Petang itu, petang Sabtu. Gua ada 2 agenda. Tapi gua harus memilih satu sahaja. Hanya satu. Tidak boleh kedua-duanya [memang terlalu banyak perkara di dunia ini yang tidak membenarkan kita mengambil kedua-duanya].
Agenda pertama : Jamming di One Cafe. Ada Rosli Mohalim. Brader yang main gitar dengan Sweet Charity. Gua tak pernah tengok Brader Rosli perform. Gua hanya tengok Brader Rosli goreng gitar dalam youtube sahaja. Sangat hebat! Dalam hati gua, gua kata "Gua nak tengok".
Agenda dua : Final Piala Malaysia. Red Warrior pasukan negeri gua. 89 tahun menunggu mau membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga.
Ada dua agenda. Tapi gua harus memilih satu sahaja. Tak boleh kedua-duanya. Kalau gua memilih Rosli Mohalim, gua harus korbankan Red Warrior.
Kalau gua memilih, Red Warrior, gua harus korbankan Rosli Mohalim.
Gua hanya boleh memilih satu sahaja. Tapi gua ada kedua-dua pass untuk kedua-duanya.
Koma,
Kawan gua telefon. Dia mahu tengok Red Warrior di Bukit Jalil. Tapi gua kata gua mungkin ke One Cafe. Gua tak mahu ke Bukit Jalil.
"Jomlah, gua dua orang sahaja. Dua orang tak syok. Kalau lu ada, ada tiga orang. Tiga lagi syok," dia kata.
Gua kata, manusia melaut di Bukit Jalil, mana boleh jumpa.
"Gua tunggu lu dekat orang jual mercun. Walau apapun gua tunggu lu. Apa-apa yang terjadi pun, gua tunggu lu", dia kata.
Perggghhhh.... dia kata walau apapun sanggup tunggu gua. Macam orang bercinta!
Dan, gua jenis yang cepat percaya. Bila dia kata macam tu, bagi gua itu janji. Dan bila kata "ok, gua jumpa lu kat sana", gua juga telah mengikat janji.
Gua korbankan Rosli Mohalim. Gua memandu ke Bukit Jalil.
Di Bukit Jalil, manusia memang melaut. Semua pakai baju merah. Semua pakai rambut palsu merah. Semua bawa bendera merah.
Dalam lautan manusia, gua menekan henfon, mencari kawan gua yang "
Walau apapun gua tunggu lu. Apa-apa yang terjadi pun, gua tunggu lu". Tapi, hampeh, tak berjawab.
Sambil sibuk menekan henset dan lagi dan lagi dan lagi, gua juga sibuk melihat awek-awek dengan balak masing-masing dan lagi dan lagi dan lagi.
Tapi, sampai ke sudah, nombor yang gua tekan tak berjawab.
Gua tetap tunggu. Kot-kot kawan gua yang "
Walau apapun gua tunggu lu. Apa-apa yang terjadi pun, gua tunggu lu" akan call gua.
Tapi tiada.
Pintu stadium dibuka. Lautan manusia berbaju merah berpusu-pusu masuk.
Gua tetap menunggu, kot2 kawan gua menelefon gua. Tapi tiada.
Akhirnya, gua tiada pilihan. Gua pun masuk ke dalam stadium 'seorang diri'.
Dalam stadium, gua duduk dicelah-celah lautan manusia berbaju merah.
Dalam lautan itu hanya gua yang tidak berbaju merah. Gua berbaju hitam. Gua berbaju hitam sebab nak ke One Cafe. Tapi terbabas ke Stadium Bukit Jalil demi seorang kawan yang "
Walau apapun gua tunggu lu. Apa-apa yang terjadi pun, gua tunggu lu"
Atas kerusi plastik, gua kata dalam hati :
Sebenarnya memang senang untuk berkata
"
Walau apapun gua tunggu lu. Apa-apa yang terjadi pun, gua tunggu lu". Tapi amat susah untuk mengisinya. Dan gua, seperti biasa yang tersangat percaya pada janji akhirnya terperangkap dalam janji yang dibuat itu....