Monday, 12 April 2010

Sayangnya, Gua Tak Suka untuk Berlumba ke Garisan Penamat yang Sama.

Senja di Bangsar. Gua bertemua dengan-Nya di masjid Saidina Abu Bakar as-Siddik.
“Saya sudah sampai. Tapi saya mahu solat maghrib dulu,” gua bercakap dengan menggunakan bahasa SMS.
“Ok, I cuti . :)” dia pula berkata-kata dengan bahasa SMS.

Usai.
Gua menuju ke deretan warung. Dia kata dia sudah ada di situ. Macam selalu, dia akan melambai-lambai bila dia nampak gua. Dan macam selalu juga, lambaian dia gua akan balas dengan senyum.

“Papa kirim salam. Dia tanya kenapa U dah tak kontek dia,” dia kata.
Gua terbayang seorang lelaki yang sedang dipanjat usia. Seorang lelaki yang bergelar, tapi sangat marah bila gua memanggilnya “Dato’”!
“Kalau aku mati, aku akan menjadi tanah juga,” lelaki bergelar itu kata.

Gua senyum.
“Papa U sihat?” gua tanya.
“Sihat bagi seorang yang telah berumur.” dia pula kata.

Sambil membetul-betulkan anak rambutnya, dia bertanya “Macam mana U sekarang?”
“Macam nilah,” jawab gua.
“Macam dulu juga?” dia tanya lagi.
Soalan kedua darinya itu gua jawab dengan senyum.
Dia melihat gua, kemudian matanya berlari ke arah dada langit yang telah hitam pekat. Gua tau apa yang berada di dalam matanya. Sudah lama gua kenal dia. Dia tidak pernah melabuhkan tirai yang membataskan pengetahuan gua terhadap dia.

“U tahu kan, dari dulu lagi…” suara dia menjadi mati di situ. Frasa tersebut tidak lengkap untuk menjadi satu ayat. Tetapi gua dapat menangkap wacananya.
Gua senyap tanpa kata. Dia bermain-main dengan telefon tangannya. Matanya tunduk merenung telefonnya. Gua memandangnya dengan mata gua yang kosong.
Dan gua menghela nafas dalam keluhan yang entah ke berapa kali.

Malam itu di Bangsar, dada langit berwarna gelap. Tiada bulan di situ.

Jo Anne,
kalaulah hidup ini ialah satu permainan, maka gualah orang pertama yang akan berada di pinggir padang.


Wednesday, 7 April 2010

Nihil

Jika nama aku telah terpadam dalam diarimu, maka sesungguhnya aku telah terpadam dari kertas hidupmu.
noktah dan
nihil.

Thursday, 1 April 2010

Tiada Apa-apa



Tiada
samada

dulu

atau

hari ini

atau

besok pagi.

Memang
tiada.



Sebaik pintu aku buka, bangkai pipit berada di situ.
Pipit sudah mati...


Yang Bodoh dan Yang Gila

Kata pipit, “Hanya orang yang bodoh sahaja yang suka berterus-terang.”
Gua tengok pipit.
Pipit kata lagi, “Hanya orang yang gila sahaja yang suka berterus-terang”.
Pipit tengok gua.
“Apaaa?” gua tanya pipit bila gua tengok pipit tengok lama-lama kat gua.
“Hahahahaha…” kata pipit sambil terbang, jauh-jauh dan masuk ke dalam awan.

Sayup-sayup pipit kata, “Lu la tu woi..!!”

Hahahahahahaha….

Tuesday, 30 March 2010

NOKTAH

“Lu sudah tau?”
“Dulu gua tatau, sekarang gua sudah tau”
“Tau…?”
“Gua sangat tau sekarang,”

“Lu sudah faham?”
“Dulu gua tak paham, sekarang gua sudah paham”
“Paham…?”
“Gua sangat paham sekarang,”

Noktah.

*pling*

Friday, 26 March 2010

Meow..meow..meow...

Bila gua senyap, bila gua tak menconteng blog, bila gua tak buat apa-apa, bila gua menconteng pendek pada posting yang paling akhir, ada yang bertanya.
“Mengapa?”
Maka kata gua, gua malas. Gua malas nak menconteng. Gua malas nak menconteng kerana kadangkala contengan gua orang tak faham. Bila orang tak faham, orang membuat tafsiran yang pelbagai warna. Ada yang hitam, ada yang putih jernih.

Dude, sebenarnya macam ni:
Bila gua berjalan, gua jarang-jarang berpatah balik. Bila gua sampai ke destinasi, baru gua berhenti. Kalau gua lelah, gua akan duduk-duduk sahaja. Tapi gua tetap berjalan. Sama ada gua berjalan sambil bernyanyi, atau bernyanyi sambil berjalan, gua tahu gua sedang berjalan. Dan mungkin niat pertama pada langkahan pertama adalah untuk menuju ke destinasi yang gua jadikan destinasi. Tapi, di atas muka bumi ini ada pelbagai jalan dan lorong. Maka kalau gua sampai ke destinasi yang berbeza, gua tak akan terkejut.
“Mengapa?”
Jangan tanya gua mengapa sebab gua sendiri pun tak tahu. Rahsia yang sangat besar, barangkali.

Dude, gua nak pergi mencari kucing. Tapi kucing itu akan menaiki kapal terbang tak lama lagi!

Tuesday, 23 March 2010

HaLIMUnan

Jika
kamu
semakin jarang-jarang
melihat aku,
sebenarnya
aku
sedang belajar
untuk menjadi
halimunan.

Monday, 22 March 2010

Sujud

“Aku non muslim, bolehkah aku masuk?” dia bertanya. Langkahnya terhenti tiba-tiba. Betul-betul di hadapan pintu.
“Boleh, tiada masalah. Masuklah.”
Pintu surau dikuak, dua jasad itu terus masuk mengisi ruang surau. Banyak yang kosong. Surau yang sempit itu menjadi sangat luas akan kekosongan itu.
“Kau tunggu aku sekejap ya. Sekejap jer. Lepas itu kita ke library”
Dia senyum, sambil mengangguk-angguk kepala. Anak-anak rambut yang bermain di dahinya, dikuaknya sedikit. Tocang rambutnya dibetulkan dan dikemaskan.

Selama ini, dia belum pernah masuk ke surau. Dia hanya ke dewan gereja, menyanyi, berdoa dan memuja Jesus. Inilah kali pertama dia berada di dalam surau. Walau takut-takut [bimbang tidak dibenarkan sebenarnya], dia tetap berada di dalam surau kerana menemani rakannya untuk menunaikan solat.

Sambil menunggu, dia melihat-lihat rakannya itu menunaikan solat. Dia tidak terasa apa-apa. Hanya upacara ritual sahaja baginya. Tiada bezanya dengan apa yang dia lakukan sewaktu dia ke gereja. Melakukan ritual keagamaan.

Kemudian,
sewaktu kawannya sujud, dia terasa sesuatu.
“Waktu itu, aku terasa seperti ada air yang mengalir dalam tubuh. Nyaman dan menyegarkan,”
“Bila melihat dahi diletakkan di tempat yang paling rendah, aku dapat merasakan pengabdian hakiki makhluk terhadap Tuhannya.”
“Aku berkata dalam hati, inilah agama yang benar”

Kemudian,
dia ke sekolah seperti biasa. Tetapi sudah berperang dengan triniti yang dipercayainya selama ini. Buku-buku tentang Islam banyak yang diselongkar. Sedikit demi sedikit trinitinya mula mencair dan diganti dengan cahaya kebenaran.

“Dik, kakak sudah tidak percaya kepada agama ini.” Adiknya hanya mendengar kata-katanya itu.

Dan pada suatu masa yang lain, dia telah melangkah keluar dari rumahnya untuk mencari kebenaran dan dia tidak pernah berhenti semenjak hari itu.

Friday, 19 March 2010

a, b, c, d, E, f, g, h, i, J, k, l, m...

“Bro, lokasi?”
“Ofis”
“9.30 malam?”
“Ya”
“Buat apa”
“Tiada apa-apa”
“Tiada apa-apa?”
“Tiada”

“Bro!”
“Ya”
“Ada lu jumpa?”
“Ada”
“Lu buat apa?”
“Tiada apa-apa”
“Tiada apa-apa?”
“Tiada”

“Ada dia cakap apa-apa?”
“Ada”
“Apa?”
“Adalah”
“Ada?”
“Ada”

Dua aksara sedang datang…
dan gua kata “Welkam! Welkam!

Thursday, 18 March 2010

Aku Tiada Jawapan untuk Pertanyaan Kamu, Maaf!


Pic hasil karya S.R


“Kenapa?” kamu bertanyakan aku apabila aku memeluk kamu.Tiba-tiba.
Aku sendiri pun tidak tahu kenapa aku sangat suka memeluk kamu. Pada saat aku berbuat demikian, keikhlasan dan putihnya rasa itu dari jiwa kamu seperti meresap masuk ke dalam setiap pembuluh darah aku. Aku merasa yang kamu tidak akan pergi jauh-jauh dari aku kerana jasad kamu berada sangat hampir dengan jasad aku. Tiada sebarang aura kosong yang bertebaran di atas kepala aku atau juga di atas kepala kamu. Ketika itu.

Maka sebelum aku berkata apa-apa untuk memberi jawapan, aku sudahpun mengunci setiap patah kata, sebenarnya. Tiada kosa kata kosong tanpa makna yang bermain dan berlegar di atas permukaan tanah, di tengah angin atau di bawah dinding langit yang tujuh. Dan seperti seekor garuda yang baru pulang dari bermain dengan taufan, aku duduk-duduk menunggu di atas sebuah singahsana sambil memegang sebuah mahkota. Ketika itu.

“Kenapa?” kamu bertanyakan aku apabila aku memeluk kamu.Tiba-tiba.

Maaf untuk kamu kerana aku tidak ada jawapan kepada pertanyaan “kenapa?” yang kamu ungkapkan itu kerana sememangnya aku suka memeluk kamu.

Wednesday, 17 March 2010

Infiniti

“Sometimes…” kata pipit [cehhhh…pipit pun sudah mula mau beromong dalam bahasa PPSMI] “…hidup lu gua tengok seperti suatu permainan layang-layang.”

Dari dalam plastik kumal lutsinar berwarna merah muda, gua mengambil beberapa biji bunga matahari. Gua kopek dengan gigi depan gua. Isinya yang putih kekuningan gua kunyah dan telan. [Sebenarnya tidak perlu dikunyah isi yang putih kekuningan itu kerana jisimnya terlalu kecil, bisa ditelan begitu sahaja. Tapi itulah kehidupan, sudah ada norma yang tak tertulis tapi harus dipatuhi: sebelum dimasukkan apa-apa ke dalam perut, perlu dikunyah terlebih dahulu.]

Gua bersandar di atas kerusi plastik. Kedua-dua kaki, gua julurkan ke depan. Meletakkannya di atas palang pagar kayu. Pipit pula bertenggek di atas ranting, pokok kekabu.

“Woi, bro! Lu dengar ke tidak apa gua cakap tadi?” tanya pipit.
“Lu cakap apa?” gua tanya.
“Gua kata, hidup lu ni macam layang-layang!” kata pipit.
“Mmmm…layang-layang, I like it…hahahaha!” gua kata dalam lelucon.
Pipit memulas-mulas sayapnya, dan meletakkannya di pinggangnya yang sangat kecil. Aksi marah, kononnya.

“Lu dengar sini, lu macam layang-layang. Di biarkan lepas bermain angin di atas. Tapi lu tak boleh pergi ke mana-mana. Lu hanya boleh bermain angin di situ sahaja. Bila lu cuba pergi ke kanan, angin-angin menarik lu ke kiri. Bila lu cuba pergi ke kiri, angin-angin akan menarik lu ke kanan pula. Kemudian lu statik. Lu mau naik ke atas mencari angin dan bermain dengan angin yang tinggi, tali lu akan terentap ke bawah. Bila lu mau turun ke bawah, mencari padang untuk berlabuh, tali lu pula dilepaskan.” kata Pipit. Bulat mata Pipit memandang gua.

Gua tengok pipit. Gua kata, “Pit, gua tengah melihat. Gua sedang belajar. Belajar untuk lebih memahami. Membuat sesuatu secara huhahuhah tidak akan membawa gua ke mana-mana. Sebab itu lu tengok gua seperti statik.”

“Huhhh…!” kata Pipit.
Pipit terbang, semakin lama semakin jauh dan kemudian ditelan ufuk langit.

Dari dalam plastik kumal lutsinar berwarna merah muda, gua mengambil beberapa biji bunga matahari. Gua kopek dengan gigi depan gua. Isinya yang putih kekuningan gua kunyah dan telan.

Lagi.

*PAUSE*

BERHENTILAH SEKEJAP....

  Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang...