Thursday, 15 September 2016

IKAN PERUMAHAN


Bulan Puasa. Petang itu sangat panas. 

Pagi, semasa di sekolah Bob kata, “Aku nak buat ikan percik.”

Gua jawab, “Perghhhh…!” Dua-dua ibu jari, kanan dan kiri gua naikkan ke atas.  

Bayangkan, bulan puasa, jauh di Sabah sana, kau bersungkai dengan ikan percik!  Syurga yang teramat!

“Tengah hari pasni, habis sekolah, aku nak pegi pasar.  Beli ikan ‘perumahan’.” 

Gua mengekek! Sebab Bob telah ada panggilan khas untuk ikan kembung.  Di Sabah, ikan kembung dipanggil ikan “lumahan”.  Tapi Bob sengaja memanggilnya “ikan perumahan”.

“Menguluk jak cegu ni!” kata Asnita, gadis Bajau+Suluk+Sungai+Afghanistan bila gua kata, “Abang Bob pigi pasar, beli ikan perumahan”, bila dia tanya mana pergi Bob, kerana dia telefon ke rumah Bob di Grand View, tiada orang yang menyambut.

Bulan puasa. Petang itu sangat panas.
“Aku tukang kipas ikan, nak buat percik aku tak reti.” Gua kata.

Bob sengih.

Di dalam longkang cetek, di tepi anjung kereta, maka duduklah gua di situ. Di dalam longkang cetek, ada arang sedang membara.  Asap berkepul-kepul.  Dawai besi pagar yang telah dipotong, diletak di atas arang membara.  Di atas dawai besi pagar yang telah dipotong, 4 ekor ikan perumahan sedang baring.  Asap berkepul-kepul.  Dan gua mengipas-ngipasnya dengan mata pejamcelik, celikpejam.

Pukul 6.25 petang di Sea View, gua bersungkai dengan ikan percik. Lazatnya bagaikan di sorga!

Pukul 6.25 petang di Grand View, Bob bersungkai dengan ikan percik.

Tadi petang.  Cuacanya sangat panas. 





Tuesday, 13 September 2016

KAWAN, AKU TAK SEMPAT MENGHANTARMU.




Dalam perjalanan pulangmu ke tanah leluhur untuk mencium bau tanah tembunimu ditanam, aku hanya mampu menyusun doa dalam diam. Sungguh, kita ini sahaya yang hanya bertandang sebentar cuma di saujana padang, kelak akan berpulang jua ke tempat asal. Cuma engkau, kawan, kepulanganmu lebih cepat daripada aku.

Kawan, engkau pun berangkat pergi. Dan aku masih di sini. Segala kenang denganmu kawan, aku simpan di dalam saku kenangan….

[mengenang seorang sahabat, ahmad bukhari salleh, yang berpulang pada pagi ini. Jantungnya terhenti di hospital damai, luyang, kota kinabalu, sabah.]

Thursday, 8 September 2016

E-BOOK vs BUKU KONVENSI.






Dulu-dulu, kalau gua ke mana-mana, di dalam beg sandang gua paling kurang ada dua buah buku. Tapi sekarang ni, gua jarang-jarang bawa buku di dalam beg.  Yang selalu gua bawa ialah iPad. Banyak e-book yang gua simpan dalam iPad. 

Kenapa gua suka baca buku dalam iPad?
1.  Senang: gua tak payah bersusah payah bawa buku yang digemari ke hulu ke hilir. Duduklah di mana-mana, buka ipad dan baca,

2. Dalam gelap pun boleh baca!

3.  Belek berkali-kali, takkan koyak punya.

Tapi, ini ini paling leceh: baca e-book cepat memenatkan mata!

Tuesday, 6 September 2016

PERIHAL ORANG dan ORANG-ORANGAN.

1. Ada orang yang membesar-besarkan diri untuk menampakkan dirinya besar

2. Ada orang yang dibesar-besarkan oleh orang-orang tertentu untuk dilihat sebagai besar.

3. Ada orang yang dibesar-besarkan oleh orang sekeliling kerana kemampuannya.


Orang yang dalam kelompok (1) akan selalu berkeliaran di Facebook.

Orang yang dalam kelompok (2) ialah para penjilat orang atasan.

Orang yang dalam kelompok (3) selalu bersembunyi di bawah meja.

Sunday, 14 August 2016

KUNANG PESISIR MORTEN



Tak tahu sebabnya, apabila aku membaca Kunang Pesisir Morten, aku seperti membaca suatu salinan naskhah trilogi Andrea Hirata.  Mungkin penceritaan tentang zaman anak-anak menyebabkan “salinan” itu terjadi.  Andrea Hirata yang meniru Raiha Bahaudin, atau Raiha Bahaudin yang meniru Andrea Hirata, bukanlah persoalannya.  Lagipun, dalam dunia pengungkapan ilham kreatif, peniruan total sebenarnya tidak pernah wujud.  Yang ada ialah pengaruh sesebuah karya atau terpengaruh dengan sesuatu stail penulisan kepada penulis yang lain.

