Tuesday, 27 November 2007

Gadis Sungai II

“Tolong hantar saya pulang” , matanya merenung jauh ke dalam mataku. Renungannya itu seolah-olah sedang merayu ikhsanku. Rasa kasihan mula tumpah dari dalam diriku.
“Mana rumah adik? Sekejap lagi kawan abang akan sampai dengan Kancilnya. Bolehlah saya hantar adik nanti”, sambil aku tertinjau-tinjau kenderaan yang bersusun di atas jalan raya. Baju yang kupakai juga menjadi semakin lembap dek tempias rintikan hujan.
“Di sini saya tiada rumah. Saya dikurung sepanjang waktu”, jawapannya itu menimbulkan rasa hairan di benakku.
“Saya mahu pulang ke Sabah, bang. Saya mahu jumpa orang tua saya”, suaranya lembut tetapi tegas. Aku mula menduga tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis ini. Aku mula berjaga-jaga. Acap kali aku diberitahu tentang kelecekan sesetengah manusia untuk meneruskan hidup di bandar raya ini. Ramai yang menyara diri dengan menggunakan tipu helah memperdayakan orang lain.
Dia memandangku dengan seribu harapan. Aku terus kaku tanpa sebarang kata-kata. Kota raya masih lagi dibasahi dengan hujan. Aku sebenarnya tidak tahu apa yang harus aku lakukan.
Seakan mengerti dengan mainan perasaanku, dia mendiamkan diri. Sekali sekala matanya melilau sekeliling seolah-olah mencari sesuatu, atau mungkin sedang mengawasi sesuatu.
“Di kampung kami sekeluarga hidup terhimpit. Kemiskinan menyebabkan saya hanya mampu setakat bersekolah rendah sahaja”, dia bercerita. Aku memasang telinga.

Monday, 26 November 2007

Seorang Gadis Sungai

Aku bertemunya secara tidak sengaja. Petang itu aku keluar agak lewat dari pejabat. Titisan-titisan hujan masih lagi membasahi perut kota metropolitan dan para penghuninya yang tidak sempat berteduh. Aku mengambil suatu sudut kaki lima di sebuah kedai mamak. Sesekali tempias hujan singgah juga ke mukaku.
Seorang gadis juga menumpang sudut itu. Aku tidak mempedulikannya. Hujan dan orang-orang yang lalu lalang lebih menarik perhatianku. Hujan semakin lebat. Sudut tempat aku berteduh terasa semakin sempit kerana semakin ramai yang berteduh di situ. Himpitan-himpitan daripada mereka menyebabkan aku terpaksa mengambil tempat yang begitu hampir dengan gadis itu. Aku masih tidak mempedulikannya.
Dalam rintikan hujan, aku terdengar esakan kecil. Halus bunyinya dan tersekat-sekat. Kupandang gadis itu. Memang sah, gadis itu yang teresak. Kulihat matanya berkaca. Wajahnya begitu sugul.
“Tunggu seseorang?”, aku bertanya.
Geleng.
Aku mula menerka. Mungkin gadis ini lari dari rumah. Atau mungkin gadis ini baharu keluar dari pejabatnya. Atau mungkin juga gadis ini baharu habis kelas di kolej. Tapi pakaiannya yang agak mendedahkan menimbulkan keraguanku. Takkan seorang pekerja pejabat akan berpakaian seperti seorang GRO. Tentulah mana-mana kolej pun tidak akan membenarkan pelajarnya berpakaian menjolok mata.
“Tolong saya bang,” lemah sekali suaranya. Dari cara pertuturannya aku mengagak gadis ini bukan berasal dari sini.
“Kenapa dik? Wang adik keciciran?”
Dia geleng lagi.

Friday, 23 November 2007

Si Pencuri Selipar

Saban Jumaat tengahari, aku mesti ke masjid. Itu perintah yang aku tak perlu pertikaikan. Tapi bukan itu yang ingin aku bobelkan. Aku ingin bobel tentang manusia yang juga pergi ke sana, tapi senang-senang mengambil selipar orang lain. Seingat aku, ini bukannya kali pertama aku kehilangan selipar di masjid. Bukan juga kali kedua. Sudah banyak kali. Lalu sudah acap kali juga aku keluar dari pintu pagar masjid dengan kaki bogel! Bila aku terhenjut-henjut akibat tar yang membakar kaki, jemaah sekeliling memandang aku macam aku ini baru turun dari satu planet yang entah datang dari mana. Mungkin mereka tertanya-tanya, "Kenapa kau tak rembat sahaja selipar orang lain?".

Tapi aku, ahhhh....takkan dengan hanya sepasang selipar jepun buruk, aku nak menambahkan koleksi dosa aku yang dah berbukit ini!

Apek, kali ini saya tak mau beli selipar jepun lagi. Saya mahu yang sedikit berjenama. Mungkin orang akan sedikit segan mahu "pinjam" selipar itu....

Mamanda dan Bentara

Dalam sebuah negeri , tidak jauh, di sini sahaja. Ada seorang bentara yang terkenal dengan kes mengusung tikar mengkuang yang pernah dijadikan alas tidur sang penguasa yang berkusa suatu ketika dahulu.
Seorang lagi mamanda, oppss…hanya pembantu mamanda sahaja. Tugas dia menjaga segala hamba rakyat di negeri yang tidak seberapa jauh itu. Dia tidaklah begitu handsome. Tampan jauh sekali.
Seorang lagi manusia yang ingi aku ceritakan ialah seorang yang mempunyai mata yang tidak bundar. Dia bukan dari keturunan yang didakwa bermoyangkan masyarakat Funan. Tapi entah macam mana dia juga dikenal sebagai manusia bergelar. Kerana punya wang berkepuk-kepuk dia rapat dengan segala pembesar di negeri yang tidak berapa jauh itu.
Kemudian, orang yang tidak bermata bundar itu masuk pasung. Memang pun patut kena pasung. Tapi lantaran punya wang berkepuk-kepuk, entah macam mana dia berjalan keluar dengan aman dari pasung itu. Maka heboh satu negeri yang tidak berapa jauh itu.
Kemudian kena ikat lagi. Kali ini dia tidak kena pasung lagi. Dia diberi seorang pemandu dan beberapa orang pengawal. Dia dibawa makan angin ke kampung mamanda ajar.
Kemudian, tidak lama kemudian seorang lagi mamanda tiba-tiba menjadi terkenal. Bukan kerana dia ingin kahwin dengan artis Akademi Fantasia. Tapi kononnya dia tidak pandai makan sendiri. Hari-hari dia kena suap, baru dia pandai makan. dan kononnya lagi, bentara itu mempunyai nafsu makan yang sangat besar. Tak cukup sepinggan dua. Tapi Sebelangga dan kadang-kadang dengan belanga itu sekali ditelannya.
Kemudian, mamanda itu menjadi lebih terkenal. Hari-hari mukanya masuk TV dan akhbar. Ramli sarip atau M Nasir makan hati kerana gambar mereka tidaklah menjadi perhatian seperti yang dinikmati oleh mamanda ini.
Aku yang tinggal di rumah robek ini tak faham cerita apa yang sedang diwayangkan ini…

Thursday, 22 November 2007

Kita orang yang tak berjasa

Kali ini aku mahu membebel tentang orang bergelar Dato. Bukan datuk di kampung-kampung yang mempunyai cucu berderet. tapi Dato ini ialah nama sahaja Dato, tapi ramai yang masih muda-muda. Yang getahnya masih meleleh pun ramai juga yang dipanggil Dato di negeri Tanah Melayu ini.
Dato ke, Dato’ ke atau Datuk ke, walau macamana ejaannya sekalipun, gelaran itu datangnya dari istana. Mengikut pemahaman aku yang jauh dari politik ini, anugerah ini akan diberikan kepada sesiapa yang dianggap berjasa besar. Lalu mereka ini harus diberi gelaran ini sebagai menghargai sumbangan mereka. Sampai hujah ini, aku masih setuju.
Tapi bila aku lihat yang bergelar Dato ini bergelen-gelen datangnya dari satu tong kelompok sahaja, aku menjadi keliru. Memang aku ini orang yang keliru. Takkanlah hanya orang berkereta besar dan mempunyai perusahaan yang berjaya sahaja yang banyak jasanya. Seorang ibu tunggal yang membesarkan 17 orang anaknya dengan pisang lecek, tidak lah mempunyai jasa di Tanah Melayu ini. 15 orang anak yang dibesarkan dengan pisang lecek itu walaupun berjaya ke menara gading sekalipun tidak akan mampu menyakinkan pihak istana yang ibu mereka banyak berjasa. Alahhh… setakat orang tua melayu yang tinggal di kampung, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan si penyanyi pop yang cantik jelita. Ha! penyanyi pop itu lebih banyak jasanya. Kerana sang penyanyi itu cantik. Kerana penyanyi itu punya wang dalam akaun yang tidak terkira banyaknya. Kerana sang penyanyi tu menjadi idaman ramai pelacur-pelacur jantan politik. Kerana penyanyi pop itu punya rumah yang bagaikan istana. Kerana si penyanyi pop itu punya laki yang bermisai ular sawa. Kerana….. kerana… kerana… dan kerana.
Maka Tok Ya yang tinggal di Baling usahlah bermimpi. Pak Teh Berahim yang sibuk menyandat tuak di Jelawat pun tak payah mimpi. Pak Cik Ating yang menetap di Beluran pun tak payah bermimpi. Anda semua bukan manusia-manusia yang berjasa di bumi Tanah Melayu ini.

Maaf Tuanku, patik mahu tidur.

Biarkan Khir dengan penyapunya

Khir tersenyum sinis. Tukimin pula seperti orang sumbing yang belajar untuk senyum. Itu senario yang berlaku dalam satu majlis.

Sungguh aku sokong Khir kasi penyapu! Biar penyapu itu digunakan untuk menyapu dan membersihkan segala kekotoran yang ada di bumi Selangor ini. Dan aku akan memeluk dan mencium pipi Khir yang semakin tembam itu sekiranya dia juga turut memberikan mop lantai kepada Dato Z yang membina istana secara haram. Aku juga akan mencium pipi montok Khir kalau dia juga turut menghadiahkan tisu tandas kepada pegawai-pegawainya yang korup dan membenarkan rumah persundalan wujud di sini sana. Dan aku juga rela saban petang meraut lidi kelapa untuk dijadikan penyapu sekiranya Khir mahu menjadikannya sebagai hadiah kepada sang kroni yang lahap meratah pusaka bangsa!

Hidup Khir!

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...