Thursday, 11 July 2019

PAK ABU

Pak Abu dah tiada.

Pak Abu, darahnya British Short Hair. Waktu kecilnya dia makan Royal Canin. Royal Canin ni antara makanan termahal dan terbaik. Itu makanan dia waktu dia kecil.

Kemudian bila meningkat remaja sedikit, Pak Abu selalu keluar dari pintu rumah. Tapi Pak Abu tak pergi jauh, setakat pintu pagar saja.  Mungkin Pak Abu takut untuk meneroka ke luar dunia yang dia tak biasa lagi.

Bila selalu berada di pintu pagar, tengok-tengok apa yang ada di luar sana, naluri Pak Abu untuk meneroka dunia di luar makin bertambah. Dari celah-celah jeriji pagar, Pak Abu mula keluar. Tapi dia tak pergi jauh. Hanya setakat lepak di rumah hadapan, atau di luar rumah rumah jiran yang ada kiri kanan.

Lama-lama, makin kerap dan makin lama pula Pak Abu berada di luar rumah. Tapi bila lapar, Pak Abu akan masuk semula ke dalam rumah. Pak Abu makan Royal Canin kegemaran dia.

Makin lama, Pak Abu semakin seronok berada di luar rumah. Lalu Pak Abu “dipenjarakan” di dalam bilik sebab bimbang Pak Abu akan dicuri, atau dikerkah anjing, atau menjadi mangsa buki kucing tak bertuan. Pintu bilik akan sentiasa ditutup. Dunia Pak Abu ialah bilik dan beranda di bilik itu sahaja.

Kemudian Pak Abu semakin dewasa. Pak Abu menjadi semakin kuat. Dari beranda tingkat satu, Pak Abu melompat ke bawah, menjadikan tembok pagar sasarannya. Dari tembok pagar, Pak Abu melompat pula ke luar. Pak Abu bebas.

Bermula dari itu, Pak Abu semakin kerap berada di luar. Pak Abu akan balik bila dia berasa lapar sahaja. Lepas makan, selalunya Pak Abu akan meniarap di beranda, berehat. Lepas itu Pak Abu melompat ke bawah. Lagi. Kemudian merayau. Lagi.

Lama-lama, Pak Abu makin kerap berada di luar. Entah apa yang Pak Abu makan. Entah air apa yang dia jilat. Kadang-kadang Pak Abu balik dengan badan yang basah. Bergumpal-gumpal bulunya. Pak Abu kerap bersin. Hidungnya selalu keluar hingus. Tetapi Pak Abu tetap selalu hilang dari rumah.

Tengah hari semalam, Pak Abu balik rumah. Pak Abu tercunggap-cunggap. Nafasnya tersekat-sekat. Pak Abu menarik nafas dalam-dalam mencari udara. Pak Abu nampak terseksa. Lalu Pak Abu dibawa ke klinik. Di klinik Pak Abu semakin tenat. Doktor kata paru-paru Pak Abu dah teruk. Cecair penuh di dalam paru-paru Pak Abu. Dan Pak Abu semakin tenat. 


Akhirnya Pak Abu menarik nafas terakhir di atas pelantar keluli rawatan di klinik. Pak Abu tak perlu lagi susah payah menarik nafasnya. Paru-paru Pak Abu  tidak lagi menyeksanya. Pak Abu tak perlu lagi curi-curi melompat ke bawah dari beranda tingkat satu.  Pak Abu tak perlu semua itu lagi, kerana Pak Abu dah pergi ke sana.



No comments:

Post a Comment

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...