Kunang Pesisir Morten, ialah sebuah karya yang bagi aku sebuah karya yang berada pada tahap “boleh dibanggakan”.  Bagi aku, ia belum lagi mampu lagi berada dalam liga sebuah karya kreatif “yang wajib dibaca”.  Atau, ia belum lagi boleh dikelompokkan dalam “Karya Terbaik Tahun Ini”.  Tetapi jika dibandingkan dengan novel-novel sampah yang berlambak-lambak di pasaran, dan berebut-rebut pula penerbit bermata duitan mengangkatnya ke layar kaca, Kunang Pesisir Morten jauh berada di hadapan.  Ibaratnya Kadir, anak Pak Abu yang menjadi juara lumba lari peringkat sekolah, cuba beradu kekuatan larian dengan Usain Bolt!

Mengapa tajuknya “Kunang Pesisir Morten”? “Kunang” itu apa? Apabila membelek Kamus Dewan, aku tak temukan perkataan “kunang”. Yang ada ialah “kunang-kunang” yang dijelaskan sebagai “sj serangga yang mengeluarkan cahaya yg berkelip-kelip pd perutnya, api-api, kelip-kelip;....” Mengapa tidak jadikan “Kunang-kunang ... ” sahaja dalam tajuknya, bukannya “Kunang”? Atau, kalau alasannya perkataan “kunang-kunang” itu terlalu panjang, mengapa tidak sahaja dipilih perkataan “kekunang”?  Tetapi aku membuat kesimpulan, walaupun perkataan “kunang” itu tidak wujud dalam Kamus Dewan (yang secara ironinya tidak pernah wujud dalam bahasa Melayu), aku beranggapan “kunang” itu ialah kunang-kunang, sejenis serangga kecil yang mengeluarkan cahaya dan sering berterbangan di belukar-belukar.  Ia serangga kecil tetapi menarik.

Dalam naskhah ini, kunang(-kunang) ini sebenarnya diwakilkan kepada siapa? Aku kuat mengatakan bahawa kunang(-kunang) itu ialah seorang budak perempuan yang berusia 9 tahun. 

Novel ini ialah sebuah karya yang berbentuk nostalgik. Nostalgik ialah sesuatu yang sangat akrab dengan romantisme. Mungkin penulisnya cuba menggali kenangan zaman kecilnya semula. Segala jenis permainan zaman anak-anak sewaktu berada di Kampung Morten dihidupkan dalam novel ini.  Permainan laga ketam (ketam angin, sebenarnya) hanyalah permainan yang dimainkan oleh anak-anak yang tinggal dan dibesarkan di kawasan gigi pantai. Suatu permainan yang ada plot ceritanya tersendiri, ada permulaan, kemudian perlahan-lahan menuju ke puncaknya dengan disisipkan unsur dramatik, saspens, dan kejutan, lalu menuju ke klimaksnya, dan kemudian baransur-ansur menuju ke peleraiannya.  Peleraian yang “happy ending” untuk sesetengah orang, dan “sad ending” untuk sebahagian orang yang lain pula. 

Raiha menggunakan sudut penceritaan orang pertama yang terbatas. Dia menggunakan “aku” sebagai penceritanya.  Raiha, seorang wanita. Bagaimana pula dia menggunakan “aku” sebagai penceritanya, sedangkan “aku” itu ialah “Adi”, seorang budak lelaki yang berusia 10 tahun? Ah, ini suatu karya kreatif, bukan? Penulisnya ialah “tuhan”.  Dia boleh tulis apa-apa sahaja yang dia mahu mengikut kehendaknya. Ah, biarkanlah dia...

Penulisan, walau apa-apa pun kedudukan dan bentuknya ialah suatu kenderaan yang menjadi tunggangan propaganda. Dan, aku berani untuk berkata, propaganda dalam Kunang Pesisir Morten ini sangat terserlah.  Kewujudan sebatang sungai kotor yang dipenuhi sampah sarap, sebenarnya suatu metafora.  Sungai yang kotor itu telah menjadi garis sempadan dua strata bangsa, yang hidup saling mencurigai.  Dua bangsa yang semula jadinya dari dahulu sehinggalah sekarang saling bercakaran dalam diam.  Lalu dengan mewujudkan watak seorang budak lelaki bermata sepet yang bernama “Lim” dan kemudiannya dipasangkan kepada Adi dan Dhiya, sangat jelas menjelmakan inspirasi penulis tentang betapa perpaduan antara dua bangsa yang berlainan adat dan kepercayaan itu ialah sesuatu yang luhur.  Memang, anak-anak tidak mengenal pun perkauman.  Yang mereka tahu, mereka ialah sekelompok makhluk Tuhan yang hidup melata di atas muka bumi ini dan sangat betah bermain kejar-kejar, sesuai dengan naluri seorang kanak-kanak.  

Lim cuma dicurigai oleh kelompok dewasa sahaja.  Dia akan dipandang dengan penuh rasa curiga apabila dia tiba-tiba muncul di kampung yang dihuni oleh orang Melayu.   Begitu juga dengan Adi dan Dhiya.  Dua orang anak kecil ini juga selalu menjadi bahan curiga kelompok masyarakat yang sebangsa dengan Lim.  Yang sangat jelas di sini, penulis ingin mengatakan bahawa perkauman itu hanyalah naluri jahat yang selalu hadir dalam naluri orang dewasa sahaja.  Sedangkan anak-anak tidak pernah melihat perbezaan ialah suatu kesalahan apatah lagi suatu dosa yang tidak terampun. 

