes bersatu dengan tetes yang lain dan yang lain dan yang lain, lantas mereka pun mencari alur paling dekat dengan sumur. Mencari tempat  yang sepatuynya dia berada. Walau berbatu  laluannya berliku, akhirnya tempat asal datangnya juga yang dia akan berdiam.  Alun gemalai.  Bayu segar. Kicaun unggas.  Daun kering. Gemeresik bambu … biarlah terus berdiam di situ. Aku ingin kembali menciumi bau tanah di pergunungan. Melihat embun yang hilang perlahan-lahan di hujung daun. Mendengar air bernyanyi di sebalik batu. Berhenti sekejap. Berteduh di bawah silara. Memanggil semula hembus nafas yang tertinggal. Denai becak selepas turunnya hujan ialah taman permainan indah yang tidak akan pernah difahami orang lain. Biarlah aku terus di situ. Meninggalkan segala kelam di belakang. Lalu menghilang pergi. Dan aku tak mahu lagi pamit. Atau mengucapkan selamat tinggal. Aku juga ingin menyimpan kata-kata, aku sayang kamu, yang aku ucapkan saban pagi setiap kali nafas pertama hari itu aku sedut. Aku akan menyimpannya. Dan aku harap Tuhan izinkan aku untuk membuang rasa itu…

Friday, 26 September 2025

LET IT BE

 




Rasa ingin tahu itu, aku simpan dalam-dalam. Biarlah ia tetap kekal sebagai rahsia, untuk aku. Aku tak ingin berkirim tanya. Mencari usul pada angin. Atau mengirim soal pada deru. Walau aku tahu. Banyak yang di sana. Atau di sini menunggu ketibaan tanyaku. Untuk dimuntahkan segala yang jijik. Sekadar untuk kepuasan diri. Namun, bagi aku. Itu semua tidak perlu. Bukan kerana sombong menyergup diri. Atau ingatan telah dihumban ke dalan rawa hanyir. Rasa itu tetap diam di tempatnya. Hanya sekadar ingin ingin berdamai. Berdamai dengan kemarahan. Dan dendam. Dan kecewa. Kata orang, waktu akan menyembuhkan luka. Dan aku percaya akan tertibnya waktu.

Thursday, 25 September 2025

Katakata




 

Adakalanya ”sayang” ini tdak diucapkan dengan kata-kata. Atau, ditunjuk dengan tingkah laku. Ada juga sayang itu ialah suatu kesenyapan. Sunyi tanpa suara. Terselindung di sebalik bayang-bayang duka semalqm yqng kita heret saban waktu. Kita ingin melepaskannya. Namun bisikan dari hati yang paling dalam meningkah, “usahlah.” Lalu kita sedar yang rasa itu tidak perlu kita kurung di dalam sangkar benci. Biarlah ia menerawang mengukut kehendaknya. Biarlkan sahaja. Kita tidak pernah tahu apa yang Tuhan sedang rencanakan untuk kita. Makq, kita jalani sahaja hidup ini dengan rasa damai, tanpa ada rasa benci yang menumpang di hujung tapak kaki kita. Usah peduli pada duri atau onak yang kadang-kadang melintang di jalanan kita.  Usah patahkan onak itu. Biarkannya. Onak yang tumbuh dan melata di bumi ini pun tetap ada tugasnya. Biarkannya. Langkah sahaja onak itu. Sesungguhnya tidak semua onak punya penghujung duri yang tajam. Ada yang sudah tumpul, tidak bermata lagi. Mungkin sebab ada yang memijaknya tanpa sengaja lalu patah durinya dan terpendam ke dalam daging kaki si pemijak. Mula2 mungkin rasanya sangat pedih dan ngilu. Lama-kelamaan rasa pedih dan ngilu itu pun hilang. Bersatu dengan daging kaki. Dan kita tidak rasa apa-apa lagi selepas itu. Makq, usah bimbang. Melangkah sahaja. Tidak mengapa sekali sekala menoleh ke belakang melihat cinta kita yang tercicir dan tetinggal. Ada yang sengaja kita tinggalkan apabila bahu tidak lagi memberi izin upayanya untuk memikul. Maka, pamit sahaja sebagai tanda kita mengucapkan selamat tinggal. Tidak mengapa.

          Tidak mengapa.

                       Tidak mengapa.

TAKDEER

  Takdir memang indah. Ada takdir yang datang dalam sebatas senyuman, ada juga yang datang dalam kehilangan yang tak bertepi. Kedua-duanya t...