Thursday, 27 May 2010

Untitled [ii]

Malam, aku sangat suka pada malam. Bersunyi-sunyi seorang diri sambil melihat bulan [usah dibicarakan lagi tentang bintang], mencium bau malam, sambil menjepit gulungan nikotin, sangat mendamaikan. Ada satu macam rasa yang sangat misteri tetapi mendinginkan.

Kemudian, katakanklah, ada hujan yang singgah pada senja tadi. Rumput-rumput sudah tidak lagi berbunga. Daun-daun lalang pula tidur di lantai hutan, maka pada waktu itu gua ingin tidur sambil melepaskan mimpi semalam. Mimpi yang ingin sangat aku lepaskan dan tidak mahu merinduinya lagi. Aku tak ingin menjadi helang yang pulang petang dan mabuk kepayang setiba di sarang, terbang menyongsang angin ke muka bulan [usah dibicarakan lagi tentang bintang] dan berlagu pada berlaku.

Embun yang mengering, biarlah ia mengering. Esok dinihari akan ada titis-titis embun lain, yang mungkin lebih dingin dan lebih jernih. Apa-apa yang masuk dan singgah sekejap, kemudian pantas berlalu pergi bak semilir dimusim tengkujuh…biarkan sahaja. Bukankah alam telah berhukum - hilang sesuatu pada hari ini akan digantikan dengan sesuatu pada hari esok?Berjalan dengan telapak kaki yang tercantas oleh paku-paku yang sangat bersembunyi, akan hanya sekejap sahaja. Musafir yang mengembara digurun tandus, akan sampai ke oasis juga di hujung jalannya.

Malam. Ingin aku lepaskan semua. Tidak lagi menjadi apa-apa untuk aku!

Selamat malam bulan [usah dibicarakan lagi tentang bintang]


[pada suatu malam, di Kota Damansara, Joanne telah berkata “Usah dibicarakan lagi tentang bintang”].

Wednesday, 26 May 2010

Untitled

aku
ingin
bersepi diam-diam
dan pupus berlama-lama.
wangian bunga
yang tak pernah ada
muncul tiba-tiba

Konvensi Tabiat Adventure yang Tak Ingin Gua Lakukannya Semula [ii]



Lembah Danum.

Sehari sebelum ini, gua dengan ahli-ahli KPA menjelajah belantara Lembah Danum. Dengan ditemani oleh dua orang petugas Pusat Penyelidikan Luar Lembah Danum, kami beransur-ansur masuk ke dalam belantara. Malam sebelumnya hujan lebat. Kerana itu, lantai belantara Lembah Danum sangat lembap dan basah. Dalam situasi yang lembap dan basah itu, pacat-pacatlah yang menjadi makhluk Tuhan yang paling aktif dan agresif. Betis-betis gua dan ahli-ahli KPA dipanjat oleh pacat-pacat yang menghisap rezekinya. Kadang-kadang gua terpaksa berhenti dan membongkok untuk membuang pacat-pacat yang sedang berpesta di betis ahli KPA yang ‘manja’ dan seram dengan pacat.

Keesokannya, gua dan ahli KPA menyeberang Sungai Segama melalui jambatan gantung yang untuk ke tebing sebelah sana. Dari atas jambatan gantung, gua melihat air sungai itu. Laju dan keruh. Mungkin kerana hujan lebat semalam, isipadu air Sungai Segama menjadi semakin perkasa.

“Kalau dapat bermain-main di tepian sungai ini, best juga,” kata gua. Nani yang berjalan di sebelah gua menyampuk, “jomlah kita ke sana.”
Gua diam. Gua tak memberi apa-apa respons.

Dari atas jambatan gantung itu, gua pandang ke dada Sungai Segama. Airnya yang kekuningan berasak-asak dari bahagian hulu untuk mencari hilir. Airnya yang keruh itu bagaikan menyimpan seribu macam misteri di hutan simpan tropika yang tertua itu. Seperti sebuah peti purba yang menyimpan pelbagai khazanah yang sangat berharga.

Kemudian gua turun ke tebingnya. Pasir ditebing, putih menghampar seperti di tepi pantai. Patutlah ada satu papan tanda yang tercatat “Pantai Sungai Segama”.

Gua bermain-main di tepian sungai itu. Melihat-lihat airnya yang meluncur laju. Ada pokok-pokok di tebing, dahan-dahannya menghulur ke dada sungai. Beroleng-oleng.

“Boleh la ba cigu, kita mandi-mandi di sini,” kata Nani. Pelajar-pelajar lain menyokong dengan riak muka masing-masing. Mereka seperti ingin menduga apa yang ada dalam arus yang laju itu. Gua tidak memberi apa-apa jawapan. Ini soal keselamatan.
“Selagi saya tidak memberi apa-apa arahan, jangan sesiapa yang gatal-gatal bermain dengan air sungai,” kata gua.
“Kenapa?” tanya mereka.
“Saya membawa 21 orang pelajar ke sini. Dan saya tidak ingin pulang dengan hanya 20 orang pelajar, kurang satu orang,” kata gua.
Dan mereka mendengar arahan gua tanpa sebarang bantahan. Memang mereka sangat mendengar arahan dan perintah. Kerana itu gua sangat senang untuk membawa mereka ke mana-mana aktiviti luar yang gua kepalai.

Gua tahu, mereka sangat ingin bermain-main di air sungai itu. Tapi gua harus melihat-lihat terlebih dahulu. Soal keselamatan, gua tiada kompromi.

“Kamu semua jangan ke mana-mana,” kata gua. Kemudian gua masuk perlahan-lahan ke dalam sungai. Di bahagian tepi, airnya tidaklah dalam. Sifat sungai di bahagian hulu memang begitu. Sangat cetek di tepi dan akan dalam tiba-tiba di bahagian tengah.

Setelah menduga-duga sungai itu, gua kata “Ok, kalau kamu semua mau mandi, mandi sahaja di bahagian tepi. Jangan sesiapa pun yang pandai-pandai mahu jauh dari sini.”

Dari atas hamparan pasir, gua memerhatikan mereka. Melihat mereka sangat berpesta di sungai itu, menyebabkan gua ingin merasai pesta tersebut. Gua kemudiannya bersama-sama mereka, dan perlahan-lahan gua berenang menyimpang arus ke tengah. Walaupun nampak deras, tapi tidaklah sampai mematahkan tenaga gua untuk berenang.

“Cigu!!” panggil Paridah.
Gua berpaling dan berenang ke tepian.
“Kita pergi ke tebing sebelah sana. Mau?” kata Paridah.
“Boleh ke kau sampai ke sana?” tanya gua.
“Saya sudah biasa ba cigu. Selalu juga saya berenang dalam sungai yang macam ni,” kata Paridah lagi.
“Deras air sungai ni,” kata gua.
“Kanapa, cigu takut ka…hahahaha” Paridah kata lagi.
“Kamu nak lumba berenang ngan saya?” tanya gua.
“Anytime ba cigu,” kata Paridah.
“Ok, kamu berenang dulu, saya berenang di belakang kamu,” kata gua.

Sebaik sahaja gua kata begitu, Paridah terus ke arah tengah sungai dan terus berenang. Gua, apabila melihat Paridah berenang gua spontan ‘mengejar’. Gua bimbang kalau-kalau Paridah tiba-tiba tenggelam, atau hanyut dibawa arus.

Paridah berenang di hadapan gua, gua berenang di belakang Paridah. Air sungai yang deras itu gua rasakan semakin lama semakin deras. Mata gua pedih. Gua tahan. Gua tak melepaskan pandangan gua ke arah Paridah. Setakat ini Paridah tiada apa-apa. Dia masih lagi berjaya mengapungkan dirinya. Perlahan-lahan Paridah sampai ke tebing sebelah sana. Gua mencecahkan kaki gua di tebing sebelah sana setelah Parida duduk-duduk untuk mengambil nafas.

Pelajar-pelajar gua di seberang tebing bersorak-sorai setelah melihat gua dengan Paridah berjaya meyimpang arus. Cehhhh…mereka tak tau yang cikgu mereka ini hampir putus nafas kerana penat menyimpang arus.

Gua duduk-duduk mengambil nafas yang hilang. Paridah pot pet pot pet menceritakan itu dan ini. Hampir sepuluh minit, gua duduk-duduk sambil melihat pelajar-pelajar gua di seberang sana.

“Cigu, jom kita balik ke sana!” kata Paridah.
Gua senyum, senyum yang tak menjadi. Gua membebel dalam hati, “Apa kejadahnya aku berenang menyeberang sungai yang berarus deras ni. Adehhh…nak kena berenang balik ke sana pula ni.”

Dan, kalau gua diminta sekali lagi untuk berenang melintangi arus sungai yang deras di bahagian hulu, dengan berseluar trek dan bertshirt, sungguh gua tak akan melakukannya lagi. Ada nyawa yang dipertaruhkan di situ sebenarnya. Sungguh gua tidak akan mengulangi konvensi tabiat gua yang adventure yang entah apa-apa itu!

Jari Telunjuk Gua Berdarah.

Daun pintu itu gua tolak. Sebaik gua masuk, Oja tersenyum.
“Lama tak nampak abang,” dia menegur gua.
“Kamu tu yang lama tak nampak. Bertapa kat mana?” balas gua.
“Sibuk sikit la bang. Banyak paper nak kena siap,” Oja jawab.

Oja, pelajar tahun akhir Undang-Undang UM kadang-kadang ‘melepak’ di studio tempat gua selalu jamming. Teman lelakinya, Mat Lan selalu lepak dengan gua di sana.

“Bang, nak request lagu ni,” kata Oja.
Gua senyum.
“Lagu apa?” tanya gua.
“Lagu Ungu, Kekasih Gelapku” kata Oja.
“Ah, sudah Mat Lan. Lu dah kena madu. Oja ada kekasih lain,” kata gua.
Hahahaha… kata Mat Lan.

“Boleh ke bang?” tanya Oja lagi. Gua pandang Mat Lan. Mat Lan seperti faham. Kemudian dia kata, “kordnya dah ada. Tu gua ada tulis.”

Gua tengok sehelai kertas atas amplifier. Gua tengok-tengok kordnya.
“Hmmm…banyak plucking ni. Ni yang gua lemah sikit. Tapi takper, kita cuba dulu,” kata gua.

Kemudian, gua mengambil gitar. Capo gua letakkan pada fret yang kedua. Kemudian jari-jari gua menekan-nekan string-string gitar pada fret. Mencari nada yang betul.

“Ok, kita try dulu,” kata gua kat Mat Lan.

Mat Lan main gitar yang kedua. Gua banyak plucking. Gua terus menekan-nekan string gitar mencari kord dan nada. Makin lama, jari-jari gua rasa pedih. Pada kord yang terakhir, kord B jari telunjuk gua berasa ngilu.

Sesudah meletak gitar, gua tengok jari gua.
“Bang, jari abang berdarah la,” kata Oja.
“Ah, sikit jer ni,” kata gua.
Gua duduk. Oja mengeluarkan tisu dari poket jeansnya. Oja mengelap-ngelap jari telunjuk gua. Mat Lan hanya melihat.
“Hahahaha…kerana Kekasih Gelap, jari aku berdarahlah Oja,” kata gua bergurau.

Gua kemudian turun ke bawah. Menuju ke sebuah gerai di seberang jalan. Telunjuk gua masih lagi berbalut dengan tisu kepunyaan Oja.

Sambil menanti teh o kurang manis, gua melihat-lihat jari sendiri. Kerana Kekasih Gelapku, malam itu jari telunjuk gua berdarah.

Tuesday, 25 May 2010

Sebelum Kamu Mahu Melenyapkan Nyawa Kamu Sendiri

Kamu ingin mengambil nyawa kamu sendiri. Nah, persilakan. Tiada sesiapapun yang mahu menghalang. Tapi, aku ada beberapa nasihat untuk kamu.

1. Jadilah Selebriti Dahulu
Apabila kamu adalah selebriti, maka kematian kamu itu akan dianggap sebagai satu tragedi kehilangan. Semua orang akan meratap kematian kamu. Kalau kamu bernasib baik, akan ada orang-orang lain yang akan turut membunuh diri lantaran rasa sedih kerana kamu telah mati. Adakah kamu seperti Kurt Korbain yang meletupkan kepalanya sendiri? Seperti Marilyn Monroe yang menelan pelbagai jenis pil tidur? Seperti Cleopatra yang membiarkan dirinya dipagut kobra Mesir? Atau sekurang-kurangnya seorang yang sangat kejam seperti Hitler? Kalau jawapan kamu “tidak”, maka aku kata, janganlah engkau persiakan hayat kamu. Atau kamu akan mati dalam keadaan yang sangat tidak dipedulikan oleh publik.

2. Binalah Sekta Sendiri
Buatlah satu kumpulan sekta kamu sendiri. Angkatlah diri kamu sebagai nabi dalam kumpulan itu. Dan pilihlah ahli-ahli untuk kumpulan sekta kamu itu dari kalangan orang-orang yang sepenanggungan dengan kamu. Orang-orang yang sudah tidak bermaya lagi untuk hidup dan menempuh hakikat sebuah kehidupan. Jangan kamu ambil dari kalangan orang-orang yang teguh pendiriannya terhadap hidup kerana ini akan meruntuhkan sekta yang sedang kamu bina itu. Atau sekurang-kurangnya kamu tidak akan diangkat sebagai nabi dalam sekta itu. Dan Apabila kamu telah dinabikan, kematian kamu akan diratapi oleh segenap umat sesekta tersebut. Kamu akan diingati. Kamu akan diratapi. Kalau kamu tidak mampu untuk menjadi nabi dalam sekta kamu-kamu sendiri, maka kematian kamu hanya akan menjadi statistik kajian dalam makalah dan jurnal pelajar perubatan dan para physcologist sahaja. Nah, kematian kamu hanyalah kematian yang memenuhi ruang jalur dalam kertas para pengkaji sahaja.

3. Katalah “Aku ingin meninggalkan dunia ini secara sengaja” Sebelum Kamu Membunuh Diri
Kalau kamu ada blog, maka buatlah satu posting yang bertajuk “Aku Ingin Mati dan Aku Benar-benar Maksudkannya”. Kemudian kamu tunggu respons dari para pembaca kamu [itupun kalau kamu ada pengikut setia yang membaca blog kamu]. Apakah mereka menjerit dan memekik kepada kamu “Jangan” atau reaksinya adalah nihil. Atau mungkin kamu boleh menulis pada kad manila “Malam Nanti Aku Akan Memotong Urat Nadiku” dan mengangkatnya tinggi-tinggi sambil berdiri di persimpangan lampu isyarat. Tunggu dan lihat reaksi publik. Kalau berduyun-duyun datang mengatakan “jangan” sambil memujuk kamu dengan linangan air mata, maka kamu teruskanlah niat kamu untuk membunuh diri itu. Kerana kamu adalah subjek yang sangat diambil tahu oleh publik dan kematian kamu akan diratapi dan diingati. Tapi kalau tiada sesiapapun yang ambil kisah, jangan kamu membunuh diri kerana kematian kamu itu tidak akan dipedulikan.

4. Kamu Harus Menjadi Seorang Fasis Terlebih Dahulu.
Macam Hitler, dia menembak dirinya sendiri bukan kerana putus cinta atau kerana selalu dimaki hamun oleh orang-orang Amerika. Hitler membunuh diri bukan kerana dia bercita-cita ingin membunuh diri sewaktu ditanya oleh gurunya semasa dia bersekolah rendah. Hitler membunuh diri kerana dia bercita-cita sangat besar dan tinggi. Dia ingin memerintah dunia. Dan dia telah gagal dalam cita-citanya. Nah, adakah kamu juga mempunyai cita-cita sebesar Hitler? Kalau setakat hidup kamu bergelora kerana dibebani hutang, ada jalan penyelesaiannya. Kalau kamu hanya putus cinta, belajarlah untuk menjadi seorang yang setia dan bijak. Lagi 3 tahun akan adalah yang akan menjadi kekasih sepanjang hayat kamu. Atau kamu tunggu sahaja lagi 30 tahun. Kalau kamu berdepan dengan masalah yang pelik-pelik, jangan bunuh diri. Pergilah belajar berenang. Berenang itu baik untuk menyelesaikan semua masalah. Tidak percaya? Belajarlah berenang dahulu.

5 Bunuhlah Diri Kamu Dengan Cara Yang Bukan Konvensional.
Terjun dari kondominium, itu konvensional. Menggantung diri sendiri pada kipas silang, juga konvensional. Menghiris nadi pada pergelangan tangan, sangat-sangat konvensional. Menelan pil-pil tidur dan pelbagai jenis dadah, terlalu konvensional. Dan alangkah rendahnya martabat kamu kalau sekiranya kamu terus memilih antara satu dari yang tersebut sebagai kaedah untuk menamatkan hayat kamu sendiri. Kamu akan menjadi satu kumpulan dengan orang-orang lain yang telah membunuh diri. Kalau kamu berniat untuk membunuh diri, pilihlah satu kaedah yang bukan konvensional. Satu kaedah yang bisa diingati oleh seru sekalian alam. Misalnya kamu mendidihkan air dalam sebuah periuk yang besar, dan kamu terjun ke dalamnya. Atau kamu ke puncak Krakatoa dan jatuhkan diri kamu ke dalam kawah gunung berapi. Nah, kamu telah melakukan sesuatu yang sangat tidak konvensional dan sesungguhnya kamu akan sentiasa diingati kerana menamatkan nyawa kamu dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Simpan sahaja tali gantung, pisau cukur dan pil-pil itu ke dalam mangkuk tandas.


Kalau kamu mahu mati, biarlah kematian kamu akan sentiasa diingati dan diratapi. Kalau kematian kamu tidak dipedulikan, kamu adalah manusia yang paling malang sehingga kamu membawa malang itu ke lubang kubur kamu sendiri.

Kamu masih mahu membunuh diri?

Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (An-Nisa' : 29)

Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah saw., bersabda : “Sesiapa yang membunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; dan siapa yang membunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; dan siapa yang membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya.” (Shahih Muslim)

Konvensi Tabiat Adventure yang Tak Ingin Gua Lakukannya Semula


Malam. Sepilok Laut

Malam itu sangat pekat. Di tengah-tengah belantara yang terkenal dengan orang utannya, memang tiada apa-apa yang kedengaran kecuali bunyi unggas dan bunyi angin sahaja. Koloni manusia yang terdekat pula ada kira-kira 2 km dari tempat gua dan pelajar-pelajar gua berkhemah. Selain itu hanyalah pokok-pokok, bintang-bintang dan angin malam yang dingin sahaja. Orang tua-tua kata, di tengah-tengah belantara, akan ada satu padang yang menghampar. Dan apabila gua berada di situ, gua percaya akan kata-kata itu. Gua sedang berada di padang yang menghampar di tengah-tengah belantara. Dan kata orang tua-tua di padang yang menghampar itulah adanya makhluk lain yang tinggal di situ.

Malam itu, sesudah pelajar-pelajar gua menjamah makanan,gua adakan aktiviti burung hantu. Pelajar lelaki gua bawa masuk jauh ke dalam hutan dan diletakkan duduk-duduk seorang diri. Pelajar perempuan hanyalah di pinggir sahaja, tapi masih lagi seorang diri. Kemudian, gua akan merayap ke sana sini melihat-lihat mereka, risau kalau-kalau ada sesuatu yang tak kena. Ini hutan belantara beb! Bukan padang permainan di hadapan rumah. Suria, Florence dan Lisa pula gua arahkan untuk menjaga khemah.

Selain menjenguk-jenguk yang berada di dalam hutan dan di pinggir hutan, gua juga harus ke tapak perkhemahan. Suria dan Florence juga harus gua pastikan keselesaannya agar tiada apa-apa yang aneh datang menyapa mereka.

“Cigu…” panggil Suria sebaik nampak gua menjenguk mereka.
“Macam bekalan makanan kita mo habis suda ni,” kata Suria. Florence hanya diam. Lisa juga diam Matanya sahaja berkelip-kelip.
“Untuk pagi esok, apa yang ada?” gua tanya.
“Rasanya kalau untuk 3 urang, boleh la,” kata Suria.

Gua menconggak-conggak sendiri. Sebelum masuk ke dalam belantara ini, gua telah membuat perkiraan yang rapi. Berdasarkan pengalaman yang lepas, bekalan yang dibawa memang berkecukupan. Dan pada pagi tadi pun gua masih sempat meninjau bekalan yang diamanahkan kepada Suria, Lisa dan Florence untuk menjaganya. Dan gua rasa memang cukup. Dan di tengah-tengah hutan tebal ini, gua tidak mahu memikirkan apa-apa yang boleh mematikan semangat gua sendiri. “Kehilangan” bekalan makanan itu gua simpan dalam diri gua.

“Ndapa, nanti saya fikirkan macam mana mo setel masalah ini,” kata gua sambil berlalu pergi. Pelajar-pelajar yang ditinggalkan di dalam dan di pinggir hutan harus gua jenguk.
Sambil berlalu gua kata, “Kalau ada apa-apa yang pelik, kamu tiup wisel kuat-kuat”.
Suria dan Florence tidak berkata apa-apa.
“Jangan risau, teda apa-apa. Ada juga renjer yang sedang menjaga kita,” kata gua. Dan pada malam itu sebenarnya gua berbohong kepada mereka kerana tiada seorangpun renjer yang ada di situ.

Selesai ‘burung hantu’, setelah semua pelajar berhimpun, setelah semua tiada apa-apa, dan setelah semua berada di khemah masing-masing, gua ke ‘dapur’. Suria, Florence dan Lisa masih di situ. Bersembang-sembang sesama mereka.

“Saya kena pergi ke daratan. Saya harus mencari dan membawa bekalan makanan. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa makanan,” kata gua.
“Tapi malam suda ba ini, cigu. Mo jam 1 suda,” kata Lisa.
“Tak apa. Saya tiada pilihan. Saya mesti ke HQ ranjer forest. Minta tolong hantarkan saya ke bandar sekejap,” kata gua lagi.
“Gelap ba cigu. Jauh juga HQ ranjer tu,” Lisa kata lagi. Suria dan Florence diam tak berkata. Tapi dalam samar pekat malam, gua dapat lihat keresahan pada wajah mereka.
“Biar kami temankan cigu,” tiba-tiba Suria bersuara.
Gua senyum.
“Tak apa. Biar saya pegi sorang-sorang. Berjalan di tengah malam dalam hutan, banyak yang buruk dari baiknya,” kata gua

Suria, Florence dan Lisa diam.

Gua bersiap. Sebilah pisau yang selalu gua bawa semasa berkhemah, gua genggam kemas-kemas. Semasa gua bangun untuk ‘mengembara’, Lisa menghulurkan lampu suluh.
“Mungkin ini akan berguna untuk cigu,” kata Lisa. Perlahan suara dia.
Gua ambil. Gua pandang ke muka anak-anak perawan yang mula meninggalkan angka belasan pada usia mereka. Garis-garis resah, risau dan takut ada pada wajah mereka.
“Bah, janganla kamu semua bimbang. Teda apa-apa juga tu nanti. Campin juga saya ni dalam hutan,” kata gua separuh bergurau. Gua senyum. Tapi senyuman tiada pada diri mereka.
“Ingat, jangan kamu mengasi tau sama palajar-palajar lain saya teda. Nanti entah apa-apa yang durang lakukan nanti. Kalau ada yang bertanya, katakan sahaja saya ada dalam khemah,” kata gua.

Gua bangun.
“Cigu…” kata Lisa. Perlahan suaranya. Sayu pada telinga gua.
Gua berpaling. Gua lihat Lisa. Gua sangat faham sinar yang terdapat pada mata Lisa. Gua menghampirinya. Sambil menggosok-gosok bahunya gua kata, “Jangan risau.”

Dan dalam pekat malam itu gua merentas hutan itu seorang diri. Tangan kiri gua memegang lampu suluh yang diberikan Lisa. Tangan kanan gua pula mengenggam pisau yang bersarung.

Malam itu, hutan Sepilok Laut sangat gelap. Gua harus merentas sejauh dua kilometer untuk ke HQ ranjers Jabatan Perhutanan. Gua hanya berjalan berpandu pada naluri dan daya ingatan sahaja. Dalam pekat malam, amat sukar untuk melihat denai. Lampu suluh yang diberikan Lisa tidak gua gunakan. Dalam hutan, amat tidak elok untuk menggunakan sesuatu yang bercahaya. Bimbang akan menarik perhatian hidupan yang tidak ingin gua lihat dan tidak ingin gua jumpa.
Semasa berjalan, gua teringat-ingat peristiwa seorang pegawai tentera muda yang sesat di dalam hutan Sepilok Laut selama berminggu-minggu, dan kemudiannya dijumpai rangkanya berhampiran Seguntor. Sangat misteri. Dan sekarang gua sedang berada di hutan yang sama pada tengah malan yang sangat gelap! Tapi gua tahu, Yang Di Atas akan menjaga gua.

Setelah bermain-main dengan malam yang pekat di tengah hutan, setelah mendengar bermacam-macam bunyi unggas hutan, dan setelah bermacam-macam imaginasi yang gua bayangkan, akhirnya gua sampai ke HQ Jabatan Perhutanan. Seorang ranjer terkejut apabila melihat gua setelah membuka pintu yang diketuk gua. Dengan sebuah bot laju, gua dibawa menyusur sungai menghilir ke muara Teluk Sandakan, dan kemudiannya berlabuh di jeti Tanah Merah.

Kemudian pada jam hampir 2.30 pagi, gua mengetuk sebuah kedai runcit di Tanah Merah.

Dan lebih kurang 2 jam kemudian gua sudah berada semula di tapak perkhemahan Sepilok Laut.
“Kan saya sudah kata, saya ni campin dalam hal-hal hutan,” kata gua sambil tersenyum kat Lisa.

Kalau gua diberi kesempatan untuk melakukannya sekali lagi, berjalan di tengah belantara pada waktu malam yang pekat, sungguh gua tidak akan mengulangi konvensi tabiat gua yang adventure yang entah apa-apa itu!

Monday, 24 May 2010

Getaran itu Adalah Kehidupan


Setiap kali gua diterjah dengan sindiran dan cerita-cerita yang tak betul, mereka akan datang diam-diam berjumpa gua dalam bilik guru. Mereka sangat tahu, kalau gua diam dan bisu dalam bilik guru, hati gua sedang gundah. Dan mereka juga sangat tahu dari mana akar gundah itu membiak.

“Ndapa ba cigu, kami tau juga sapa cigu,” kata mereka. Bila mereka berkata-kata begitu, ada tergaris warna-warna suram pada wajah mereka. Mereka menjadi suram apabila gua diam.

Memang mereka adalah anak-anak yang baik. Faham akan apa yang sedang gua lakukan. Faham akan apa yang berapungan dalam kotak fikiran gua. Kadang-kadang, gua memberikan sedikit keresahan gua kepada mereka. Dan mereka akan duduk-duduk sambil melihat keresahan gua itu. Tidak sedikitpun berkalih ke kanan atau ke kiri. Kalau terjahan itu datang dari kiri, maka dari situlah mereka akan menyusur. Kalau terkaman itu silaunya dari kanan maka disitulah mereka ada untuk menampannya. Dan mereka akan mencuit bahu gua kalau ada yang datang dari belakang yang cuba-cuba untuk memukul curi.

Bagi gua, mereka bukanlah hamba Tuhan yang yang diutuskan dari sorga. Tapi mereka adalah serikandi yang beralaskan keikhlasan apabila berjalan. Mereka bukan dari kelompok yang manis di luar yang sangat berulat di bahagian dalam. Bukannya kelompok yang suka berkata-kata dengan penuh asyik tentang kekhilafan yang mungkin gua lakukan. Mereka bukannya kelompok yang cepat-cepat memadamkan nama gua setelah puas menabur paku dari mulut dan tangan masing-masing. Mereka juga bukan dari jenis yang suka bermain dengan kata-kata. Bukan juga dari kumpulan yang suka menggunakan laman sosial untuk berkata itu dan ini dan kemudiannya memadam nama orang lain apabila terpalit pada hidung sendiri.

Sungguh, gua sangat banyak belajar dari perjalanan yang berlaku.

Friday, 21 May 2010

Gua Sangat Beruntung dan Bertuah.


Anak perempuan gua, selalu melayan seleranya di restoran2 makanan segera. Kalau tidak dilayan rengekannya untuk menggigit burger atau menjilat ais krim, dia akan terus-terusan merengek. Tapi anak-anak di sana terpaksa mengekor ibunya membawa periuk kosong menanti rezeki.

Gua masih ada t shirt murah dari pasar malam. Jeans koyak dari kedai bundle. Tapi mereka tak punya apa-apa. Gua jauh lagi beruntung dari mereka.

Bermain-main berhampiran tulang-tulang dan tengkorak, adalah biasa. Bagaikan kematian itu sangat hampir dengan mereka. Tapi mereka tidak pernah berkira-kira untuk memendekkan nafas sendiri supaya terlepas dari segala kepayahan.

Anak ini harus berada di kaki lima yang berdebu untuk menyambung hayat. Tanpa mangkuk itu, dia mungkin akan tidur dalam kelaparan. Anak ini sangat tidak bertuah.

Tatkala gua bermimpi di atas tilam empuk, ada pula yang di hujung sana berharap agar dia terus tidur dan berharap agar tidak bangun lagi, ingin tidur dan menutup mata sampai bila-bila.
Sungguh, gua sangat beruntung dan bertuah.

Last Kiss

"Cikgu, menang ke Chelsea?" tanya EJ

"Tah gua tatau, gua x tengok tv. Gua kt studio. Jaming" balas gua.

"Jamming lagu apa?" EJ tanya lagi via sms.

"Tah, macam2 gua belasah. Main ikut sedap tekak jak ni," kata gua, via sms.

“Cikgu, wa cukup suka dengan lagu Last Kiss,” kata EJ.
“Saper yang nyanyi?” tanya gua.
“Pearl Jam,” EJ kata lagi.
“Oooo…” gua kata.

“Wa suka dengan bunyi gitar dia” kata EJ lagi.
“Oooo..” gua kata lagi.
“Nanti cikgu nyanyi sepesel untuk wa bila wa gi KL ar,” EJ kata lagi.
“No hal. Nanti gua cari dia punya kord dulu.” kata gua.

Gua pun menyelongkar Youtube. Gua cari Last Kiss. Bila dapat, gua dengar dan tengok lirik dia.

“Oh, senang ni. Relay Chord ni,” kata gua dalam hati.
Gua dengar lagi….. open chord sahaja lagu ni dari akhir hingga habis. Strumming dia pun tak susah.

“Ok, EJ. Gua dah ready. Lu datang KL, Last Kiss ini akan jadi lu punya lagu” kata gua, malam besoknya.
“Perghhh…cepat juga,” kata EJ.

Thursday, 20 May 2010

Momen-momen yang Cantik.


Sebenarnya, sangat sukar untuk menjauhkan sesuatu yang menjadi kenangan. Ia seperti segumpal rambut yang bersimpul antara antara satu sama lain. Semakin ditarik, simpulannya menjadi semakin kental dan erat. Mereka adalah pemberi momen indah yang cantik untuk gua. Tatkala guru lain lebih senang untuk memilih berada di dalam kelas sambil melihat-lihat jam menanti tamatnya masa pembelajaran, gua pula sangat suka untuk memilih berada bersama-sama mereka. Makan apa yang mereka makan. Mandi di anak sungai yang sama, berkongsi mimpi dan cerita. Dan kadang-kadang bersila beramai-ramai di atas rumput sambil mengunyah-ngunyah megi mentah. Bersama-sama mereka, gua bermain-main dengan hamparan pasir yang memutih di Pulai Selingan. Meredah Laut Sulu dengan kapal nelayan [kapal yang percuma sahaja kerana seorang bapa telah bermurah memberikan khidmatnya] sambil melihat ada antara mereka yang pening-pening kerana olengan kapal yang meniti ombak yang kadang-kadang menaik dan menurun secara mendadak.

Bersama-sama mereka juga gua menyusur masuk ke perut Gomantong. Menghidu hancing kencing kelawar. Memijak lapisan-lapisan guano sambil melihat dengan penuh kagum para lelaki yang memanjat batang bambu untuk mengambil sarang burung layang-layang.

Bersama mereka juga gua meredah Lembah Danum, bermain dengan pacat selepas hujan yang turun pada waktu petang. Berjalan di lantai hutan yang basah hanya ingin melihat air terjun yang berada di tengah-tengah Lembah Danum. Dan mereka jugalah yang bersorak-sorai apabila melihat gua dengan Parida berlumba-lumba berenang merentasi Sungai Segama yang berarus deras. [dan setibanya di tebing sebelah sana, gua berasa sangat menyesal kerana terpaksa berenang sekali lagi untuk pulang ke tebing sebelah sini].

Mereka ialah anak-anak yang sangat jujur. Tiada kepura-puraan yang menjadi garis hidup mereka, waktu itu. Mereka akan berkata dan memberitahu apa yang mereka rasa patut dan harus diberitahu. Dan gua pula persis seorang pendeta yang mendengar dengan penuh minat segala citra-citraan mereka itu. Mendengar sambil mengangguk kepala, dan kadang-kadang gua akan menggosok-gosok bahu mereka apabila ada titis-titis mutiara yang gugur dari kelopak mata mereka yang bening. Memang sangat sukar untuk orang lain memahami apa yang sedang gua buat. Melihat seorang guru lelaki yang kadang-kadang pahanya menjadi bantal alas kepala pelajar perawan sering menjadi poin untuk mereka mennyatakan ‘kesalahan’ gua. Bagaikan gua telah melakukan satu kesalahan yang boleh meruntuhkan sebuah negara, gua sering diterkam dan diterjah dengan pelbagai sindiran. Tapi, gua tidak pernah menyimpannya ke dalam kantung hidup gua. Bagi gua, kalau mereka tidak mahu masuk ke dalam diri pelajar-pelajar, biar gua sahaja yang melakukannya.

Sekarang, masing-masing sudah mempunyai hidup sendiri. Dan gua tetap wujud seperti dulu. Apabila mereka lama hilang, dan kemudian muncul seorang demi seorang menyapa gua, gua merasakan suatu rasa yang sangat sukar untuk dijelaskan. Mereka hilang, tetapi kemudiannya mencari gua semula.

Dan gua tetap wujud seperti dulu.

BERHENTILAH SEKEJAP....

  Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang...