Sunday, 29 May 2016

INDIES [sic] vs ARUS PERDANA

[KALI INI GUA MENULIS DENGAN MENGGUNAKAN BAHASA YANG BAIK...KEHKEHKEH]

Dalam seminggu dua ini, kecoh tentang perbalahan yang berlaku antara kelompok yang mendakwa mereka ialah penggiat sastera indie[sic] dan juga kelompok yang dituduh sebagai penulis/penggiat sastera aliran perdana.  Polemik ini tercetus berikutan tulisan S.M. Zakir yang tersiar dalam BH yang bertajuk "Anak Muda Kita Menuju Zaman Tandus Intelek".

S.M. Zakir menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang baru berlalu sebagai premis hujahan beliau. Walaupun sasaran pengunjung lebih daripada dua juta orang tercapai, tetapi beliau mempersoalkan tentang kualiti bahan bacaan (buku) yang dibeli oleh kebanyakan kelompok muda yang mengunjungi pesta buku tersebut. Dalam tulisan beliau, S.M. Zakir mengatakan kelompok pembaca negara kita, terutamanya orang muda mula menuju ke arah ketandusan intelek apabila 60 peratus daripada mereka lebih menjurus untuk membeli buku-buku yang berbentuk picisan dan buku-buku yang tidak menggalakkan daya intelek pembaca. 

S.M. Zakir tidak menyebut secara langsung siapa yang ghairah menerbitkan karya yang berbentuk picisan dan tidak berkualiti itu. Mungkin sahaja kita boleh mengandaikan penerbit-penerbit yang ghairah menerbitkan naskhah-naskhah yang tajuknya ada "Suamiku", "Playboy", "Perempuan Itu" dan banyak lagi itulah yang dimaksudkan oleh S.M. Zakir. Melihat kepada tajuk pada kulit hadapan pun kita sudah tahu setakat mana mutu yang terdapat dalam naskhah tersebut. Usah kita bercakap tentang nilai kebaikan apabila watak utama dalam naskhah itu ialah seorang lelaki bujang yang tampan mengambil seorang gadis muda yang ayu sebagai pembantu rumahnya, dan tinggal bersama-sama di dalam sebuah rumah tanpa ikatan perkhwinan, tentunya.

Cuma, apabila S.M.Zakir melanjutkan tulisannya dengan "Pada zaman sesiapa sahaja boleh menjadi penulis hatta hanya mencoret caci maki dan menjadikan tulisan sebagai 'escapism'  liar, ... ", kelompok yang mendakwa bahawa mereka dari kumpulan indie[sic] terasa seolah-olah S.M. Zakir melemparkan tuduhan tersebut kepada mereka.

Beberapa orang kuat rumah penerbitan indie [sic] mulai melancarkan serangan-serangan keras kepada S.M. Zakir. Serangan berbentuk cacian, makian, kata-kata lucah menghunjam S.M. Zakir. Serangan yang dilakukan oleh mereka ini berbentuk "gangster yang datang memukul musuhnya apabila ada geng", tapi menikus apabila diajak berlawan satu lawan satu!

Kemudian, apabila Muhammad Lutfi Ishak cuba menyokong pendapat S.M. Zakir dengan mengatakan, penulis juga mesti bertanggungjawb terhadap apa-apa yang mereka tulis, beliau juga turut menjadi diserang dengan keras. Polemik yang menggunakan Facebook sebagai wahana berbalas-balas pendapat ini menjadi semakin membara apabila ada para pengomen turut sama tumpang semangkuk.

Mereka marah akan Muhammad Lutfi apabila Muhammad Lutfi memetik surah Al-Syu'ara bagi mengingatkan penulis bahawa mereka harus bertanggungjawab dalam berkarya. Lantas para pendokong indie [sic] ini memerli Muhammad Lutfi sebagai penunggang agama, iaitu menjadikan agama sebagai alat semata-mata untuk mencapai matlamat yang dihajati, atau dengan kata lain, menggunakan agama untuk mengkritik mereka. Pokoknya, setidak-tidaknya Muhammad Lutfi sedar akan tanggungjawab penulis di sisi Tuhan, tetapi para pendokong indie [sic] ini menjadikan kata-kata lucah dan kasar melampau mainan mulut mereka. Dalam hal sebegini, kita tidak perlu bersekolah tinggi pun untuk menentukan siapa yang berhemah dan siapa pula yang tidak, siapa yang berhujah dengan ilmu dan fakta dan siapa pula yang bodoh dalam berhujah. Mengapa mereka menggelupur apabila Muhammad Lutfi memetik ayat Al-Quran berkaitan dengan tanggungjawab para penulis? 

Aku mengikuti tulisan Muhammad Lutfi secara rapat. Aku membacanya berulang kali bagi memahami  mesej dan idea yang ingin disampaikan beliau. Perkara pertama yang menjadi pegangan Muhammad Lutfi ialah tiadanya istilah sastera indie di negara kita. Konsep indie tidak satu pun dipegang oleh mana-mana rumah penerbitan yang memdakwa bahawa mereka ialah indie. Bagi Muhammad Lutfi, yang ada di negara kita ialah sastera aliran perdana (DBP dan ITBM), sastera komersial dan sastera marginal.  Sastera marginal inilah yang didakwa sebagai indie oleh kelompok indie [sic]. Premis ini pun sudah gagal difahami oleh kelompok indie [sic].

Apabila Muhammad Lutfi memetik ayat-ayat Quran, kelompok ini melenting tanpa sebab. Lalu menuduh Muhammad Lutfi ini menggunakan agama. Secara sinis, Muhammad Lutfi membidas bahawa hanya syaitan sahaja yang akan kepanasan apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran. Lalu aku ingin menambah, kalau Muhammad Lutfi itu penunggang agama, maka kelompok indie [sic]  yang berhujah dengan kata-kata lucah dan makian melampau ialah penunggang syaitan. Sememangnya syaitan itu suka akan kekotoran, termasuk jugalah kata-kata yang kotor!

Banyak tuduhan yang tidak betul dilemparkan kepada Muhammad Lutfi. Tuduhan yang tidak betul inilah yang Muhammad Lutfi katakan sebagai fitnah daripada sebahagian kelompok indie [sic] kepada beliau. Muhammad Lutfi hanya tidak bersetuju dengan mana-mana penerbitan yang menghasilkan sampah sahaja. Tidak kiralah sama ada sampah itu diterbitkan oleh DBP dan ITBM, sampah tetap sampah. Tetapi jika permata yang diterbitkan, maka tidak kiralah sama ada ia diterbitkan oleh Dubook ataupun Thukul Chetak, maka ia harus disokong. Permata tetap akan kekal menjadi permata sekalipun ia berada di dalam perlimbahan.  Tetapi, hujah asas yang sebegini pun mereka tidak dapat memahaminya, lalu menuduh Muhammad Lutfi tidak bersetuju dengan apa-apa sahaja yang diterbitkan oleh kelompok indie [sic].

Selain itu, ada hujah yang mempersoalkan kenapa kelompok aliran perdana ini sibuk-sibuk menegur mereka menerbitkan buku. Mereka berkata, bukankah mereka telah melakukan perkara yang sangat baik apabila mereka telah menulis, menerbit dan menjual buku, dan akhirnya dibeli oleh masyarakat? Biar aku menjawabnya dengan soalan, siapa yang mempersoalkan sesiapa sahaja yang memakmurkan dan merancakkan dunia perbukuan tanah air? Yang menjadi kebimbangan ialah apabila adanya buku-buku yang memuatkan nilai-nilai negatif yang sangat menonjol. Buku-buku yang penuh dengan kata-kata lucah, kata-kata kasar dan kesat, makian, pemaparan budaya Barat yang ketara, amalan hedonisme, malah ada buku yang mengandungi unsur liberalisme agama dan buku yang memaparkan hujah akliah untuk menolak hujah nakliah. Bukan semua buku yang diterbitkan oleh kelompok indie[sic] berstatus "sampah". Banyak juga buku yang dihasilkan oleh kelompok ini yang bermutu. Begitu juga halnya dengan buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit komersial yang memaparkan cinta picisan.

Mereka menuduh yang kelompok aliran perdana ini seperti membuat kritikan berpilih. Mereka mempersoalkan kenapa tidak ditegur DBP yang gagal memainkan peranan mereka dengan baik. Di sini pun sudah terserlah betapa jahilnya mereka apabila membangkitkan hal ini. Aku imgin bertanya dua soalan SAHAJA kepada mereka yang mendakwa diri mereka kelompok indie:
Benarkah, baik S.M. Zakir mahupun Muhammad Lutfi, atau kelompok aliran perdana ini tidak pernah menegur DBP?
Apakah mereka tahu (kalau tidak faham sekalipun) akan fungsi dan peranan DBP?

Sesiapa sahaja yang memang mengikuti perkembangan sastera Malaysia memang tahu akan hal berkaitan kritikan baik daripada kelompok penulis, kelompok penggiat sastera, mahupun daripada orang awam. Bahkan, kritikan yang dibuat oleh mereka lagi keras berbanding kritikan mereka terhadap kelompok indie [sic] ini. Contoh yang paling dekat ialah kritikan-kritikan mereka terhadap pemilihan Anugerah Sastera Negara (sasterawan negara) dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award). Setiap kali pemilihan untuk kedua-dua penerima anugerah ini diputuskan oleh DBP, akan adalah kritikan-kritikan keras muncul. Masih ingat polemik yang dicetuskan oleh Shahnon Ahmad apabila Baha Zain dipilih sebagai Sasterawan Negara? Atau, masih ingat lagi tentang pemilihan Zam Ismail sebagai penerima Anugerah Penulisan SEA? Malah, ada antara kelompok pemulis arus perdana ini memboikot DBP kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan yang dibuat oleh institusi tersebut.  Jadi tuduhan yang dilemparkan oleh kelompok indie [sic] ini ialah suatu tuduhan yang tidak tepat, liar dan tidak berasas.

Sebenarnya, aku berani mengatakan bahawa kelompok indie [sic] ini sebenarnya pengetahuan mereka tentang dunia sastera atau penulisan tanah air ini tidaklah sedalam mana pun. Selain mengheret DBP menjadi sasaran kritikan mereka ( yang ternyata tersasar), nama GAPENA dan PENA pun turut sama diheret mereka. Lalu mereka menyebut tentang dana lima juta. Tahukah mereka, apakah mekanisme yang digunakan oleh kerajaan dalam menyalurkan dana kepada GAPENA dan sebelum ini disalurkan kepada PENA? Sangat jelas mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Jika mereka tahu, tentunya nama GAPENA atau PENA tidak akan mereka babitkan sama. 

Satu lagi yang boleh dipersoalkan, adakah kelompok indie [sic] ini benar-benar menjadikan matlamat membudayakan pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya orang muda? Aku tidak pernah yakin bahawa itu ialah matlamat utama mereka. Matlamat utama mereka ialah, mereka menulis, mencetak dan menjual buku demi meraih keuntungan. Ya, keuntungan merupakan matlamat nombor wahid mereka. Kalau tidak, mereka tidak akan terpekik terlolong sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang baru berlalu. Mengapa mereka terpekik terlolong? Sebabnya mereka mendakwa bahawa mereka telah diletakkan di tempat yang tidak strategik, malah mereka memaki hamun BSN kerana meletakkan booth (khemah) mereka di hadapan pintu masuk dewan yang meletakkan reruai mereka. Kononnya ini menyebabkan pandangan pengunjung terhalang dan tidak nampak dewan yang meletakkan reruai mereka. Selain itu, mereka jugalah yang paling bising apabila pesta buk kali ini dipimdahkan ke MAEPS, Serdang, Selangor.  Mereka membuat bising dan terpekik terlolong tidak lain dan tidak bukan kerana keuntungan mereka menurun, bukannya disebabkan orang muda tidak boleh membaca buku! Mereka berselindung di sebalik nawaitu kapitalis mereka yang ghairah menokok untung.

Tak perlulah aku menulis panjang lebar lagi. Lagipun mereka yang mendakwa indie[sic] ini bukannya berminat sangat kalau nak berhujah secara rasional. Bagi mereka, kita tidak boleh menggunakan agama untuk mengingati sesama sendiri, tapi gunakanlah syaitan untuk mendapatkan duit!

Adios!

No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...