Wednesday, 7 October 2015

API-API PASCA ANTANOM

"Menginap kat mana di Tenom?" Cikgu Ramli tanya.

"Perkasa," kata gua.

Cikgu Ramli senyum.  Cikgu pencen yang juga seorang penulis tersohor ini datang dari Kota Marudu.

"Hotel tu ada hantu," kata Cikgu Ramli. Serius.

" ... " gua tak kata apa. 

"Kadang katil pindah-pindah sendiri.  Kadang bila kita bangun pagi,kita ada kat dalam bilik mandi," sambung Cikgu Ramli lagi.

"Jadi, betullah orang kata Hotel Perkasa di Tenom tu ada hantu?" tanya gua.

"Memang betul. Mana ada orang check in di sana lagi," jawab Cikgu Ramli.


Gua hirup pelan-pelan teh tarik.  Alam Mesra yang semakin memanjat malam masih lagi jaga. Pelanggan di restoran semakin ramai.  


Dalam hati gua kata, "Kalau aku tau Hotel Perkasa ada hantu, biar aku tidur di dalam Hilux saja."  Tapi gua tak luahkannya kepada Cikgu Ramli.  Apa kelas lelaki berambut panjang takut sama hantu!


Cikgu Ramli Jusoh. Otai dari Terengganu yang sudah lebih 4 dekad menetap di Sabah. Dalam dunia penulisan, beliau juga dikenal dengan nama Ramli A.R.
 

Monday, 5 October 2015

ANTANOM

Di dalam dewan, kepala gua dah rasa berdenyut-denyut.  Perjalanan dari KK via Papar via Banjaran Crocker, dengan hawa yang sangat panas, menyiat-nyiat isi kepala.

"Malam ni, selepas pelancaran buku Si Karim, kita ada makan-makan di restoran YB Jamawi," kata Jasni Matlani.

Gua angguk.

"Lepas tu kita ada makan durian," sambung Jasni Matlani.

Gua angguk.

"Jam 7.30 nanti kita datang ke dewan." Jasni kata.

"Bulih bha," kata gua.

Kepala gua semakin memberat.

 

Kemudian, gua ke Hotel Perkasa. 

Sesampai di pekarangan Hotel Perkasa yang terletak di atas sebuah bukit yang sederhana tingginya, sunyi sepi.  Kereta di ruang pakir, kosong.  Tiada.  Nihil.

Pelawat lain juga gua tak nampak. Kosong.  Tiada. Nihil.

Hari semakin petang.  Tiada kendengaran manusia bercakap. Hawa tetap panas walaupun matahari semakin rendah.  Kepala gua semakin memberat.
 

Kemudian, gua Keluarkan bag pack dari Toyota Hilux. Terus menuju ke kaunter untuk daftar masuk.  

Di reruai hotel juga tiada manusia.  Kosong. Nihil.  Hanya seorang penyambut tetamu.



                 ***

"Hotel Perkasa ada hantu," kata Kak Kat.  Dia senyum.  Macam tak bersungguh-sungguh.

"Baguslah, saya suka hantu," kata gua.
Kak Kat bergurau, fikir gua.



                 ***
Malam itu, gua terlelap awal. Letih memandu dari KK via Papar via Banjaran Crocker campur dengan kepala memberat yang akhirnya bertukar menjadi migrain menyebabkan gua mengaku kalah.

Majlis pelancaran buku: kantoi!
Majlis makan-makan yang disponsor YB Jamawi: kantoi!
Majlis makan durian: kantoi!


                ***
Malam itu gua tidur tanpa makan apa-apa.  Gua tidur tanpa dikacau oleh hantu yang dikatakan oleh Kak Kat.




 

 

Friday, 2 October 2015

Puisi Terakhir





puisi ini puisi terakhir

buat sebuah lautan

kerana ombak waktu

membawa pergi bahasa hati

ketika mentari menjemput pulang

warnanya pada langit senja

kata-kata terkunci

di dasar pantai usia

dan malam menjadi saksi

tenggelamnya sebuah puisi.


puisi ini puisi terakhir

buat sebuah lautan

tapi bukan garis penghujung

sebuah lagi pelayaran.

Thursday, 1 October 2015

Kalau Kamu Rasa Kamu Sangat Tak Bernasib Baik





Kalau kamu rasa kamu sangat tak bernasib baik, berhenti dahulu dan duduk-duduklah dengan santai. Mereka lagi tidak bernasib baik daripada kamu, sebenarnya.

Berjalan-jalan di birai bangunan tingkat 7 sambil berkira-kira panjang pendek nafas sendiri bukanlah suatu reaksi yang harus dilakukan lantaran kamu fikir yang kamu sangat tidak bernasib baik. Anak-anak mereka bersahaja bermain dengan tengkorak tempurung kepala manusia, walhal kamu menjadi sangat ketakutan apabila meilhat akan tengkorak walaupun ia hanya muncul sebagai imej di kaca televisyen. Tidakkah ini sangat memalukan kamu tatkala kamu seronok menonton rancangan karut AF di Astro Ria, dan mereka pula tidak pernah tahu apa itu televisyen!

DAN HUJAN PUN TURUN LAGI.

  D an. Hujan. Pun. Gugur.           Seperti gugurnya hujan, aku juga tak pernah lagi mahu bermimpi tetesnya naik semula mencari awan.    Bi...