Sunday, 17 December 2017

TENTANG INTEGRITI

Dalam “Kamus Dewan”, entri “integriti” dihurai sebagai: 1. kejujuran ... 2. keadaan yang sempurna dan utuh, keutuhan.

Daripada entri “integriti” submasukan yang diberi ialah “berintegriti” yang dihuraikan: mempunyai integriti (kejujuran, ketulusan dsb).

Baiklah, tentang “integriti”. Jika ia melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan urusan kerja, integritinya tidak hanya kita “merahsiakan” hal-hal berkaitan urusan rasmi kerja kepada umum. “Integriti” juga melibatkan kejujuran kita dalam bekerja. Contoh yang sangat mudah ialah pematuhan waktu kerja rasmi. Sekiranya waktu rasmi untuk seseorang itu berada di pejabat adalah pada jam 9.00 pagi, maka dia perlu berada di tempat kerja rasminya pada atau sebelum waktu tersebut.  Baiklah, mungkin seseorang itu mempunyai halangan untuk berada di tempat kerjanya pada waktu yang ditetapkan, maka seharusnya dia memaklumkannya kepada orang atasannya. Orang atasan ini tidak semestinya ketua pengarah bagi sesebuah kementerian, ataupun tidak semestinya ketua pegawai eksekutif bagi sesebuah orgnisasi, dan begitulah seterusnya. Orang atasannya boleh sahaja penyelianya, atau boleh sahaja pegawai-pegawai kanannya, ataupun boleh sahaja pegawai yang lebih senior daripadanya sekiranya daripada kumpulan perjawatan yang sama.  Sesuatu yang tidak munasabah dan menyalahi etika kerja sekiranya seorang eksekutif meminta kebenaran atau memaklumkan kepada non-eksekutif sekitanya dia berhalangan untuk berada di pejabat pada waktu rasminya.  Ataupun, memang tidak menjadi amalan di mana-mana organisasi di dunia ini seorang eksekutif meminta kebenaran daripada tukang sapu untuk balik awal daripada waktu rasmi. 

Halangan untuk berada di pejabat dalam waktu rasmi kemungkinan besar dialami oleh setiap orang. Tetapi, situasi sedemikian hanya berlaku sekali sekala sahaja. Sekiranya ia berlaku hampir setiap hari, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.  Halangan untuk berada di pejabat dalam waktu rasmi secara logiknya tidak akan berlaku hampir setiap waktu. Jika ia berlaku secara tekal, tentunya ada sesuatu yang tidak kena berkaitan sikap individu tersebut.  Sama ada dia melakukannya secara sengaja dan dengan sedar ialah kemungkinan yang sukar untuk disangkal.

Selalunya, orang yang bermasalah seperti ini akan kaya dengan pelbagai alasan.  Tapi dia mungkin lupa yang dia sentiasa diperhatikan.  Orang akan melihat dan mendengar alasan-alasan yang tidak masuk akal. Sebabnya,  kita boleh membuat kesimpulan daripada apa-apa yang kita lihat, yang kita rasa, dan yang kita dengar. Jadi, janganlah cuba membina sebuah rumah kaca yang tembus pandang.  Selain orang lain dapat melihat dengan jelas apa-apa yang ada di dalam rumah kaca itu, ia juga sangat mudah berderai dengan hanya membalingkannya sebiji batu yang kecil.

Jadi, berjaga-jagalah apabila kita bercakap tentang “integriti”.

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...