Siri percakapan daripada seorang manusia kecil, Dihimpun sesuka hati dia. Dia belasah apa-apa sahaja. Dia memuji apa-apa sahaja. Dia memaki apa-apa sahaja. Kadang menjadi seorang rebel. Kadang-kadang menjadi seorang romantikalasofa. Kadang-kadang bercita-cita ingin menjadi seorang angkasawan. Kadang-kadang bercita-cita menjadi Tok Peran dalam Makyung.
Wednesday, 31 December 2025
SELAMAT KEMBALI KEPADA SELAMAT DATANG
Friday, 19 December 2025
SELAMAT JALAN, BRO...
“Ada orang mahu jumpa. Bos suruh jumpa En. Zamani,” ujar Aishah, si dara manis, di hujung talian.
“Baik,” aku jawab. Sepatah sahaja. Tanpa bertanya siapa yang harus aku santuni itu.
Dari tingkat 3, sengaja aku memilih tangga untuk ke bawah.
Melepasi pintu kaca lantai paling bawah, yang memisahkan ruang “untuk staf sahaja” dengan lobi, aku ternampak seorang lelaki. Ranbutnya panjang, sedikit melepasi bahunya. Berjambang, antara hitam dan putih serta keperang-perangan warnanya.
Aku meneka dalam hati, ‘itulah orangnya.’
Melewati Aishah, si dara manis penyambut tetamu, aku senyum kepadanya. Di hujung telinga, aku mendengar si dara manis itu berkata, “Itu orangnya.” Aku membalas kata-kata si dara manis itu dengan senyuman kedua.
Sebaik melihat aku datang, dia bangun. Menghulurkan tangannya . Kami bersalam.
“Anuar,” dia kata.
“Zamani,” aku balas.
“Begini tuan, saya ada cadangan untuk menerbitkan buku. Zakir yang mencadangkan supaya dibawa ke sini.” Dia memberitahu selepas berbasa-basi sedikit.
“S.M. Zakir?” tanya aku, ingin kepastian.
“Ya,” jawab dia.
Kemudian, senaskhah helaian-helain putih bersaiz A4 dia hulur. Sudah siap dijilidnya. Sekeping plastik lutsinar menjadi kulit hadapan, dan sekeping lagi menjadi kulit belakang.
Aku belek. Ada puisi. Ada juga gambar foto. Aku baca, sekali lalu.
“Puisi-puisi ini saya tulis hasil daripada pemerhatian saya sendiri. Saya ikut Zahid Hamidi waktu itu.”
Selesai dia berkata begitu, aku terfikir sesuatu yang dia ini “sesuatu.”
Begitulah kami kenal dan bertukar-tukar nombor telefon.
Seringkali, apabila dia melewati Seksyen 10, Wangsa Maju, ataupun ada di sekitar situ, dia akan menelefon. Mengajak minum sambil bersembang.
Dari situ, sedikit demi sedikit tirai terkuak. Memang dia “sesuatu”. Sebelum peristiwa besar 1998, dia CEO UDA Holdings. Tapi terpelanting keluar kerana dia “orang” Anwar Ibrahim yang baru disembelih oleh Dr Mahathir. Dari situ, jalan raya menjadi tempatnya meluah rasa. Bersama kawan-kawan tegar mereka bergerak secara agresif. Dikejar dan diintip SB sudah menjadi rutin hidupnya. Ezam lari ke Indonesia. Azmin bersembunyi entah di mana. Dia dan Chegu Bard menjadi sasaran polis.
Begitulah mulanya aku mengenai Anuar. Apabila sudah semakin banyak melepak dengan dia, mendengar dia bercerita, sedikit demi sedikit tirai dikuak, sehelai demi sehelai.
Blog yang popular sewaktu era Reformasi mengganas, Mahazalim, dialah pemiliknya. Blog Sang Kelembai milik politikus veteran Umno, Dato Zaharin, dialah yang mengejar politikus veteran itu.
Kisah tentang perjuangan reformasi, tentang Nora sang reformis wanita yang kental, tetap turun ke jalan setiap kali ada unjuk rasa, yang keluar masuk penjara, diherdik, dihentam, malah dipaksa berbogel dan gambarnya diambil oleh para petugas lelaki, juga diceritakan.
Pada 2018, selepas rejim BN dihumban ke dalam parit, dan PH 1.0 menaiki tahkta, Anuar menghubungi aku. Dia mengajak aku makan tengah hari. “Nanti Kambing akan ambil engkau,” kata Anuar.
“Baik, aku tunggu,” balas aku.
Kami makan tengah hari di Taman Melawati. Sebuah restoran yang menu utamanya gulai tempoyak patin Pahang.
Sambil menikmati patin tempoyak, Anuar bercerita. Selepas PH 1.0 memegang tampuk kuasa, dia dipanggil Putrajaya. Satu jawatan istimewa diberi kepadanya. Lebih kepada “membalas jasa” atas perjuangan reformasinya selama ini.
“Aku mahu kau menggemudi ****. Aku sudah aturkan. Kau tunggu beberapa proses perlu buat. Makan masa sikit.” Anuar kata.
Kemudian, masa pun berlalu. Tidak lama selepas itu berlaku pergolakan dalam kerajaan PH. Langkah Sheraton dibuat oleh beberapa oportunis politikus. Dan akhirnya kerajaan PH 1.0 jatuh.
Semenjak itu, Anuar kembali menjadi rakyat marhaen seperti sebelum ini. Kadan-kadang dia masih menghubungi aku. Bercerita tentang kesihatannya yang semakin merosot. Jantungnya tidak lagi sekuat seperti sebelum ini. Bercerita tentang kawan-kawan yang menjauh seorang demi seorang. Bercerita tentang kerinduannya akan arwah isterinya. Dan dia tidak lagi galak bercerita tengang politik negara. Dia seperti sudah kehilangan jiwa seorang reformis. Aku rasa, pemergian isterinya dan keadaan jantungnya yang tidak lagi mesra dengannya, menyebabkan dia menjadi begitu.
Kemudian, lama dia menyepi. Pesanan yang aku hantar, hanya satu tanda palang. Salam yang diberi lewat massenger, tidak berbalas. Berbulan-bulan begitu. Tiada khabar. Tiada juga berita untuk bercerita.
Sehinggalah pada lewat malam 13 Disember, aku mendapat khabar dia sudah pergi. Meninggalkan seorang puteri yang selama ini menjadi antara tajuk kebangaannya apabila bercerita. Dia pergi dengan prinsip perjuangan yang tidak pernah berubah.
Dia pergi dengan membawa cerita-cerita yang belum sempat diceritakan…
SELAMAT KEMBALI KEPADA SELAMAT DATANG
tiada apa-apa yang harus aku kesali untuk hari-hari 2025 kerana aku mengenggam akan rasa yakin "tuhan tidak kejam" yang datang d...
-
Gua sudah lupa nama dia. Tapi susuk wajah dan binaan tubuhnya, gua masih ingat. Hari itu hari pertama cuti penggal persekolahan. Asrama SM...
-
GUA AKAN CARI LU SAMPAI GUA DAPAT. GUA TAK MAIN-MAIN LAGI KALI INI>
