Monday, 20 February 2017

WAKTU BAGAI ANGIN YANG MAMPIR TANPA ISYARAT.

Datangnya seperti selalu. Tanpa salam pada awal waktu. Menerpa dan masuk ke dalam kotakkotak. Kotakkotak ingatan. Kotakkotak kenangan. Dan. Seperti selalu. Hadirnya tanpa salam. Perginya tanpa pamit.

Dan waktu membawa kita berlari. Ke serata saujana. Mencari horizon. Serak pelangi di hujung perbukitan yang muncul selepas hujan, tidak mampu disentuh. Hanya indah di sudut mata. Lalu apa lagi yang mampu dilakukan? Memandang ke pepasir di pesisiran pantai. Dan. Kaki seluar yang basah disentuh masin segara. Dan. Butirbutir pasir yang berderai setelah matahari mulai memanjat dinding langit dan mengeringkan jejakjejak kaki di pantai. Hilang dan kabur sedikit demi sedikit. Sedikit demi. Sedikit. Sedikit. Demi. Sedikit. Sedikit...

Diam.


Monday, 3 October 2016

TUKUL & SABIT DAN VAGINA.

“Jika kau membaca al-Kitab tidak akan menjadikan kau seorang Nasrani.”

Entah di mana aku baca ungkapan ini, aku sudah lupa. Ya, ungkapan tersebut berbau idealistik, berbau hindustanik. Ia sekadar ingin memberi justifikasi:  aku boleh tulis apa-apa saja. Aku boleh terbit apa-apa saja. Aku boleh jual apa-apa saja. Jadi, aku tidak membuat salah apa-apa pun.

Jika kau menulis tentang “Cara-cara Merogol Perempuan  yang Balik dari Tempat Kerja  Seorang Diri” tidak semestinya kau akan menjadi seorang perogol.  Tetapi idea tentang cara-cara untuk merogol itu ada kemungkinan akan dibaca oleh seorang pedolifia yang mula bosan dengan kanak-kanak dan ingin menukar seleranya kepada perempuan yang lebih dewasa.  Daripada 1,000 orang yang membaca buku dummy mungkin akan ada 1 orang yang berkecenderungan sedemikian.  Dan yang seorang inilah yang boleh bikin gegak gempita satu negara!

Begitu juga kalau kautulis, kauterbit, dan kaujual buku tentang komunisme. Apa yang kaujangkakan daripada massa? Bahawa kau adalah penjaja ilmu dan kau bebas memperdagangkan apa saja yang kau mau? Bahawa kau bertindak atas dasar kebebasan tanpa sebarang sekatan? Bahawa kau punya suatu tanggapan iaitu massa mempunyai akal yang waras dan mampu menyisihkan intan dalam kaca? Bahawa kau ialah daripada kelompok kendiri, maka kau tak terikat dengan apa-apa jua etika?

Aku tiba-tiba teringat akan kelancangan (bukan KELATANGAN)kau memperlekeh, mengherdik, mencemuh, merendah-rendahkan, mencabar keintelektualan orang yang hanya “bersin di sisi reban ayam” kau. Begitu ghairah sekali kau menghambur kata-kata tanpa ada rasa malu, jauh sekali rasa hormat kepada manusia lain. Kelancangan kau itu aku tahu sebabnya. Sebabnya kau ingin dilihat sebagai pemberontak dan cuba menjadi pahlawan dalam kalangan penggiat yang satu aliran denganmu. Itu sahaja, tiada sebab lain.

Kau bertindak atas premis “kebebasan”. Tetapi kau harus sedar tiada kebebasan mutlak di mana-mana pun di ceruk dunia ini. Negara komunis sendiri pun tiada kebebasan mutlak. Hanya kerana kau tertidur sewaktu mesyuarat, kepala kau akan dihukum diletupkan dengan peluru senjata api. Kau tidak bebas untuk tidur sesuka hati walaupun kaukata tidur ialah kebebasan asasi kau.


Tukul dan sabit ialah simbol kepada komunisme. Kalau kau letakkannya pada kulit buku kau, apa yang kau fikirkan apa yang ada oleh orang yang melihatnya? Baiklah, kaukata bacalah buku itu dulu. Jangan terus terjah dan buat kesimpulan. Der, apabila sebuah buku yang kulit depannya ada seorang perempuan jelita yang berbogel, mengangkangkan kedua-dua pahanya, menampakkan vagina yang tergangga, apa yang kauharapkan daripada orang yang melihatnya?  

Begitu jugalah dengan buku komunisme kau itu.







Sunday, 2 October 2016

APA BEZANYA GELARAN "DR" ITU?

Ya, kita memang suka akan cerita-cerita sensasi.  Tapi dalam masa yang sama, kita tidak sedar yang kita selalu ditipu dan diperdaya saban hari.  Ia bukan berlaku pada hari ini. Bukan juga baru semalam kita ditipu dan diperdaya. Bukan juga tahun lepas perkara sebegini berlaku. Tetapi ia sudah berlaku semenjak beratus-ratus tahun yang lalu.

Okey, gua bukan nak membebel tentang betapa orang kita telah diperdaya dan ditipu semenjak ratusan tahun yang lalu. Garis masa tersebut terlalu panjang dan lama. Kalau membebel pun, mungkin tak banyak yang akan memahaminya. Lagipun benda-benda lama ini ialah sejarah. Dalam keadaan mata pelajaran Sejarah dibangku sekolah pun menghidangkan entah fakta apa-apa, fakta-fakta yang disembunyikan, hanya sebahagian sahaja fakta yang ditonjolkan, kemudian dimanipulasikan; jadi apa lagi yang kita harapkan daripada generasi terkini?

Azizan Osman ialah nama yang sangat popular sehari dua ini. Dahulu namanya sangat wangi dan dipandang dengan mata positif oleh kebanyakan manusia di Malaysia, khususnya orang-orang Melayu.  Namun begitu, sekarang ini nama “Azizan Osman” yang berada tinggi nun di langit ketujuh, tiba-tiba gugur ke pelimbahan yang busuk dan hanyir. Ini semua gara-gara gelaran “Doktor Falsafah Kehormat”. Entah siapa yang begitu berminat untuk menyelongkar segala gelaran yang Azizan Osman ini peroleh.  Tetapi yang pastinya orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu sudah tentu orang-orang yang memandang tinggi terhadap Azizan Osman. 99% gua berani kata, yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu ialah musuh-musuh Azizan Osman.  

Kenapa mereka membuat pendedahan begini?  Adakah orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan ini berasa bertanggungjawab untuk menghentikan penipuan yang dilakukan oleh Azizan Osman selama ini? Adakah orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu berasa yang dia mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan?

Atau, adakah orang yang membuat penyelongkaran dan pendedahan itu mempunyai dendam peribadi terhadap Azizan Osman? Maka, demi melunaskan api dendamnya, dia ingin melihat Azizan Osman terduduk di pasak bumi.

Baiklah, gua bukannya nak kata sama ada gelaran “Dr.” pada pangkal nama Azizan Osman itu sah atau tidak.  Bagi gua, itu bukan isunya.  Yang gua nak fokuskan ialah sikap dan respons orang-orang kita.

Betapa banyaknya orang-orang kita mengutuk dan mengecam Azizan Osman ini.  Apatah lagi dalam dunia di hujung jari ini, semua kutukan itu bergerak dan meluncur dengan begitu pantas.  Penuh segala “tembok” FB dengan pembongkaran ini.  Namun, sedarkah kita, sekalipun Azizan Osman ini menipu gelaran “Dr.”nya, dia tidak pula membelasah harta orang ramai sesuka hatinya!  Sebaliknya, sudah banyak orang berjaya yang terhasil daripada bimbingan Azizan Osman.

Kalaulah orang kita bereaksi yang sama seperti reaksi mereka terhadap para pembolot harta negara, alangkah bagusnya.  Azizan Osman membantu orang-orang kita untuk berjaya dalam hidup.  Tetapi si pencuri harta negara hanya membesarkan tembolok sendiri dan tembolok anak-beranak mereka sahaja.

Kamu kutuklah Azizan Osman.  Tanpa gelaran “Dr” pun sekarang ini Azizan Osman boleh pergi ke mana-mana ceruk dunia dengan menggunakan mana-mana syarikat penerbangan, menggunakan kelas perniagaan, dan mendaftar masuk ke bilik hotel yang paling mahal, untuk bercuti.

Dan kita dapat apa?  Hari-hari kena tipu, der!

Tuesday, 20 September 2016

KAWAN, INI FRAGMEN CERITA KITA (II)


Kadang-kadang kita teringin menikmati sup yang lazat. Dan restorannya bukan terletak di Daerah Sandakan itu. Di Batu 32, di simpang tiga yang memisahkan Kota Kinabalu-Kinabatangan/Lahad Datu/Semporna/Tawau – Sandakan, kau dan aku akan menghirup sup yang lazat itu, sambil melihat manusia-manusia kecil berjaja rezeki dari satu van ke satu van.

Manusia-manusia kecil dengan cerita-cerita besar. Engkaulah yang memberitahu aku tentang salak gula yang isinya sangat manis dan sangar berjus yang dijajaj oleh manusia-manusia kecil ini. Tetapi cerita besar. Cerita tentang tanah pusaka meeka yang dirampok sang penguasa yang berhati Firaun. Cerita tentang tanah yang disandak dan dituntut zaman-berzaman. Cerita tentang persona non grata. Terlalu kacau dan sukar untuk dimengertikan aku yang baru menghirup udara Bumi di Bawah Bayu ini.

Dan engkau, kawan, memahamkan aku.







Saturday, 17 September 2016

KAWAN, INI FRAGMEN-FRAGMEN KITA (I)



Dengan apa lagi katakata harus diluncurkan lagi, sedang rindu yang tak pernah padam itu terhapus dengan sebaris kata pada suatu pagi: dia sudah pergi. Dan katanya lagi, kau pergi dengan begitu damai tatkala umat melaungkan takbir.

Aku tak pasti apa yang aku rasa tatkala itu. Sedang tawamu yang kecil masih merayap di kuping telingaku, sedangkan engkau tiada sebenarnya, aku terputus bicara. Sungguh. Aku. Terputus. Bicara.

Segala cerita gila yang kita bina, ah … susah untuk aku sembunyikannya. Restoran Khadijah, di Taman Tun Razak, engkaulah yang membawa aku buat pertama kalinya pada jam 1 pagi. Dalam alunan lagu “Penasaran” daripada kotak muzik di hujung pintunya, sepinggan mi bodoh (itu katamu, lantaran hanya mi yang digoreng bersama beberapa tetes kicap pekat) aku makan sehingga habis. Dan di hujung sana, di sebelah kaunter, ada seorang gadis kurus kecil yang tersenyum-senyum tanpa aku tahu apakah maksudnya itu? Lalu kau berkata, ah kesian sungguh si gadis itu, terlalu berharap kedatangan kama sedangkan kama akan berijab kabul dengan gadis di pinggir pantai pasir putih!







Thursday, 15 September 2016

IKAN PERUMAHAN


Bulan Puasa. Petang itu sangat panas. 

Pagi, semasa di sekolah Bob kata, “Aku nak buat ikan percik.”

Gua jawab, “Perghhhh…!” Dua-dua ibu jari, kanan dan kiri gua naikkan ke atas.  

Bayangkan, bulan puasa, jauh di Sabah sana, kau bersungkai dengan ikan percik!  Syurga yang teramat!

“Tengah hari pasni, habis sekolah, aku nak pegi pasar.  Beli ikan ‘perumahan’.” 

Gua mengekek! Sebab Bob telah ada panggilan khas untuk ikan kembung.  Di Sabah, ikan kembung dipanggil ikan “lumahan”.  Tapi Bob sengaja memanggilnya “ikan perumahan”.

“Menguluk jak cegu ni!” kata Asnita, gadis Bajau+Suluk+Sungai+Afghanistan bila gua kata, “Abang Bob pigi pasar, beli ikan perumahan”, bila dia tanya mana pergi Bob, kerana dia telefon ke rumah Bob di Grand View, tiada orang yang menyambut.

Bulan puasa. Petang itu sangat panas.
“Aku tukang kipas ikan, nak buat percik aku tak reti.” Gua kata.

Bob sengih.

Di dalam longkang cetek, di tepi anjung kereta, maka duduklah gua di situ. Di dalam longkang cetek, ada arang sedang membara.  Asap berkepul-kepul.  Dawai besi pagar yang telah dipotong, diletak di atas arang membara.  Di atas dawai besi pagar yang telah dipotong, 4 ekor ikan perumahan sedang baring.  Asap berkepul-kepul.  Dan gua mengipas-ngipasnya dengan mata pejamcelik, celikpejam.

Pukul 6.25 petang di Sea View, gua bersungkai dengan ikan percik. Lazatnya bagaikan di sorga!

Pukul 6.25 petang di Grand View, Bob bersungkai dengan ikan percik.

Tadi petang.  Cuacanya sangat panas. 





Tuesday, 13 September 2016

KAWAN, AKU TAK SEMPAT MENGHANTARMU.




Dalam perjalanan pulangmu ke tanah leluhur untuk mencium bau tanah tembunimu ditanam, aku hanya mampu menyusun doa dalam diam. Sungguh, kita ini sahaya yang hanya bertandang sebentar cuma di saujana padang, kelak akan berpulang jua ke tempat asal. Cuma engkau, kawan, kepulanganmu lebih cepat daripada aku.

Kawan, engkau pun berangkat pergi. Dan aku masih di sini. Segala kenang denganmu kawan, aku simpan di dalam saku kenangan….

[mengenang seorang sahabat, ahmad bukhari salleh, yang berpulang pada pagi ini. Jantungnya terhenti di hospital damai, luyang, kota kinabalu, sabah.]

Thursday, 8 September 2016

E-BOOK vs BUKU KONVENSI.






Dulu-dulu, kalau gua ke mana-mana, di dalam beg sandang gua paling kurang ada dua buah buku. Tapi sekarang ni, gua jarang-jarang bawa buku di dalam beg.  Yang selalu gua bawa ialah iPad. Banyak e-book yang gua simpan dalam iPad. 

Kenapa gua suka baca buku dalam iPad?
1.  Senang: gua tak payah bersusah payah bawa buku yang digemari ke hulu ke hilir. Duduklah di mana-mana, buka ipad dan baca,

2. Dalam gelap pun boleh baca!

3.  Belek berkali-kali, takkan koyak punya.

Tapi, ini ini paling leceh: baca e-book cepat memenatkan mata!

Tuesday, 6 September 2016

PERIHAL ORANG dan ORANG-ORANGAN.

1. Ada orang yang membesar-besarkan diri untuk menampakkan dirinya besar

2. Ada orang yang dibesar-besarkan oleh orang-orang tertentu untuk dilihat sebagai besar.

3. Ada orang yang dibesar-besarkan oleh orang sekeliling kerana kemampuannya.


Orang yang dalam kelompok (1) akan selalu berkeliaran di Facebook.

Orang yang dalam kelompok (2) ialah para penjilat orang atasan.

Orang yang dalam kelompok (3) selalu bersembunyi di bawah meja.

Sunday, 14 August 2016

KUNANG PESISIR MORTEN



Tak tahu sebabnya, apabila aku membaca Kunang Pesisir Morten, aku seperti membaca suatu salinan naskhah trilogi Andrea Hirata.  Mungkin penceritaan tentang zaman anak-anak menyebabkan “salinan” itu terjadi.  Andrea Hirata yang meniru Raiha Bahaudin, atau Raiha Bahaudin yang meniru Andrea Hirata, bukanlah persoalannya.  Lagipun, dalam dunia pengungkapan ilham kreatif, peniruan total sebenarnya tidak pernah wujud.  Yang ada ialah pengaruh sesebuah karya atau terpengaruh dengan sesuatu stail penulisan kepada penulis yang lain.

Kunang Pesisir Morten, ialah sebuah karya yang bagi aku sebuah karya yang berada pada tahap “boleh dibanggakan”.  Bagi aku, ia belum lagi mampu lagi berada dalam liga sebuah karya kreatif “yang wajib dibaca”.  Atau, ia belum lagi boleh dikelompokkan dalam “Karya Terbaik Tahun Ini”.  Tetapi jika dibandingkan dengan novel-novel sampah yang berlambak-lambak di pasaran, dan berebut-rebut pula penerbit bermata duitan mengangkatnya ke layar kaca, Kunang Pesisir Morten jauh berada di hadapan.  Ibaratnya Kadir, anak Pak Abu yang menjadi juara lumba lari peringkat sekolah, cuba beradu kekuatan larian dengan Usain Bolt!

Mengapa tajuknya “Kunang Pesisir Morten”? “Kunang” itu apa? Apabila membelek Kamus Dewan, aku tak temukan perkataan “kunang”. Yang ada ialah “kunang-kunang” yang dijelaskan sebagai “sj serangga yang mengeluarkan cahaya yg berkelip-kelip pd perutnya, api-api, kelip-kelip;....” Mengapa tidak jadikan “Kunang-kunang ... ” sahaja dalam tajuknya, bukannya “Kunang”? Atau, kalau alasannya perkataan “kunang-kunang” itu terlalu panjang, mengapa tidak sahaja dipilih perkataan “kekunang”?  Tetapi aku membuat kesimpulan, walaupun perkataan “kunang” itu tidak wujud dalam Kamus Dewan (yang secara ironinya tidak pernah wujud dalam bahasa Melayu), aku beranggapan “kunang” itu ialah kunang-kunang, sejenis serangga kecil yang mengeluarkan cahaya dan sering berterbangan di belukar-belukar.  Ia serangga kecil tetapi menarik.

Dalam naskhah ini, kunang(-kunang) ini sebenarnya diwakilkan kepada siapa? Aku kuat mengatakan bahawa kunang(-kunang) itu ialah seorang budak perempuan yang berusia 9 tahun. 

Novel ini ialah sebuah karya yang berbentuk nostalgik. Nostalgik ialah sesuatu yang sangat akrab dengan romantisme. Mungkin penulisnya cuba menggali kenangan zaman kecilnya semula. Segala jenis permainan zaman anak-anak sewaktu berada di Kampung Morten dihidupkan dalam novel ini.  Permainan laga ketam (ketam angin, sebenarnya) hanyalah permainan yang dimainkan oleh anak-anak yang tinggal dan dibesarkan di kawasan gigi pantai. Suatu permainan yang ada plot ceritanya tersendiri, ada permulaan, kemudian perlahan-lahan menuju ke puncaknya dengan disisipkan unsur dramatik, saspens, dan kejutan, lalu menuju ke klimaksnya, dan kemudian baransur-ansur menuju ke peleraiannya.  Peleraian yang “happy ending” untuk sesetengah orang, dan “sad ending” untuk sebahagian orang yang lain pula. 

Raiha menggunakan sudut penceritaan orang pertama yang terbatas. Dia menggunakan “aku” sebagai penceritanya.  Raiha, seorang wanita. Bagaimana pula dia menggunakan “aku” sebagai penceritanya, sedangkan “aku” itu ialah “Adi”, seorang budak lelaki yang berusia 10 tahun? Ah, ini suatu karya kreatif, bukan? Penulisnya ialah “tuhan”.  Dia boleh tulis apa-apa sahaja yang dia mahu mengikut kehendaknya. Ah, biarkanlah dia...

Penulisan, walau apa-apa pun kedudukan dan bentuknya ialah suatu kenderaan yang menjadi tunggangan propaganda. Dan, aku berani untuk berkata, propaganda dalam Kunang Pesisir Morten ini sangat terserlah.  Kewujudan sebatang sungai kotor yang dipenuhi sampah sarap, sebenarnya suatu metafora.  Sungai yang kotor itu telah menjadi garis sempadan dua strata bangsa, yang hidup saling mencurigai.  Dua bangsa yang semula jadinya dari dahulu sehinggalah sekarang saling bercakaran dalam diam.  Lalu dengan mewujudkan watak seorang budak lelaki bermata sepet yang bernama “Lim” dan kemudiannya dipasangkan kepada Adi dan Dhiya, sangat jelas menjelmakan inspirasi penulis tentang betapa perpaduan antara dua bangsa yang berlainan adat dan kepercayaan itu ialah sesuatu yang luhur.  Memang, anak-anak tidak mengenal pun perkauman.  Yang mereka tahu, mereka ialah sekelompok makhluk Tuhan yang hidup melata di atas muka bumi ini dan sangat betah bermain kejar-kejar, sesuai dengan naluri seorang kanak-kanak.  

Lim cuma dicurigai oleh kelompok dewasa sahaja.  Dia akan dipandang dengan penuh rasa curiga apabila dia tiba-tiba muncul di kampung yang dihuni oleh orang Melayu.   Begitu juga dengan Adi dan Dhiya.  Dua orang anak kecil ini juga selalu menjadi bahan curiga kelompok masyarakat yang sebangsa dengan Lim.  Yang sangat jelas di sini, penulis ingin mengatakan bahawa perkauman itu hanyalah naluri jahat yang selalu hadir dalam naluri orang dewasa sahaja.  Sedangkan anak-anak tidak pernah melihat perbezaan ialah suatu kesalahan apatah lagi suatu dosa yang tidak terampun. 

Apabila membaca Kunang Pesisir Morten ini, suatu hal yang boleh dipuji penulisnya ialah, dia menulis bukan kosong dan lompang.  Walaupun tidak mencitrakan dengan begitu terperinci tentang budaya kaum Cina, tetapi pencitraan yang dibuat itu sudah memadai.  Dan bagi aku, ia memang sangat mencukupi.  Kalau terlalu sarat dengan segala aneka maklumat, tentunya ia akan menjadi suatu cerita yang memerlukan beberapa bulan untuk menghabisi pembacaannya.  Ingat lagi Perempuan nan Bercinta?  Baiklah, lupakan dahulu Perempuan nan Bercinta.  Aku kembali kepada Kunang Pesisir Morten. Aku kembali kepada budaya Cina (Hokkien, itu yang setepatnya seperti yang diceritakan oleh penulisnya).  Betapa penulisnya berjaya memaparkan kepada pembaca, (sekurang-kurangnya kepada aku, si pencandu himpunan teks) tentang opera Cina.  Setelah membaca Kunang Pesisir Morten, barulah aku mempunyai pengetahuan bahawa seni persembahan orang-orang Cina itu sebenarnya sarat dengan metafora.  Ada semiotik yang harus bijak ditafsirkan.  Watak-watak dalam opera ini terbahagi kepada “Seng” (lelaki), “Toa” (perempuan), “Thiu” (pelawak), dan “Hoa Bin” (dewa dewi). 

Dan, sudah tentu penlisnya tidak hanya memeri tentang budaya orang Cina. Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh orang Melayu sudah tentu diceritakan oleh penulisnya.  Sambutan hari raya itu adalah daripada versi kelompok orang Melayu Melaka yang hidupnya biasa-biasa sahaja.  Tetapi masih tetap ada lampu kelip-kelip yang bergemerlapan pada malam hari dan juga baju kurung dan baju Melayu baru.

Baiklah, aku tidak mahu menggomel dengan panjang lagi tentang isi cerita dalam novel ini.  Kalau kau mahu tahu ceritanya, pergi sahaja ke mana-mana kedai buku, bawa duit RM100, dan bayar RM28 untuk buku ini.  Baki duit yang selebihnya, belilah buku-buku lain yang kau suka.  Cuma pesan aku, janganlah beli novel-novel cinta yang penuh sampah sarap!

Apa lagi yang menarik perhatian aku tentang novel ini? Oh, ada satu lagi! Gaya penceritaannya. Gaya bahasanya sangat menarik.  Sangat jarang-jarang aku membaca buku (tanpa mengira apa-apa genre sekalipun) dengan sekali harung sahaja.  Dan Kunang Pesisir Morten ini adalah antara buku yang tidak banyak itu.  Bahasa yang digunakan oleh penulisnya sangat lancar. Manakala teknik plot yang digunakan penulis juga tidaklah terlalu rumit dan membebankan kepala pembaca untuk memahaminya.  Bukankah apabila menghasilkan sesuatu penulisan, matlamat akhirnya adalah supaya pembaca memahami apa-apa yang ingin disampaikan oleh penulisnya?  Aku sangat percaya bahawa jawapannya ialah “Ya”, tanpa kompromi.  Apa gunanya kita menulis, tetapi memusingkan akal fikir para pembaca dan hanya kita sendiri-sendiri sahaja yang memahaminya.  Kalau begitu tujuan kau menulis, kau berhentilah menulis dan kemudiannya menghantar kepada penerbit untuk menerbitkannya.  Kau tulislah dalam komputer ribamua, dan kau simpan baik-baik dalam cakera kerasnya. 

Suatu lagi kebijakan penulisnya bercerita ialah betapa dia bijak menyuntik elemen dramatik yang kemudiannya dileraikan dengan unsur kejutan yang di tengah-tengahnya tersusun rapi beberapa jenis elemen saspens. Misalnya, kematian seorang anak kecil berbangsa Hokkien yang ditemukan dengan kepalanya terbenam di dalam lumpur.  Pelbagai teori dan andaian dibuat oleh para “penyiasat” kampungan.  Ada “detektif” yang mengandaikan budak itu dibunuh oleh ahli keluarganya sendiri.  “Detektif” yang lain pula mengatakan kumpulan kongsi gelap lawan yang meragut hayat kanak-kanak itu. Dan ada juga “detektif” yang kata bahawa kanak-kanak itu tergelincir di dalam jamban semasa ingin membuang air.  Tetapi, kesemua teori dan andaian para detektif tidak bertauliah itu dimatikan oleh Dhiya.  Dengan kegeniusannya, Dhiya dapat menghidu yang kanak-kanak itu menemui ajalnya tanpa salah siapa-siapa pun. Kanak-kanak itu seorang penghidap autisme  dan juga peminat tegar ketam laga.  Lalu Dhiya membuat kesimpulan begini: kanak-kanak autisme tidak mahir berkomunikasi dengan menggunakan bahasa pertuturan.  Tidak banyak orang yang memahami apa-apa yang si autisme ingin katakan.  Tetapi si autisme ialah pemerhati yang rapi dan penuh konsentrasi. Kemudian dari premis andaian itu Dhiya membuat profail persitiwa.  Ketika itu musim ketam laga keluar dari sarangnya. Sudah tentu daripada ribuan ketam laga yang berselerakan di tebing sungai berlumpur, akan ada ketam-ketam laga yang jaguh.  Dan, itu yang menjadi sebab kepada kanak-kanak itu.  Dia autisme yang penuh daya perhatian.  Kanak-kanak itu tahu pada waktu itu ialah waktu terbaik untuk mendapatkan ketam laga terbaik.  Cuma yang menjadi kesilapan sehingga meragut hayatnya ialah, dia keluar rumah pada waktu sewaktu air mula pasang.  Dan dia terperangkap dalam air pasang dan akhirnya mati lemas. Teori dan kesimpulan yang dibuat Dhiya itu berjaya mengalahkan siasatan yang dibuat oleh pasukan polis yang mempunyai anggota yang terlatih dalam hal ehwal siasatan.  Wow, betapa bijak dan geniusnya Dhiya!

Oh, sebelum aku terlupa lagi. Kewujudan popiah nyonya dan cucur udang juga suatu metafora yang sangat bersinar dengan unsur propaganda.  Namanya pun popiah, sudah tentu ini kuih daripada legasi orang Cina.  Manakala cucur udang lahir dalam kalangan masyarakat Melayu.  Kedua-dua makanan tradisi ini menjadi kudapan yang menjadi rebutan oleh semua orang.  Apa sebenarnya yang cuba diselitkan oleh penulisnya melalui metafora ini? Sudah tentulah bahawa walaupun kulitmu mempunyai pigmen sawo matang ataupun mempunyai pigmen kuning pucat, keperluan asasimu tetap sama iaitu perut!  Jika makanan yang ada di hadapanmu lazat dan menarik perhatian, perutmu akan melupakan apa warna yang membentuk pigmen kulitmu.  Mudah untuk difahami, bukan?

Walaupun Kunang Pesisir Morten ini sebuah karya yang bagus, tapi bagi aku ia belum lagi berada dalam “sangat bagus”. Ya, hanya sekadar bagus sahaja.  Mengapa aku berkata begitu?

Yang pertamanya ialah, bila membaca naskhah ini, aku terasa seperti “Ah, sangat tinggi imaginasinya.” Apakah yang aku maksudkannya? Mudah sahaja jawapannya.  Di sesetengah dialog dan naratifnya, pada sesetengah muka suratnya, ia terlalu “it’s good to be true”. Atau dalam bahasa Melayunya secara mudahnya, “Indah khabar dari rupa.”  Baiklah, bukannya aku bermaksud naskhah ini secara kesatuannya sebagai sebuah karya yang tidak bagus. Tidak, bukan itu yang aku maksudkan.  Yang menjadi gangguan kepada aku ialah, betapa pencitraan watak terutamanya kepada watak Dhiya kadang-kadang sangat berlebihan dan mengada-ngada.  Ia melampau-lampau dan mencemarkan lesen imaginasi seseorang penulis.  

Misalnya, aku mengambil contoh tentang peristiwa kematian kanak-kanak Cina yang mati secara misteri seperti yang telah aku sentuh sebelum ini.  Ketika orang-orang dewasa membuat beberapa kesimpulan dan andaian, anggota polis yang menyiasat dengan penuh “keangkuhan dan garang”, muncul Dhiya dengan teori dan kesimpulannya menyelesaikan misteri tersebut.  Autisme, perjalanan musim alamiah, sedikit pengetahuan bidang perubatan, dan pengamatan sosiologi dan ekosistem, akhirnya menyelesaikan misteri terebut.  Ia sekali gus menyelamatkan keluarga Oii daripada tuduhan membunuh anak kandung mereka sendiri.  

Suatu lagi yang mengacau fikiran aku tatkala membaca Kunang Pesisir Morten ini ialah, sepertinya pengaruh Andrea Hirata membayangi karya ini.  Lihat sahaja trilogi Andrea.  Dia tidak pernah menggunakan “bab” dalam fragmen-fragmen trologinya itu. Yang ada “mozek”, misalnya.  Dan, sifat yang tidak mahu menggunakan “bab” ini juga terdapat dalam karya ini.  Penulisnya menggunakan “perca” bagi mencantumkan setiap fragmen dalam naskhahnya.

Kalau dalam “Laskar Pelangi” milik Andrea Hirata, Ikal jatuh cinta kepada gadis Tionghua bernama Ai Lin yang dilihatnya secara “misteri” sewaktu membeli kapur tulis untuk sekolah SD-nya.  Dengan hanya melihat tangan mulus gadis sunti itu, Ikal sudah terjerumus ke dalam lembangan cinta monyet anak-anak sekolah.  Dalam Kunang Pesisir Morten ini pula, Adi “jatuh cinta” kepada Sherina, yang dilihatnya sewaktu mengutip bayaran di kedai Makcik Ani.  Deskripsi oleh Raiha tentang momen itu, entah mengapa aku merasakannya seperti mengutip deskripsi yang dibuat oleh Andrea sewaktu memerikan tentang Ikal yang terpanah dengan Cupid asmaranya dengan si gadis Tionghua.   
Sama ada secara kebetulan, atau pengaruh kerana terpesona dengan karya-karya Andrea, atau sememangnya itu ialah identiti tersendiri penulis dalam berkarya, tiada sesiapa pun jua yang berhak menjatuhkan hukumnya.  Lagipun, kreativiti tidak punya batasan.


Wednesday, 1 June 2016

SUTUNG UMAR RS (23 JUN 1948-30 MEI 2016)





lelaki ini
yang kurus
yang putih janggutnya
yang putih kumisnya
telah pergi tanpa pamit
meninggalkan kata-kata untuk kami
buat menyelongkar rahasia demi rahasia yang terlindung
dalam setiap selimut malam yang dingin tanpa kata
seperti ombak yang berbisik pada desir bayu
diam-diam pergi tanpa permisi dan pamit
hanya khabar yang tak pasti benarnya

dan dalam
alun 
azan
asar
kau
diam.
.
.
.
.

kau meninggalkan aku
degan kata-kata baikmu

 
yang kau tinggalkan dalam lemariku
anggerik bukit tujuh mu
aku dan nya mu
ratib kalbu mu
dan
anakmu yang terakhir
nursirnafitrahtulain
tak sempat kau
bertanyakan khabarnya.

Kau meninggalkan aku
dengan kata-kata baikmu.

selamat tidur pak sutung

BERHENTILAH SEKEJAP....

  Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang...