Thursday, 7 November 2024

SEPERTI BANGKU-BANGKU KAKU


 mimpi ialah

     nafas yang belum tersisa

            dan         ...  ...       ...        tertinggal

sebelum dikutip

            sama ada akan terbenam di dalam buih-buih

                    yang menari menyusur alir

        atau mengapung

                          ke dada angkasa yang sentiasa

                                          membuka tangannya...


                                     

Wednesday, 6 November 2024

WAKTU YANG TERDETIK

 Dia berada di atas bangku simen, sewaktu aku melangkah ke kaki lima masjid. Aku tidak mempedulikannya.


"Assalamualaikum."

Aku fikir dia sedang mengucapkan salam kepada seseorang melalui telefon bimbitnya. Tapi aku terdorong untuk menoleh kepadanya.


Aku sudah hampir di kaki lima masjid. Beberapa orang jemaah sedang memakai kasut dan menyarung selipar. Mereka sudah selesai menyelesaikan urusan masing-masing dengan Pencipta mereka.


"Minta bantuan, sikit." Lemah suaranya. Matanya memandang aku. Suatu pandangan yang kukira penuh harap.


Aku mengangkat tangan kananku sedikit, sebagai tanda "nanti dulu, yer."

Aku tahu. "Minta bantuan sikit," itu yang tersiratnya ialah "Sekiranya tidak keberatan, hulurkanlah saya seringgit dua."

Aku sampai di kaki lima masjid. Menanggalkan sepatu. Lalu melangkah masuk. Semasa mengatur langkah itulah terdetik dalam hati. 'Mengapa engkau begitu sombong?' Hati bertanya kepada aku.

'Aku mahu selesaikan urusan aku dengan-Nya dahulu,' jawab aku kepada hati.

                                       *pause*

Selesai urusan di dalam masjid, aku melangkah keluar. Dari sela tiang masjid, aku mencari sosok lelaki tersebut. Aku melihat ke kerusi batu. Kosong.

Lelaki itu telah tiada.

Wajah muramnya semasa mengucap salam, terbayang di fikiran. Lalu aku fikir, 'Dia bukan peminta-minta.' Sungguh, sinar wajahnya bukan mengisyaratkan yang dia seorang peminta-minta. Lalu aku berfikir, sekiranya tiada keperluan, tidak terdesak, dia tidak akan mengucapkan salam yang kemudiannya meminta "bantuan" daripada aku.

Sungguh, mengapa aku begitu sombong sebentar tadi?

Aku ke kereta. Cuba mencari-cari kelibatnya. Tiada.

Di dalam kereta, aku tertanya-tanya. Bagaimana urusan aku dengan Yang Maha Pengasih sedangkan aku sendiri tidak mengasihi saudaraku sendiri?

Tuhan, aku masih seorang pendosa yang terus menimbun dosa dan kesalahan...


Tuesday, 5 November 2024

DERAI CEMARA


cemara menderai sampai jauh,
terasa hari akan jadi malam,
ada beberapa dahan ditingkap merapuh,
dipukul angin yang terpendam  

KABUS PUN MENYEPI DALAM PERJALANAN


Ialah lorong

dan denai

       kaki mencari pijak

             tinggalkan jejak

                  untuk jadikan hari esok

                     tiada lagi mimpi yang isinya luka semalam.

Ya, hidup untuk dinikmati

Bukan diratapi

sementara menunggu tibanya waktu pulang...


 

Monday, 4 November 2024

KETERKAITAN KETERIKATAN


 Biarlah aku berpaling, pergi dan tidak mengundur lagi.  Setiap jejak yang tertinggal tetap aku tinggalkan di belakang. Satu per satu tetaplah menjadi kenang. Sama ada manis di lidah, atau buruk di mata, hanyalah untuk aku. Aku simpan kenang itu untuk diri aku sendiri.  Bukan untuk engkau, bukan juga untuk mereka.


Ya, kenangan ialah fragmen-fragmen kehidupan.


Aku kembali kepada ketentuan-Mu.

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...