Apabila membaca Kunang Pesisir Morten ini, suatu hal yang boleh dipuji penulisnya ialah, dia menulis bukan kosong dan lompang.  Walaupun tidak mencitrakan dengan begitu terperinci tentang budaya kaum Cina, tetapi pencitraan yang dibuat itu sudah memadai.  Dan bagi aku, ia memang sangat mencukupi.  Kalau terlalu sarat dengan segala aneka maklumat, tentunya ia akan menjadi suatu cerita yang memerlukan beberapa bulan untuk menghabisi pembacaannya.  Ingat lagi Perempuan nan Bercinta?  Baiklah, lupakan dahulu Perempuan nan Bercinta.  Aku kembali kepada Kunang Pesisir Morten. Aku kembali kepada budaya Cina (Hokkien, itu yang setepatnya seperti yang diceritakan oleh penulisnya).  Betapa penulisnya berjaya memaparkan kepada pembaca, (sekurang-kurangnya kepada aku, si pencandu himpunan teks) tentang opera Cina.  Setelah membaca Kunang Pesisir Morten, barulah aku mempunyai pengetahuan bahawa seni persembahan orang-orang Cina itu sebenarnya sarat dengan metafora.  Ada semiotik yang harus bijak ditafsirkan.  Watak-watak dalam opera ini terbahagi kepada “Seng” (lelaki), “Toa” (perempuan), “Thiu” (pelawak), dan “Hoa Bin” (dewa dewi). 

Dan, sudah tentu penlisnya tidak hanya memeri tentang budaya orang Cina. Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh orang Melayu sudah tentu diceritakan oleh penulisnya.  Sambutan hari raya itu adalah daripada versi kelompok orang Melayu Melaka yang hidupnya biasa-biasa sahaja.  Tetapi masih tetap ada lampu kelip-kelip yang bergemerlapan pada malam hari dan juga baju kurung dan baju Melayu baru.

Baiklah, aku tidak mahu menggomel dengan panjang lagi tentang isi cerita dalam novel ini.  Kalau kau mahu tahu ceritanya, pergi sahaja ke mana-mana kedai buku, bawa duit RM100, dan bayar RM28 untuk buku ini.  Baki duit yang selebihnya, belilah buku-buku lain yang kau suka.  Cuma pesan aku, janganlah beli novel-novel cinta yang penuh sampah sarap!

Apa lagi yang menarik perhatian aku tentang novel ini? Oh, ada satu lagi! Gaya penceritaannya. Gaya bahasanya sangat menarik.  Sangat jarang-jarang aku membaca buku (tanpa mengira apa-apa genre sekalipun) dengan sekali harung sahaja.  Dan Kunang Pesisir Morten ini adalah antara buku yang tidak banyak itu.  Bahasa yang digunakan oleh penulisnya sangat lancar. Manakala teknik plot yang digunakan penulis juga tidaklah terlalu rumit dan membebankan kepala pembaca untuk memahaminya.  Bukankah apabila menghasilkan sesuatu penulisan, matlamat akhirnya adalah supaya pembaca memahami apa-apa yang ingin disampaikan oleh penulisnya?  Aku sangat percaya bahawa jawapannya ialah “Ya”, tanpa kompromi.  Apa gunanya kita menulis, tetapi memusingkan akal fikir para pembaca dan hanya kita sendiri-sendiri sahaja yang memahaminya.  Kalau begitu tujuan kau menulis, kau berhentilah menulis dan kemudiannya menghantar kepada penerbit untuk menerbitkannya.  Kau tulislah dalam komputer ribamua, dan kau simpan baik-baik dalam cakera kerasnya. 

Suatu lagi kebijakan penulisnya bercerita ialah betapa dia bijak menyuntik elemen dramatik yang kemudiannya dileraikan dengan unsur kejutan yang di tengah-tengahnya tersusun rapi beberapa jenis elemen saspens. Misalnya, kematian seorang anak kecil berbangsa Hokkien yang ditemukan dengan kepalanya terbenam di dalam lumpur.  Pelbagai teori dan andaian dibuat oleh para “penyiasat” kampungan.  Ada “detektif” yang mengandaikan budak itu dibunuh oleh ahli keluarganya sendiri.  “Detektif” yang lain pula mengatakan kumpulan kongsi gelap lawan yang meragut hayat kanak-kanak itu. Dan ada juga “detektif” yang kata bahawa kanak-kanak itu tergelincir di dalam jamban semasa ingin membuang air.  Tetapi, kesemua teori dan andaian para detektif tidak bertauliah itu dimatikan oleh Dhiya.  Dengan kegeniusannya, Dhiya dapat menghidu yang kanak-kanak itu menemui ajalnya tanpa salah siapa-siapa pun. Kanak-kanak itu seorang penghidap autisme  dan juga peminat tegar ketam laga.  Lalu Dhiya membuat kesimpulan begini: kanak-kanak autisme tidak mahir berkomunikasi dengan menggunakan bahasa pertuturan.  Tidak banyak orang yang memahami apa-apa yang si autisme ingin katakan.  Tetapi si autisme ialah pemerhati yang rapi dan penuh konsentrasi. Kemudian dari premis andaian itu Dhiya membuat profail persitiwa.  Ketika itu musim ketam laga keluar dari sarangnya. Sudah tentu daripada ribuan ketam laga yang berselerakan di tebing sungai berlumpur, akan ada ketam-ketam laga yang jaguh.  Dan, itu yang menjadi sebab kepada kanak-kanak itu.  Dia autisme yang penuh daya perhatian.  Kanak-kanak itu tahu pada waktu itu ialah waktu terbaik untuk mendapatkan ketam laga terbaik.  Cuma yang menjadi kesilapan sehingga meragut hayatnya ialah, dia keluar rumah pada waktu sewaktu air mula pasang.  Dan dia terperangkap dalam air pasang dan akhirnya mati lemas. Teori dan kesimpulan yang dibuat Dhiya itu berjaya mengalahkan siasatan yang dibuat oleh pasukan polis yang mempunyai anggota yang terlatih dalam hal ehwal siasatan.  Wow, betapa bijak dan geniusnya Dhiya!

Oh, sebelum aku terlupa lagi. Kewujudan popiah nyonya dan cucur udang juga suatu metafora yang sangat bersinar dengan unsur propaganda.  Namanya pun popiah, sudah tentu ini kuih daripada legasi orang Cina.  Manakala cucur udang lahir dalam kalangan masyarakat Melayu.  Kedua-dua makanan tradisi ini menjadi kudapan yang menjadi rebutan oleh semua orang.  Apa sebenarnya yang cuba diselitkan oleh penulisnya melalui metafora ini? Sudah tentulah bahawa walaupun kulitmu mempunyai pigmen sawo matang ataupun mempunyai pigmen kuning pucat, keperluan asasimu tetap sama iaitu perut!  Jika makanan yang ada di hadapanmu lazat dan menarik perhatian, perutmu akan melupakan apa warna yang membentuk pigmen kulitmu.  Mudah untuk difahami, bukan?

Walaupun Kunang Pesisir Morten ini sebuah karya yang bagus, tapi bagi aku ia belum lagi berada dalam “sangat bagus”. Ya, hanya sekadar bagus sahaja.  Mengapa aku berkata begitu?

Yang pertamanya ialah, bila membaca naskhah ini, aku terasa seperti “Ah, sangat tinggi imaginasinya.” Apakah yang aku maksudkannya? Mudah sahaja jawapannya.  Di sesetengah dialog dan naratifnya, pada sesetengah muka suratnya, ia terlalu “it’s good to be true”. Atau dalam bahasa Melayunya secara mudahnya, “Indah khabar dari rupa.”  Baiklah, bukannya aku bermaksud naskhah ini secara kesatuannya sebagai sebuah karya yang tidak bagus. Tidak, bukan itu yang aku maksudkan.  Yang menjadi gangguan kepada aku ialah, betapa pencitraan watak terutamanya kepada watak Dhiya kadang-kadang sangat berlebihan dan mengada-ngada.  Ia melampau-lampau dan mencemarkan lesen imaginasi seseorang penulis.  

Misalnya, aku mengambil contoh tentang peristiwa kematian kanak-kanak Cina yang mati secara misteri seperti yang telah aku sentuh sebelum ini.  Ketika orang-orang dewasa membuat beberapa kesimpulan dan andaian, anggota polis yang menyiasat dengan penuh “keangkuhan dan garang”, muncul Dhiya dengan teori dan kesimpulannya menyelesaikan misteri tersebut.  Autisme, perjalanan musim alamiah, sedikit pengetahuan bidang perubatan, dan pengamatan sosiologi dan ekosistem, akhirnya menyelesaikan misteri terebut.  Ia sekali gus menyelamatkan keluarga Oii daripada tuduhan membunuh anak kandung mereka sendiri.  

Suatu lagi yang mengacau fikiran aku tatkala membaca Kunang Pesisir Morten ini ialah, sepertinya pengaruh Andrea Hirata membayangi karya ini.  Lihat sahaja trilogi Andrea.  Dia tidak pernah menggunakan “bab” dalam fragmen-fragmen trologinya itu. Yang ada “mozek”, misalnya.  Dan, sifat yang tidak mahu menggunakan “bab” ini juga terdapat dalam karya ini.  Penulisnya menggunakan “perca” bagi mencantumkan setiap fragmen dalam naskhahnya.

Kalau dalam “Laskar Pelangi” milik Andrea Hirata, Ikal jatuh cinta kepada gadis Tionghua bernama Ai Lin yang dilihatnya secara “misteri” sewaktu membeli kapur tulis untuk sekolah SD-nya.  Dengan hanya melihat tangan mulus gadis sunti itu, Ikal sudah terjerumus ke dalam lembangan cinta monyet anak-anak sekolah.  Dalam Kunang Pesisir Morten ini pula, Adi “jatuh cinta” kepada Sherina, yang dilihatnya sewaktu mengutip bayaran di kedai Makcik Ani.  Deskripsi oleh Raiha tentang momen itu, entah mengapa aku merasakannya seperti mengutip deskripsi yang dibuat oleh Andrea sewaktu memerikan tentang Ikal yang terpanah dengan Cupid asmaranya dengan si gadis Tionghua.   
Sama ada secara kebetulan, atau pengaruh kerana terpesona dengan karya-karya Andrea, atau sememangnya itu ialah identiti tersendiri penulis dalam berkarya, tiada sesiapa pun jua yang berhak menjatuhkan hukumnya.  Lagipun, kreativiti tidak punya batasan.


Wednesday, 1 June 2016

SUTUNG UMAR RS (23 JUN 1948-30 MEI 2016)





lelaki ini
yang kurus
yang putih janggutnya
yang putih kumisnya
telah pergi tanpa pamit
meninggalkan kata-kata untuk kami
buat menyelongkar rahasia demi rahasia yang terlindung
dalam setiap selimut malam yang dingin tanpa kata
seperti ombak yang berbisik pada desir bayu
diam-diam pergi tanpa permisi dan pamit
hanya khabar yang tak pasti benarnya

dan dalam
alun 
azan
asar
kau
diam.
.
.
.
.

kau meninggalkan aku
degan kata-kata baikmu

 
yang kau tinggalkan dalam lemariku
anggerik bukit tujuh mu
aku dan nya mu
ratib kalbu mu
dan
anakmu yang terakhir
nursirnafitrahtulain
tak sempat kau
bertanyakan khabarnya.

Kau meninggalkan aku
dengan kata-kata baikmu.

selamat tidur pak sutung

Sunday, 29 May 2016

INDIES [sic] vs ARUS PERDANA

[KALI INI GUA MENULIS DENGAN MENGGUNAKAN BAHASA YANG BAIK...KEHKEHKEH]

Dalam seminggu dua ini, kecoh tentang perbalahan yang berlaku antara kelompok yang mendakwa mereka ialah penggiat sastera indie[sic] dan juga kelompok yang dituduh sebagai penulis/penggiat sastera aliran perdana.  Polemik ini tercetus berikutan tulisan S.M. Zakir yang tersiar dalam BH yang bertajuk "Anak Muda Kita Menuju Zaman Tandus Intelek".

S.M. Zakir menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang baru berlalu sebagai premis hujahan beliau. Walaupun sasaran pengunjung lebih daripada dua juta orang tercapai, tetapi beliau mempersoalkan tentang kualiti bahan bacaan (buku) yang dibeli oleh kebanyakan kelompok muda yang mengunjungi pesta buku tersebut. Dalam tulisan beliau, S.M. Zakir mengatakan kelompok pembaca negara kita, terutamanya orang muda mula menuju ke arah ketandusan intelek apabila 60 peratus daripada mereka lebih menjurus untuk membeli buku-buku yang berbentuk picisan dan buku-buku yang tidak menggalakkan daya intelek pembaca. 

S.M. Zakir tidak menyebut secara langsung siapa yang ghairah menerbitkan karya yang berbentuk picisan dan tidak berkualiti itu. Mungkin sahaja kita boleh mengandaikan penerbit-penerbit yang ghairah menerbitkan naskhah-naskhah yang tajuknya ada "Suamiku", "Playboy", "Perempuan Itu" dan banyak lagi itulah yang dimaksudkan oleh S.M. Zakir. Melihat kepada tajuk pada kulit hadapan pun kita sudah tahu setakat mana mutu yang terdapat dalam naskhah tersebut. Usah kita bercakap tentang nilai kebaikan apabila watak utama dalam naskhah itu ialah seorang lelaki bujang yang tampan mengambil seorang gadis muda yang ayu sebagai pembantu rumahnya, dan tinggal bersama-sama di dalam sebuah rumah tanpa ikatan perkhwinan, tentunya.

Cuma, apabila S.M.Zakir melanjutkan tulisannya dengan "Pada zaman sesiapa sahaja boleh menjadi penulis hatta hanya mencoret caci maki dan menjadikan tulisan sebagai 'escapism'  liar, ... ", kelompok yang mendakwa bahawa mereka dari kumpulan indie[sic] terasa seolah-olah S.M. Zakir melemparkan tuduhan tersebut kepada mereka.

Beberapa orang kuat rumah penerbitan indie [sic] mulai melancarkan serangan-serangan keras kepada S.M. Zakir. Serangan berbentuk cacian, makian, kata-kata lucah menghunjam S.M. Zakir. Serangan yang dilakukan oleh mereka ini berbentuk "gangster yang datang memukul musuhnya apabila ada geng", tapi menikus apabila diajak berlawan satu lawan satu!

Kemudian, apabila Muhammad Lutfi Ishak cuba menyokong pendapat S.M. Zakir dengan mengatakan, penulis juga mesti bertanggungjawb terhadap apa-apa yang mereka tulis, beliau juga turut menjadi diserang dengan keras. Polemik yang menggunakan Facebook sebagai wahana berbalas-balas pendapat ini menjadi semakin membara apabila ada para pengomen turut sama tumpang semangkuk.

Mereka marah akan Muhammad Lutfi apabila Muhammad Lutfi memetik surah Al-Syu'ara bagi mengingatkan penulis bahawa mereka harus bertanggungjawab dalam berkarya. Lantas para pendokong indie [sic] ini memerli Muhammad Lutfi sebagai penunggang agama, iaitu menjadikan agama sebagai alat semata-mata untuk mencapai matlamat yang dihajati, atau dengan kata lain, menggunakan agama untuk mengkritik mereka. Pokoknya, setidak-tidaknya Muhammad Lutfi sedar akan tanggungjawab penulis di sisi Tuhan, tetapi para pendokong indie [sic] ini menjadikan kata-kata lucah dan kasar melampau mainan mulut mereka. Dalam hal sebegini, kita tidak perlu bersekolah tinggi pun untuk menentukan siapa yang berhemah dan siapa pula yang tidak, siapa yang berhujah dengan ilmu dan fakta dan siapa pula yang bodoh dalam berhujah. Mengapa mereka menggelupur apabila Muhammad Lutfi memetik ayat Al-Quran berkaitan dengan tanggungjawab para penulis? 

Aku mengikuti tulisan Muhammad Lutfi secara rapat. Aku membacanya berulang kali bagi memahami  mesej dan idea yang ingin disampaikan beliau. Perkara pertama yang menjadi pegangan Muhammad Lutfi ialah tiadanya istilah sastera indie di negara kita. Konsep indie tidak satu pun dipegang oleh mana-mana rumah penerbitan yang memdakwa bahawa mereka ialah indie. Bagi Muhammad Lutfi, yang ada di negara kita ialah sastera aliran perdana (DBP dan ITBM), sastera komersial dan sastera marginal.  Sastera marginal inilah yang didakwa sebagai indie oleh kelompok indie [sic]. Premis ini pun sudah gagal difahami oleh kelompok indie [sic].

Apabila Muhammad Lutfi memetik ayat-ayat Quran, kelompok ini melenting tanpa sebab. Lalu menuduh Muhammad Lutfi ini menggunakan agama. Secara sinis, Muhammad Lutfi membidas bahawa hanya syaitan sahaja yang akan kepanasan apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran. Lalu aku ingin menambah, kalau Muhammad Lutfi itu penunggang agama, maka kelompok indie [sic]  yang berhujah dengan kata-kata lucah dan makian melampau ialah penunggang syaitan. Sememangnya syaitan itu suka akan kekotoran, termasuk jugalah kata-kata yang kotor!

Banyak tuduhan yang tidak betul dilemparkan kepada Muhammad Lutfi. Tuduhan yang tidak betul inilah yang Muhammad Lutfi katakan sebagai fitnah daripada sebahagian kelompok indie [sic] kepada beliau. Muhammad Lutfi hanya tidak bersetuju dengan mana-mana penerbitan yang menghasilkan sampah sahaja. Tidak kiralah sama ada sampah itu diterbitkan oleh DBP dan ITBM, sampah tetap sampah. Tetapi jika permata yang diterbitkan, maka tidak kiralah sama ada ia diterbitkan oleh Dubook ataupun Thukul Chetak, maka ia harus disokong. Permata tetap akan kekal menjadi permata sekalipun ia berada di dalam perlimbahan.  Tetapi, hujah asas yang sebegini pun mereka tidak dapat memahaminya, lalu menuduh Muhammad Lutfi tidak bersetuju dengan apa-apa sahaja yang diterbitkan oleh kelompok indie [sic].

Selain itu, ada hujah yang mempersoalkan kenapa kelompok aliran perdana ini sibuk-sibuk menegur mereka menerbitkan buku. Mereka berkata, bukankah mereka telah melakukan perkara yang sangat baik apabila mereka telah menulis, menerbit dan menjual buku, dan akhirnya dibeli oleh masyarakat? Biar aku menjawabnya dengan soalan, siapa yang mempersoalkan sesiapa sahaja yang memakmurkan dan merancakkan dunia perbukuan tanah air? Yang menjadi kebimbangan ialah apabila adanya buku-buku yang memuatkan nilai-nilai negatif yang sangat menonjol. Buku-buku yang penuh dengan kata-kata lucah, kata-kata kasar dan kesat, makian, pemaparan budaya Barat yang ketara, amalan hedonisme, malah ada buku yang mengandungi unsur liberalisme agama dan buku yang memaparkan hujah akliah untuk menolak hujah nakliah. Bukan semua buku yang diterbitkan oleh kelompok indie[sic] berstatus "sampah". Banyak juga buku yang dihasilkan oleh kelompok ini yang bermutu. Begitu juga halnya dengan buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit komersial yang memaparkan cinta picisan.

Mereka menuduh yang kelompok aliran perdana ini seperti membuat kritikan berpilih. Mereka mempersoalkan kenapa tidak ditegur DBP yang gagal memainkan peranan mereka dengan baik. Di sini pun sudah terserlah betapa jahilnya mereka apabila membangkitkan hal ini. Aku imgin bertanya dua soalan SAHAJA kepada mereka yang mendakwa diri mereka kelompok indie:
Benarkah, baik S.M. Zakir mahupun Muhammad Lutfi, atau kelompok aliran perdana ini tidak pernah menegur DBP?
Apakah mereka tahu (kalau tidak faham sekalipun) akan fungsi dan peranan DBP?

Sesiapa sahaja yang memang mengikuti perkembangan sastera Malaysia memang tahu akan hal berkaitan kritikan baik daripada kelompok penulis, kelompok penggiat sastera, mahupun daripada orang awam. Bahkan, kritikan yang dibuat oleh mereka lagi keras berbanding kritikan mereka terhadap kelompok indie [sic] ini. Contoh yang paling dekat ialah kritikan-kritikan mereka terhadap pemilihan Anugerah Sastera Negara (sasterawan negara) dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award). Setiap kali pemilihan untuk kedua-dua penerima anugerah ini diputuskan oleh DBP, akan adalah kritikan-kritikan keras muncul. Masih ingat polemik yang dicetuskan oleh Shahnon Ahmad apabila Baha Zain dipilih sebagai Sasterawan Negara? Atau, masih ingat lagi tentang pemilihan Zam Ismail sebagai penerima Anugerah Penulisan SEA? Malah, ada antara kelompok pemulis arus perdana ini memboikot DBP kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan yang dibuat oleh institusi tersebut.  Jadi tuduhan yang dilemparkan oleh kelompok indie [sic] ini ialah suatu tuduhan yang tidak tepat, liar dan tidak berasas.

Sebenarnya, aku berani mengatakan bahawa kelompok indie [sic] ini sebenarnya pengetahuan mereka tentang dunia sastera atau penulisan tanah air ini tidaklah sedalam mana pun. Selain mengheret DBP menjadi sasaran kritikan mereka ( yang ternyata tersasar), nama GAPENA dan PENA pun turut sama diheret mereka. Lalu mereka menyebut tentang dana lima juta. Tahukah mereka, apakah mekanisme yang digunakan oleh kerajaan dalam menyalurkan dana kepada GAPENA dan sebelum ini disalurkan kepada PENA? Sangat jelas mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Jika mereka tahu, tentunya nama GAPENA atau PENA tidak akan mereka babitkan sama. 

Satu lagi yang boleh dipersoalkan, adakah kelompok indie [sic] ini benar-benar menjadikan matlamat membudayakan pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya orang muda? Aku tidak pernah yakin bahawa itu ialah matlamat utama mereka. Matlamat utama mereka ialah, mereka menulis, mencetak dan menjual buku demi meraih keuntungan. Ya, keuntungan merupakan matlamat nombor wahid mereka. Kalau tidak, mereka tidak akan terpekik terlolong sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang baru berlalu. Mengapa mereka terpekik terlolong? Sebabnya mereka mendakwa bahawa mereka telah diletakkan di tempat yang tidak strategik, malah mereka memaki hamun BSN kerana meletakkan booth (khemah) mereka di hadapan pintu masuk dewan yang meletakkan reruai mereka. Kononnya ini menyebabkan pandangan pengunjung terhalang dan tidak nampak dewan yang meletakkan reruai mereka. Selain itu, mereka jugalah yang paling bising apabila pesta buk kali ini dipimdahkan ke MAEPS, Serdang, Selangor.  Mereka membuat bising dan terpekik terlolong tidak lain dan tidak bukan kerana keuntungan mereka menurun, bukannya disebabkan orang muda tidak boleh membaca buku! Mereka berselindung di sebalik nawaitu kapitalis mereka yang ghairah menokok untung.

Tak perlulah aku menulis panjang lebar lagi. Lagipun mereka yang mendakwa indie[sic] ini bukannya berminat sangat kalau nak berhujah secara rasional. Bagi mereka, kita tidak boleh menggunakan agama untuk mengingati sesama sendiri, tapi gunakanlah syaitan untuk mendapatkan duit!

Adios!

Monday, 23 May 2016

BILA HUJAN TURUN

Hujan, bila gugur ke bumi, tetap akan meresap ke dalam tanah. Tetap akan memenuhkan sungai. Tetap akan merimbunkan kembang. Dan tetap juga akan memenuhkan parit yang hanyir.

Sahabat yang turun dari gunung, setelah puas bermain di sumur. Setelah puas menangkap kicau. Setelah habis lelah di rongkong. Dan setelah kering erti tautan, tetaplah hanya setakat itu sahaja.

Ya, hanya setakat itu sahaja. Seperti hujan, ia tidak akan kembali ke langit....

Monday, 9 May 2016

HUJAN.

maka dengan apa yang harus diucap lagi, sedang alismu yang runcing hujung, tiba-tiba basah berembun kala hujan tak lagi ramah.

dengan apa lagi?


Tuesday, 26 April 2016

YANG HAPRAK SAMPAI KE SIKU

RADIO

"Saya tujukan ucapan ini ' Sedang buat aper tuuu?' kepada laki saya yang sedang memandu kereta."

"Awak tunggu laki awak kat rumah ke?"

"Tak la."

"Awak kat opis?"

"Tak la."

"Jadi, awak kat mana?"

"Kat sebelah laki saya lah."

         *macam palat!*


FACEBOOK

status: hari ni perut rasa tak sedap. makan smbl belacan masa lunch td kot....

komen 1: perot sya pn sakit jugak.

komen 2: a'a lah. saya pun.

komen 3: nasin baik saya ok jer. semoga awak chat. take care darl....

#adapun tukang tulis status dan pengomen 1, 2 dan ialah kawan sepejabat yang makan tenga hari bersama-sama di restoran asam pedas setiawangsa. dan masa mereka berbalas komen, mereka ada di pejabat. meja mereka sebelah-menyebelah.

               *macam palat dan palat dan palat*

Friday, 22 April 2016

SAJAKSAJAK PALSU SINAGANAGA





Dalam kelas Pak Dharma (Dharmawijaya atau Kamaruzaman Abdul Kadir [Allahyarham]), beliau ada berkata yang lebih kurang berbunyi, "Sajak sangat berbeza dengan prosa. Perbezaan itu terutamanya dari segi sukatan suku kata dan jumlah kata. Jadi, sebuah sajak yang baik ialah sajak yang sangat miskin dengan kata tetapi kaya dengan emosi." Yang saya fahami daripada kata Pak Dharma itu ialah, semakin ekonomikal sesebuah sajak, semakin baik sajak itu. Tapi dengan syarat, kata-kata yang dipilih itu mestilah kata sangat tepat, padat dan jelas dalam penyampaian tema dan persoalan-persoalannya. Dengan kata lain, sajak tidak perlu berjela-jela panjangnya. Sajak jangan sekali-kali jelmaan suatu prosa yang dipatah-patahkan barisnya, lalu disusun dalam suatu rangkap!

Apabila membaca Sajak-sajak Palsu Sinaganaga ini, gua teringat kembali akan kata-kata Pak Dharma. Sajak-sajak Palsu Sinaganaga memang kedekut dengan kata-kata.  Tapi kedekutnya Sajak-sajak Palsu ini turut melibatkan jumlah baris. Memang Sinaganaga ini kedekutnya, ya ampun!

Yang menariknya, walaupun pendek, sajak-sajak palsu ini bukanlah palsu yang plastik. Nilai seninya masih ada dan terkawal. Kalau diteliti secara rinci, jumlah kata yang ekonomikal ini jika dibaca/deklamasi akan menerbitkan iramanya. Bunyinya ala-ala terselit kemerduan. Lagu-lagu Hujan pun tidak semerdu dengan sajak palsu ini. Nah, kau nampak tak betapa geniusnya Jeneral, Si Penyajak Palsu ini!

Sepotong sajak yang dijadikan blurb, boleh dijadikan locus untuk mempertahankan hujahan di atas:

berjalan
mendatangi ku
dengan mata resah
dengan bahu cheetah
dengan igal si kucing birah
kau
menanyakan,
"lu ada lighter?"

Kamu semua nampak kegeniusan Sinaganaga menyusun baris dalam salah sebuah sajak palsunya ini? Kamu semua sudah kira berapa jumlah kata untuk setiap barisnya? Dan, kamu akan dapat merasai getar emosi yang datang perlahan-lahan, tetapi meletuskan  bunyi *pop* (alaaa...bunyi yang terhasil dalam salah satu uji kaji yang pernah engkau buat dalam makmal sains) pada akhir baris.

Isi cerita dalam sajak ini mudah sahaja, sebenarnya. Ia tentang seorang brader yang mungkin dah lama tak berasap. Brader tu ada rokok, tapi tak ada api. Jadi, brader ini tak bolehlah sedut hembus sedut hembus tembakau+nikotin+tar+60 bahan kimia lain, yang dibalut dalam sehelai kertas putih nipis. Dan lu cuba bayangkan betapa resahgelisahracau kepala hotak seorang perokok tegar apabila dia tak dapat menghisap rokok, sehinggakan segala cheetah dan kucing birah tersembul keluar!

Gua nak cerita panjang-panjang pun tak guna. Tapi, secara peribadi gua suka akan Sajak-sajak Palsu Sinaganaga ini. Gua tak payah duduk di atas kerusi malas, baca satu per satu sajak-sajak, kemudian jari telunjuk dan ibu jari mengusap-usap dagu untuk memikirkan, "Benda alah apa ler yang penyajak ni nak bagitau?"

Untuk Sajak-sajak Palsu oleh Sinaganaga ni, gua bagi 5 bintang. Sebabnya ialah:
1. Sajak-sajaknya sempoi.
2.  Walaupun pendek, sajak-sajak Sinaganaga ini sarat emosi.
3.  Cerita dalam sajak-sajaknya sangat dekat dengan kita.
4.  Diksi yang dipilih sangat padu.
5. Penulisnya ialah SINAGANAGA yang sangat pemurah menghulur barang sebatang dua Dunhillnya kepada gua.

BERHENTILAH SEKEJAP....

  Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang...