Showing posts with label resah cikgu metal. Show all posts
Showing posts with label resah cikgu metal. Show all posts

Thursday, 7 November 2024

SEPERTI BANGKU-BANGKU KAKU


 mimpi ialah

     nafas yang belum tersisa

            dan         ...  ...       ...        tertinggal

sebelum dikutip

            sama ada akan terbenam di dalam buih-buih

                    yang menari menyusur alir

        atau mengapung

                          ke dada angkasa yang sentiasa

                                          membuka tangannya...


                                     

Wednesday, 6 November 2024

WAKTU YANG TERDETIK

 Dia berada di atas bangku simen, sewaktu aku melangkah ke kaki lima masjid. Aku tidak mempedulikannya.


"Assalamualaikum."

Aku fikir dia sedang mengucapkan salam kepada seseorang melalui telefon bimbitnya. Tapi aku terdorong untuk menoleh kepadanya.


Aku sudah hampir di kaki lima masjid. Beberapa orang jemaah sedang memakai kasut dan menyarung selipar. Mereka sudah selesai menyelesaikan urusan masing-masing dengan Pencipta mereka.


"Minta bantuan, sikit." Lemah suaranya. Matanya memandang aku. Suatu pandangan yang kukira penuh harap.


Aku mengangkat tangan kananku sedikit, sebagai tanda "nanti dulu, yer."

Aku tahu. "Minta bantuan sikit," itu yang tersiratnya ialah "Sekiranya tidak keberatan, hulurkanlah saya seringgit dua."

Aku sampai di kaki lima masjid. Menanggalkan sepatu. Lalu melangkah masuk. Semasa mengatur langkah itulah terdetik dalam hati. 'Mengapa engkau begitu sombong?' Hati bertanya kepada aku.

'Aku mahu selesaikan urusan aku dengan-Nya dahulu,' jawab aku kepada hati.

                                       *pause*

Selesai urusan di dalam masjid, aku melangkah keluar. Dari sela tiang masjid, aku mencari sosok lelaki tersebut. Aku melihat ke kerusi batu. Kosong.

Lelaki itu telah tiada.

Wajah muramnya semasa mengucap salam, terbayang di fikiran. Lalu aku fikir, 'Dia bukan peminta-minta.' Sungguh, sinar wajahnya bukan mengisyaratkan yang dia seorang peminta-minta. Lalu aku berfikir, sekiranya tiada keperluan, tidak terdesak, dia tidak akan mengucapkan salam yang kemudiannya meminta "bantuan" daripada aku.

Sungguh, mengapa aku begitu sombong sebentar tadi?

Aku ke kereta. Cuba mencari-cari kelibatnya. Tiada.

Di dalam kereta, aku tertanya-tanya. Bagaimana urusan aku dengan Yang Maha Pengasih sedangkan aku sendiri tidak mengasihi saudaraku sendiri?

Tuhan, aku masih seorang pendosa yang terus menimbun dosa dan kesalahan...


Tuesday, 5 November 2024

DERAI CEMARA


cemara menderai sampai jauh,
terasa hari akan jadi malam,
ada beberapa dahan ditingkap merapuh,
dipukul angin yang terpendam  

KABUS PUN MENYEPI DALAM PERJALANAN


Ialah lorong

dan denai

       kaki mencari pijak

             tinggalkan jejak

                  untuk jadikan hari esok

                     tiada lagi mimpi yang isinya luka semalam.

Ya, hidup untuk dinikmati

Bukan diratapi

sementara menunggu tibanya waktu pulang...


 

Thursday, 14 May 2015

KATIL NOMBOR 7

Matanya terpejam. Rapat. Kaku. Wajahnya bening. Seakan sedang bermimpi. Seutas tiub di mulutnya. Seutas lagi dari belakang kepala. Ada sisa-sisa darah dari tiub lutsinar itu. Cair. Mesin-mesin berada di kepala katilnya.

Dia terbaring. Seperti sedang tidur yang sangat nyenyak. Gua memegang tangannya. Terasa suam. Kemudian memberi salam di cuping telinganya. Perlahan. Sangat perlahan.

"Assalamualaikum, kawe maghi ni...."
Kelopak matanya seperti bergerak, sedikit. Kemudian diam kembali. 

Begitulah ... seorang sahabat. Walaupun sedang tidur, masih meraikan kedatangan sahabatnya. Cuma kali ini, dia hanya meraikan kedatangan gua dengan sedikit gerakan kelopak matanya. Itu sahaja.  Pendarahan di belakang kepalanya seakan rawana jahat yang terus-terusan menariknya untuk terus memejamkan matanya.

Kemudian, kesan komplikasi pendarahan otaknya mula menyerang buah pinggangnya. Buah pinggangnya mulai enggan bekerja. Mesin terpaksa digunakan.

Dan matanya masih terpejam. Dia masih lena di katil nombor 7.

Dan hari ini ... beberapa detik sebelum muazzin menyambut kedatangan asar, dia benar-benar lena. Lena yang sangat panjang. Kelopak matanya terus terpejam. Tak akan memandang lagi. Meninggalkan helaian daun kenangan yang tetap merimbun di hati para sahabat.

Sahabat, selamat tidur. Kau meninggalkan aku tanpa sempat berpamitan.

*rahimidin zahari, seorang penyair. seorang budayawan. seorang sahabat. kembali ke sisi-Nya.

https://m.youtube.com/watch?v=qypAaDUpV7oRahimidin Zahari

Monday, 18 July 2011

Selamat Beradu, Sahabat....


Petang. Pertengahan Mei, 1992, gua mula-mula sampai di Sandakan. Perjalanan dengan bas ekspres (bas ekspres?) dari KK membawa gua ke terminal bas Sandakan. Gua tak tahu apa-apa tentang Sandakan. .

Dengan teksi gua ke SMK Sandakan untuk melapor diri. Malam itu gua terdampar di bilik warden asrama. Gua tak tahu nak pergi ke mana-mana dan tak tahu macam mana nak pergi ke mana-mana.

Malam itu, ketika gua tengah melayan berita tv, Azli sampai dengan kapcainya. Azli setahun lebih awal tiba di Sandakan dari gua. Dan malam itu ialah kali kedua gua jumpa Azli. Kali pertama adalah ketika di pejabat sekolah petang tadi. Kebetulan Azli ada di situ.

“Demo make doh?” Azli tanya gua.

“Dak lagi,” kata gua.

“Jom, kita tubik makan. Kawe bawak doh helmet,” kata Azli.

Gua bersiap. Gua membonceng Azli. Berdesap-desup dia bawak gua. Gua tak tahu ke mana dia mahu bawak gua.

Melintasi bandar Sandakan. Kemudian menyusur ke sebatang jalan yang gua tak tahu di mana pun. Kemudian berhenti di sebuah tempat. Macam pasar malam. Kemudian gua dan Azli lepak di sebuah gerai.

“Abang Harun, nasi goreng dua!” laung Azli.

Sambil menunggu, gua melihat-lihat sekeliling. Ada pejabat pos berhampiran. Kadang-kadang gua terdengar bunyi ombak. Gua meneka tentu tempat ini berdekatan dengan laut.

“Tu, budak pompuan yang sibuk kat gerai sana, budak sekolah kita. Budak 6 rendah,” kata Azli.

Mata gua mencari budak pompuan yang dimaksudkan Azli. Gua nampak seorang budak pompuan yang sederhana badannya, berkening lebat dan berkulit putih. [Dia ialah Sapiah yang pernah bercerita sebelum ini]

“Di Sandakan ni, tak ado benda pun yang menarik. Malam jadi macam bandar hantu. Tak ada tempat nak lepak. Pukul 8 malam dah senyap sunyi,” kata Azli. Gua dengar sahaja.

“Nantilah, lepas ni kawe bawak demo gi mana-mana tempat yang hidup sikit,” kata Azli lagi. Dan gua dengar lagi.

Kemudian malam minggu, Azli bawa gua ronda-ronda lagi dengan kapcainya. Memang Sandakan waktu itu tiada tempat yang menarik. Satu-satunya kedai makan yang dibuka sampai lewat pagi ialah Restoran Khadijah, terletak di Taman Tun Razak, berhampiran Pejabat Pos Besar Sandakan merangkap terminal van jarak jauh. Makanannya memang langsung tak enak dan tak banyak pilihan. Tetapi kerana tiada tempat lain, maka di situlah tempat kebanyakan guru-guru bujang dari semenanjung lepak. Dan gua mula bergaul dengan guru2 semenanjung yang lain di situ.

Minggu pertama di Sandakan, Azli yang banyak membawa gua jalan-jalan. Pada waktu petang dia bawa gua lepak-lepak di Restoran Ajmeer. Di situ satu lagi port popular cikgu2 dari Semenanjung. Dan di situ gua menemui lebih ramai lagi cikgu2 dari Semenanjung.

Kemudian Azli menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sandakan. Gua banyak kali juga menjadi pensyarah sambilan di sana atas permintaan Azli sebab tak cukup pensyarah. Atas dasar persahabatan, gua terima pelawaan Azli walaupun student di maktab gua tengok macam sebaya jer dengan gua.

Kemudian Azli kembali ke Semenanjung. Gua dengar cerita dia berpindah ke Dungun, mengikut isterinya. Semenjak itu, gua tak pernah berjumpa dengan Azli. Gua hanya dengar cerita dari jauh sahaja tentang Azli. Tentang kesihatannya yang sering terganggu beberapa tahun lepas. Tapi gua tak pasti betul atau tidak cerita yang gua dengar.

*********

Pagi ini melalui telefon, gua diberitahu oleh Bob (yang pernah serumah dengan Azli di Sandakan) bahawa Azli baru berhijrah ke dunia sebelah sana.

Gua terdiam. Gua tak tahu apa yang patut gua katakan.

Seorang sahabat yang telah lama gua tak temui, pergi terlalu awal. Seorang sahabat yang menjadi ‘abang’ ketika gua mula-mula sampai di Sandakan, telah berhijrah.

Seorang sahabat gua, telah pergi ke pangkin dan dia sedang tidur pada lena yang panjang.

[Tahir, Mat Jef, Gua, Wan Zul, Allahyarham Azli dan Mamat Asri]


Janganlah berdiri di sisi pusaraku sambil menangis

Aku tiada di situ. Aku tidak berbaring.

Akulah antara ribuan bayu yang bertiup.

Akulah permata yang berkilau dari dalam salju.

Akulah cahaya dalam terik matari.

Akulah daun-daun berguguran dalam gerimis.

Pabila engkau bangkit dari tidur pada pagi yang cerah

Akulah yang menciumimu dalam lelah

Kawanan burung terbang bersama.

Akulah bintang suram yang menyinari malam.

Janganlah berdiri di pusaraku dan menangis:

Kerana aku tiada di situ. Aku tidak mati.

Monday, 20 June 2011

Warisan


Zaman kanak-kanak, gua budak kampung. Kanak-kanak kampung yang sarat dengan hidup cara kampung. Zaman kanak-kanak kampung gua, ialah zaman suci bersih. Macam air hujan yang turun dari langit!

Hiburan malam zaman kanak-kanak kampung, adalah nihil. Hanya mengaji Quran di rumah tok guru. Hanya sesekali sahaja apabila ada Main Puteri atau Membageh sahaja, maka zaman kanak-kanak gua sedikit terlibur.

Atau kadang-kadang menonton mak yung.

*****
Zaman dewasa gua, terlepas semua itu. Tidak ada Main Puteri. Tidak ada lagi Membageh. Kerana itu, apabila mak yung dihidupkan di Istana Budaya, gua kembali mencari liburan kanak-kanak yang telah hilang itu.

Bersama perawan kecil gua, gua melihat kembali liburan kanak-kanak gua. Walaupun gua terpaksa menjadi sang narator secara langsung kepada perawan kecil gua, gua masih sempat meraup kembali liburan zaman kanak-kanak gua.

Perawan kecil gua bertanya pelbagai soalan. Semenjak dari mula hingga ke penamat cerita.
"Kenapa dia pakai baju kelip-kelip?"
"Itu raja dan adiknya. Tengok, kan ada mahkota di kepala mereka?"

"Kenapa selalu sangat raja dan princess tu nyanyi?"
"Mereka bercakap sebenarnya. Tapi dibuat macam lagu. Dengar betul-betul, mereka sedang bercakap-cakap"

Apabila sekumpulan jin tiba-tiba muncul, perawan kecil gua memegang kuat-kuat lengan gua.
"Takut" dia kata.

Mak yung di Istana Budaya ada perbezaan dengan mak yung zaman kanak-kanak gua. Ketika gua kanak-kanak, mak yung sangat miskin. Putera puteri rajanya hanya memakai mahkota yang pudar warnanya. Kadang-kadang busananya carik di hujung. Berdendang dan beraksi di bawah bangsal bertiang bambu, berbumbung pelepah-pelapah kelapa. Lampu gasolin diletakkan bergantungan di beberapa penjuru tiang bambu.

Mak yung di Istana Budaya sangat mewah. Busananya indah, hinggakan Pengasuh Tua dan Pengasuh Muda pun berbusana cantik. Ada lampu kelap-kelip pancawarna. Ada asap tatkala sekumpulan jin muncul. Suara jin bergema kasar kerana terjana oleh mesin. Dan para penontonnya duduk penuh santai di atas kusyen dalam dewan berbentuk Roman Theatarical.

Apabila mak yung di tangan para pelakon yang bukan anak jati Tanah Serendah Sekebun Bunga, kata-kata yang diucapkan agak janggal bunyinya. Telornya menjadi pelik. Enam puluh peratus keaslian mak yung telah kabur.

Mak yung di Istana Budaya bukan sepenuhnya mak yung zaman kanak-kanak gua.

*****

Gua keluar dari Istana Budaya dengan mengenggam tangan perawan kecil gua. Walaupun banyak yang telah kabur dan hilang, gua telah membawa kembali perawan kecil gua menelusri denai budaya para leluhurnya. Ketika gua seusia dengan perawan kecil gua, gua sendiri yang mencari mak yung. Manakala perawan kecil gua pula dalam usianya ini, gua yang mengenggam tangannya untuk masuk dan mencari denai leluhurnya yang semakin mengecil. Gua tak pasti, apakah perawan kecil gua akan berkesempatan untuk mengenggam tangan kecil zuriatnya apabila dia seusia dengan gua sekarang ini.

Tuesday, 14 June 2011

Jalan Pintas ke Syurga

Masa di Lembah Pantai, gua belajar lingusitik Melayu. Dia belajar medik. Tahun pertama, gua dengan dia menghuni Kolej Lima. Sebab kami sama-sama marhaen, kami sama-sama mengatur tapak ke fakulti. Fakulti gua lebih dekat. Jadi peluh gua tak sebanyak peluh yang dirembeskan untuk ke fakultinya.

Gua suka masuk bilik muzik. Dia juga suka masuk bilik muzik. Gua hanya tahu petik-petik string gitar sahaja. Tapi dia selalu tukar-tukar. Hari ini petik string gitar, besoknya pukul dram pula, manakala lusanya dia belasah gitar bes. Memang dia boleh main macam-macam.

Dia memang genius. Sewaktu kawan-kawan sekuliah dia yang lain makan buku kerana exam, dia pula sibuk main ragbi sampai patah hidung. Jadahnya, dia pegi exam dengan hidung berbalut. Tapi dia tetap skor.

Gua habis belajar, gua pegi Sabah. Dia pula buat housemanship. Itulah kali terakhir gua jumpa dia.

Sehinggalah gua terjumpa semula dengan dia. Gua hampir-hampir tidak cam. Berserabai macam mat gelandangan.

"Lu pehal?" tanya gua.
Dia tak jawab. Sengih tidak. Mencuka pun tidak. Muka tak ada emosi langsung.

Gua heret dia ke kedai mamak. Gua pesan dua gelas besar teh tarik.
Gua letak Dunhill atas meja. Dia tarik satu demi satu, bersambung puting. Macam orang ketagih nikotin.

Gua tengok muka dia. Gua agak, kawan gua yang genius ini sudah tersalah pilih jalan. Tapi gua diam sahaja. Gua tak mendesak dia bercerita. Gua tunggu dia bercerita.

"Berapa tahun lu kat Sabah?" dia tanya.
"10 tahun" kata gua.
"Bini lu orang Sabah?" dia tanya lagi.

Gua diam, dan dia juga diam.

Kemudian dia kata, "Gua dulu 6 tahun kat Hospital Ipoh. Gua kawin sama budak Ipoh. Nurse."

Nikotin dia sedut dalam-dalam.

Kemudian dia sambung, "Pastu gua balik KL. Gua buka Klinik sendiri kat Pandan."

Kemudian dia bla! bla! bla! bla!

Gua lebih banyak mendengar.


*****

Dia memang seorang yang genius. Dia mampu meraih gelaran doktor. Dia ada pendapatan yang lumayan. Dan dia sangat sibuk dengan kliniknya.
"Demi anak-anak dan isteri gua," dia kata.

Namun, dia terlalai. Dia terlalai untuk melihat-lihat isterinya. Dia tidak dapat mencium kecurangan isterinya. Sehinggalah pada suatu ketika dia melihat sendiri isterinya bersama dengan lelaki lain di atas ranjang.

Gua paham kekecewaannya. Cuma gua tak paham kenapa dia memilih jarum suntikan untuk dicucuk ke dalam tubuhnya. Gua tak paham kenapa dia memilih marijuana. Mungkin kekecewaannya sangat dalam. Menyebabkan dia memilih jalan yang singkat tetapi malap.

Akhirnya, dia hilang semua yang dia sayang. Dia hilang isterinya. Dia hilang anak-anaknya. Dia hilang pekerjaannya. Dan dia hilang dirinya.

Dia telah memlilih jalan pintas untuk ke syurga untuk lari dari neraka dunia.

Monday, 13 June 2011

Sang Pemimpi

Tiga orang anak remaja : Arai, Ikal dan Jimbron.

Arai : anak yang digelar sebagai 'seniman gila' oleh Ikal kerana dia selalu melihat sesuatu yang ada di sebaliknya. Garis terakhir keturunan bapanya yang meninggal ketika dia berusia 8 tahun.
Ikal : anak muda yang pantas berlari. Bijak tetapi terlingkung dalam kemiskinan.
Jimbron : obses terhadap kuda. Menjadi gagap setelah terkejut dengan kematian bapanya yang berlaku di depan matanya. Dia kata, kalau dia mempunyai kuda, dia mampu membawa bapanya ke rawatan dengan lebih pantas. Setelah menjadi yatim piatu, dia dipelihara oleh Pendeta Katolik.

Mereka anak-anak Melayu yang miskin. Namun selalu bermimpi untuk ke Paris. Lalu mereka berusaha untuk meraih mimpi tersebut.

Kata Ikal "Bermimpilah, maka Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi kamu"

Jimbron tidak sepandai Ikal dan Arai. Jimbron hanya tahu tentang kuda sahaja. Lalu dia membeli dua tabung berbentuk kuda, dan dia mengisinya sama rata dengan wang simpanannya.


Tatkala, Arai dan Ikal ke Jakarta kerana melanjutkan pelajaran di sana, Jimbron tidak mempunyai nasib yang sama seperti dua sahabat karibnya itu. Dia hanya mampu menghantar dua sahabatnya di jeti. Jimbron tidak berkesempatan untuk menyertai mimpi-mimpi sahabat karibnya, tapi dia berjaya meraih senyuman Lasmi, gadis yang sekian lama kehilangan senyumnya setelah kehilangan seluruh keluarganya dalam tragedi bot karam.

"Kalian akan ke Paris dengan kuda-kudaku," kata Jimbron.

Ikal dan Arai menumpang kapal untuk ke Jakarta dengan tabung kuda pemberian Jimbron, sementara Jimbron mengayuh basikal. Di belakang Jimbron ada Lasmi yang sudah kembali senyumnya.

Di kota Jakarta, mereka terus berusaha untuk meraih mimpi yang mereka cipta semenjak dari zaman kanak-kanak lagi.

Thursday, 2 June 2011

Hijrah

Beberapa kali gua layan Sham Kamikaze goreng gitarnya depan mata gua. Dengan muka hensemnya, anting-anting di sebelah telinganya, Sham goreng gitar macam makan nasi beriyani kari kambing. Sedap dan lazat.

Sekarang, anting-anting sudah tidak ada di telinganya. Sham lebih selesa dengan kopiah dan jubah. Orang kata dia sudah berhijrah. Gua kata, 'Baguslah'.

Tentang artis yang berhijrah ni, bagi gua adalah lumrah. Sebelum ni pun ramai juga artis yang berhijrah. Gua mula tahu artis yang berhijrah ni setelah gua mulai masuk sekolah menengah. dR Sam Rasputin yang terkenal dengan irama raggaenya ialah artis pertama yang gua tahu melakukan penghijrahan ini. Dengan jambang dan serbannya, dR Sam memasukkan dirinya dalam satu jemaah dakwah. Mula-mula, sekali sekala dia berlakon juga. Sekali sekala dia juga merakamkan lagu. Tapi kemudian, dia menyepi terus dari dunia hiburan dan meneruskan kehidupannya dengan jamaah yang disertainya.

Ketika gua di hujung-hujung sekolah menengah, Ramli Sarip juga menunjukkan ciri-ciri untuk berhijrah. Lagu-lagunya banyak bercerita tentang keislaman. Sebab gua minat dengan muzik keras yang dibawa oleh Ramli Sarip, gua sentiasa mengikut perkembangannya. Gua pernah melihat Ramli Sarip di Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar mengerjakan solat Jumaat. Dengan berjubah dan berserban, dia berada di saf yang paling hadapan.

Kemudian, sewaktu gua di UM, gua pernah terserempak dengan seniman Azmil Mustapha. Dia seorang pelakon popular masa tu. Dia juga pernah buat album berentak jazz. Masa gua terserempak dengannya di Perdana Siswa, Azmil memakai baju Melayu. Penampilannya sudah nampak sedikit Islamik. Dan kemudian, gua dapat tahu Azmil terus komited dengan kerja-kerja keislamannya dan merantau ke beberapa buah negara di Timur Tengah semata-mata ingin mendalami Islam.

Gua juga pernah satu kali terserempak dengan bekas vokalist kumpulan Wings, Mel. Ketika itu dia berbusking di food court Riana Green, Bangsar. Sambil bermain gitar, dia bernyanyi bersama beberapa rakannya. Gaya dan penampilannya sudah lain. Bukan lagi gaya seorang rockers, tetapi gaya seorang ustaz. Mel juga telah berhijrah.

Sebenarnya, ramai lagi artis yang membuat penghijrahan. Dan dalam pemerhatian gua, kebanyakan artis lelaki yang berhijrah ini datangnya daripada aliran muzik keras. Macam Ramli Sarip, Mel, Akhil Hayy dan Amy Search. Bob Lokman juga berasal daripada kelompok itu.

Ada juga yang datang dari kelompok dang dut, macam Iwan.

Cuma yang membezakan mereka ialah mungkin cara dan lorong penghijrahan itu. Ada yang berhijrah, dan terus menjauhkan diri daripada dunia hiburan. Macam dR Sam, Mel, Izam [EYE], dan Azmil Mustapha. Ada pula yang terus berada dalam dunia hiburan walaupun sudah berhijrah, macam Ramli Sarip, Amy Search dan Sham Kamikaze. Ada juga yang mengambil pendekatan seperti berpatah arang dengan dunia hiburan, macam Bob Lokman. Akhil Hayy juga pernah mengambil jalan seperti jalan yang diambil oleh Bob Lokman sekarang.

Walau apa pun cara dan lorong yang mereka pilih, gua percaya niat dan tujuan mereka cuma satu sahaja. Banyak orang yang marah-marah apabila Bob Lokman memilih pentas parti politik pembangkang untuk berdakwah. Cuma yang marah-marah itu tidak pula meluahkan kemarahan mereka kepada gejala keruntuhan akhlak anak-anak muda, setara dengan kemarahan mereka yang dituju kepada Bob Lokman. Bagi gua, sekurang-kurangnya Bob Lokman telah melakukan kerja Tuhan, tidak seperti orang yang marah-marah itu.

Beb, lu hormat la sikit pada jalan yang diorang telah pilih.

Thursday, 5 May 2011

Petikan.

Sebaik aku sampai, pintu rumahnya terbuka separuh. Terus sepatu aku tanggalkan. Dengan suara kecil aku memanggil namanya.

Senyap.
Sunyi.

Perlahan-lahan aku menolak daun pintu rumahnya. Mata aku hinggap ke sebuah sofa baldu putih. Dia terbaring di situ dengan mata kuyu separuh terjaga.

Aku memanggil namanya. Dua kelopak matanya terbuka. Dia senyum. Dari dua ulas bibir mungilnya dia mengeluarkan kata-kata. Aku tak mampu memahaminya. Terlalu perlahan. Aku duduk di sisinya. Lantas dia melentokkan kepalanya ke atas bahu aku. Helaian rambutnya menyentuh pipi aku.

Dia berkata-kata lagi. Dan aku masih tidak memahaminya. Kerana terlalu perlahan. Lalu aku mendekatkan cuping telingaku ke bibir mungilnya. Aroma wain merah meruap aku ciumi. Ternyata dia separa mabuk lagi.

"Aku ingin mati sahaja. Daripada begini."

Aku diam.

Kenapa tidak sahaja engkau membuka tingkap rumahmu? Atau berdiri sahaja di beranda belakang? Kemudian lompatlah dengan kepala ke bawah dari tingkat 15 kondo ini?

Dia memaling mukanya. Memberi pandangan sehingga ke luar tingkap.

"Engkau tidak pernah cuba untuk memujuk hati aku. Walaupun sekali."

Kelopak matanya bertaup erat. Tapi aku tahu dia tidak tidur. Dia hanya separa mabuk wain merah.

"Aku tidak pernah memujuk kerana engkau tidak pernah mahu mengerti," aku kata. Aku meletakkan kepalanya di atas sofa baldu putih itu. Aku bangun. Cuba mencari angin dan cahaya matari.

[jangan sesekali lu beranggapan bahawa gua sedang berkisah tentang cerita sebenar gua. Ini petikan daripada khayalan gua, yang gua masukkan dalam bab 7. Wacana khayalan gua yang dalam proses, yang masih dikejar-kejar oleh sang editor]

Tuesday, 3 May 2011

Mengembara Dalam Dunia Gua.

Pertama buku.
Kedua, muzik.

Itulah dunia yang gua tekuni sejak dari gua pandai minum teh tarik, sehinggalah ke zaman sudah panadai lepak2 di kopitiam. Maka, sebagai memenuhi keghairahan gua pada dunia buku, gua ikut sama menyibukkan diri gua ke dalam PWTC.

"Apa ada di PWTC?"
Sememangnya, kalau lu menanya gua tentang itu, maka gua jawab, lu tak boleh menjadi awek gua yang ke-15! Ya, gua akan senang-senang menghubaya-hubayakan sesiapa yang sangatlah tidak peka dengan dunia buku. Tapi jangan sesekali ajak gua bersembang tentang buku-buku [atau novel] yang bertajuk :

1. Hantu Toyol Pulang Malam.
2. Kekasihmu adalah Bekas Kekasihku yang Tak Jadi Dipinang kerana Aku Kerja Peon di Pejabat Tanah.
3. Cara-cara Membuat Duit dengan Menjual Surat Khabar Lama dan Bateri Lama.
4. Kisah Cinta Penyanyi Terlampau Tereksiden Mengandung 4 Bulan.
5. Kisah Benar Pembunuhan Jutawan Tempe di Kebun Koko.
6. ... dan mana-mana yang sewaktu dan sezaman dengan tajuk-tajuk yang di atas...

Maka gua pun, dengan gaya bajet setengah hensem, setelah mendapat parking tatkala hampir tergeliat segala sendi siku memulas stereng kereta nasional yang mahal tapi tak padan dengan kualiti, dan setelah habis mencucuh sebatang Dunhill, maka dengan penuh bergaya gua mengatur tapak kaki ke PWTC.

Ohhh...gua lupa, petang itu ialah petang Sabtu. Apa ada pada petang Sabtu? Kenapa gua ke sana pada petang Sabtu?

Entah, gua sendiri tak tahu kenapa gua harus ke sana pada petang Sabtu.
[Hekelehhhh...jangan pura2 tak tau la bro. Lu pegi sana pada petang Sabtu sebab kena kerah]
Aduhh..suara ghaib itu telah membongkarkan rahsia gua kenapa gua ke sana pada petang Sabtu.

Memang gua ke sana kerana dikerah. Tapi bukan dipaksa. Kalau gua tak dikerah sekalipun, gua tetap ke sana pada petang itu. Ada pelancaran buku puisi Tautan, hasil kerjasama tempat gua bekerja dengan errrr...errr...errrr...apatah nama organisasi dari Jerman tu. Bukan gua lupa, tapi gua tak ingat sahaja kerana sindrom untuk menyebutnya telah menyerang saraf tempat menyebut perkataan itu pada titik artikulasi yang betul dalam kepala hotak gua.



Beb, kalau lu tak tengok pelancaran buku yang pergi ke pasaran dunia, dan buku itu lu ada di dalamnya, maka lu tidak lebih daripada buih-buih yang terdapat di dalam gelas kaca teh tarik kedai mamak!

Kemudian setiba di tempat itu, kerusi sudah penuh. Penuh kerusi diletak dengan punggung-punggung manusia. Dan kebanyakan tuan punya punggung itu bukannya nak melihat pelancaran buku itu, atau terdiri daripada para ulat buku, para tahi buku, para kekasih buku, tetapi lebih nak duduk-duduk untuk melepaskan lelah. Maka gua pun terpaksalah berdiri di satu sisi di bahagian hujung. Tak apalah, kaki dan lutut gua masih kekal mantap dan gagah perkasa untuk berdiri. Nikmat Tuhan untuk gua berdiri masih ada, sikit pun tak berkurang.




Kemudian, setelah berangkat-angkat tangan dengan bos besar, gua perlahan-lahan membuat ilmu halimunan. Perlahan-lahan gua ghaib dari majlis itu. Dan kehandalan gua dalam ilmu ghaib-menghaib ini memang tidak boleh dinafikan. Perlahan-lahan gua berdiri di satu tempat, dan sedikit demi sedikit gua terangkat ke atas dan *pling* gua terus ghaib. [gua naik eskaltor la tu]

Sekadar mahu mengambil hati atau apa, gua pun tak tahu. Tapi sebaik melintas booth ITNM, gua terus masuk ke situ. Ehhhh....gua lupa, organisasi ini ialah organisasi tempat gua kerja. Patutlah gua tengok yang tukang jual buku kat situ macam gua kenal. Kemudian dari rak ke rak, gua melihat beberapa buah buku yang telah gua sembelih.

Kemudian, gua pun mengembara. Dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi. Dan ini dunia yang gua jumpa:

1. The Adventure of Ibn Batuta : A Muslim Traveller of the 14th Century (Ross E Dunn)
2. The Clash of Fundamentalisms : Crusades, Jihads and Modernity (Tariq Ali)
3. Transalting Scientific Text (Kulwindr Kaur Sidhu)
4. Kajian Bahasa dan Terjemahan (universiti Malaya)
5. Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat (Dr. MAZA)
6. 13 Mei : Sebelum dan Selepas (Tunku Abdul Rahman)
7. Clobal Terrorism and Religious Terrorist
8. Nasib Melayu di Bumi Melayu (Dr. Ridhuan Tee)

Gua langsung tak pergi ke booth yang menjual novel-novel popular. Langsung tak pergi ke publisher-publisher yang seperti wanita tengah subur yang beranak terus-terusan. Maka apabila seorang towkeynya, berkata :
"Kita ada pasaran sebenarnya. Tengok sahaja Ain Maisara. Hari ini sahaja 13,000 naskhah dapat dijual." dan gua lihat Dato' A Samad Said terkelip-kelip di sebalik kaca mata bulatnya, manakala Prof Emiritius Dr Muhammad Haji Salleh tak senyum dan tak masam mukanya.
Dan gua kata pada diri gua sendiri : "Apalah sangat nak dibanggakan dengan novel merah jambu dari penulis itu!"

Kemudian gua merayau-rayau lagi. Apabila ada jurujual yang menjual sebarang mak nenek tentang belajar bahasa Inggeris misalnya, menghampiri gua cuba menggoda gua agar membeli barangan mereka, maka gua selalunya akan menjadi seperti orang pekak. Gua nak cari buku, gua bukan nak belajar komputer! Selagi mereka tidak meletakkan gadis seseksi Maria Ozawa di booth mereka, jangan harap gua akan singgah. menjeling pun tidak sama sekali.

Tengah asyik merayau-rayau, gua di sapa Che Mat, otai gua. Jom, kita pekena rokok dulu, begitulah kata-kata Che Mat. Kemudian gua kata, Jom.

Di depan pintu masuk utama, kebetulan ada meja kosong. Gua duduk di situ dengan Che Mat. Dua teh tarik dengan harga hampir 10 ringgit, gua letak atas meja. Sesungguhnya, dua teh tarik yang terisi dalam gelas kertas itu hanyalah sekadar dijadikan gua sebagai alasan untuk tidak dijeling si Bangla tukang layan. Kalau ada dua gelas teh tarik di atas meja, maka ia tentunya akan menjadi kuasa yang berkata :
"Aku bukan duduk-duduk secara cuma-cuma di atas kerusi ini. Aku minum teh tarik yang kamu jual."

Kemudian gua pun Pung! Pang! Pung ! Pang! dengan Che Mat. Berpung! Pang! Pung! Pang! dengan otai yang banyak pengalaman ini memang mengasyikkan. Apatah lagi Che Mat ada seorang anak perempuan yang artis-artis Malaysia pun boleh tercicir ke tempat kedua.
Che Mat Pung! Pang! pung! Pang!
Gua pun Pung! Pang! Pung! Pang!
Che Mat cucuh Benson,
gua cucuh Dunhill.

"Hang nak pi mana lepaih ni?" Che Mat tanya gua.
"Istana Budaya." kata gua.
"Ada teater apa kat sana?" Che Mat tanya.
"Bukan teater. Konsert. Konsert Wings," gua kata.
"Mahai tiket aku dengaq," kata Che Mat.
Gua tak jawab. Gua senyum sahaja. Dalam hati gua kata, "Apa tak mahalnya, tiket yang rega 200 lebih jer yang tinggal. Yang paling murah 80 hingget dah berkurun habis."

Gua tengok jam [bukan jam omega Dato' T] di tangan gua. Hampir 7.15 malam. Gua pelan-pelan minta diri dari Che Mat. Gua mencari tempat untuk gua berjumpa dengan-Nya.

Dan selepas itu, dari dunia buku gua pergi pula ke dunia gua yang satu lagi. Dunia yang berada di Laman Sari di Istana Budaya.



Untuk 2 jam seterusnya, gua beropera hidup pula dengan Wings. Kepak-kepak bagaikan tumbuh satu persatu dari celah-celah tulang belikat gua. Tapi gua tak mampu dan tak mahu terbang lagi.

BERHENTILAH SEKEJAP....

  Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang...