Wednesday, 10 February 2010

Kita akan hidup dan bernafas dengan kasih sayang.

Lelahnya yang terperangkap, telah dibebaskan.
Ayahnya, masih di bendang. Sekejap lagi matahari akan semakin tinggi. Sebentar tadi dia menyuap nasi bersiram air garam. Dia tidak mahu ayahnya turut menyuap nasi yang sama. Nasi dan air garam sahaja. Dia tahu, ayahnya sudah lama merasainya. Jauh lebih lama daripadanya.

Dia turun. Dengan serawan jala di tangan, dia menuju ke sungai. Hatinya berbunga harapan. Setidak-tidaknya ayahnya nanti akan ada lauknya untuk hidangan tengahari. Naluri dan kasih seorang anak yang baik sepertinya, tidak mahu ayahnya menyuap nasi tanpa ada apa-apa lauk.

Di sungai, dia menebar jala. Dia menebar jala seperti menebar nasibnya.

Matahari semakin tinggi. Sekejap lagi tentu ayahnya akan pulang dari bendang. Tapi jala itu masih kosong, tidak memberikannya apa-apa.

Dia menebar dan terus menebar.

Tebarannya yang terakhir membuahkan rezeki. Seekor ikan toman yang membawa anak terperangkap di dalam jala rezekinya. Sangat besar toman itu. Dia tahu toman itu sangat besar kerana dia sempat melihat toman itu melompat sehingga ke pucuk jala. Dia mula terbayang-bayang gulai ikan toman untuk hidangan ayahnya tatkala makan tengahari nanti.

“Kalu bulih ikan hok besar, jala itu mesti kito rendam dulu. Baru ikan itu terperangkap baru ikan itu tak terlepas,” dia teringat akan pesanan orang-orang tua.

Dia merendam jala. Dia berharap agar toman itu akan turut sama berada di dalam jalanya dan tidak akan pergi ke mana-mana. Demi mendapatkan lauk untuk ayahnya, dia bersabar dan merendam serta menanti jala itu terendam dalam sungai. Dia melihat arus sungai itu. Arus sungai itu seperti sebuah jalan kehidupan. Kadang-kadang tenang, kadang-kadang beralun. Selalu sahaja membawa segala sampah sarap apabila musim tengkujuh tiba.

Hampir sejam jala terendam. Kemudian dia menarik jala itu perlahan-lahan. Toman yang terperangkap bergelut untuk melepaskan diri. Dia menarik jala itu dengan harapan.

Toman yang terperangkap itu masih bergelut untuk melepaskan diri. Sudah hampir benar toman itu untuk dicapainya. Sangat hampir.

Tiba-tiba toman bawa anak itu melompat. Sangat tinggi dan kuat. Pucuk jalanya tidak mampu menahan asakan toman itu. Koyak pucuk jala itu. Toman bawa anak berjaya melepaskan diri. Dia melihat pucuk jala yang koyak itu dengan hatinya yang turut sama terkoyak. Toman yang melepaskan diri itu telah membawa lari harapannya. Dan jauh lebih pedih untuknya, ayahnya tentu tidak ada lauk untuk dijadikan juadah tengahari nanti.

Dia melangkah dengan langkah yang kosong. Sama seperti nasi kosong yang baru disuapkannya pagi tadi.

“Lagu lagu mano pong, aku nak cari jugok lauk ko ayah aku,” kata dia dalam hati.

Dia kemudiannya menuju ke permukaan sungai yang deras airnya. Selalunya akan adalah ikan-ikan yang bermain di situ.

“Mitak-mitak ado la rezeki aku sini,” kata dia dalam hati.

Dia menebarkan jalanya. Dia menariknya perlahan-lahan. Dia melihat jalanya. Ada 3 ekor ikan haruan di dalamnya, sebesar lengan budak 7 tahun.

Dia tersenyum. Ada kepuasan pada senyumannya. Toman bawa anak yang terlepas tadi telah berganti dengan 3 ekor haruan.

Dia terus pulang ke rumah. Terus dihulurkan ikan itu kepada ibunya. 3 ekor haruan itu dimasak gulai kuning daun kadok, kegemaran ayahnya.

Dia terbayang-bayang wajah ceria ayahnya yang akan kekenyangan kerana menikmati ikan haruan gulai kuning daun kadok. Dia merasa sangat puas.

Dia puas kerana dapat menggembirakan ayahnya. Menggembirakan ahli keluarganya yang lain.

Petang itu dia makan lagi. Kali ini dengan ayahnya. Dengan ahli keluarganya yang lain. Kali ini dia tidak makan nasi kosong bersiram air garam lagi, seperti yang dia makan pagi tadi.

Dia sangat gembira melihat ayahnya gembira.

Cuaca petang itu semakin meremang. Dia merasai angin segar petang itu dengan hati yang sangat lapang. Dia datang dari keluarga yang miskin harta, tapi kaya dengan kasih sayang.

Kita akan hidup dan terus bernafas dengan kasih sayang.


Dedikasi untuk Cikgu Mat Daud Ibrahim,
SM Sandakan 1998-2002

Perempuan yang Gua sayang itu telah pergi meninggalkan gua

Perempuan itu memang gua sayang. Sangat gua sayang. Gua banyak habiskan masa bersama dengan dia. Selalu juga gua mencium pipi dan dahinya. Ke mana gua pergi, ke situ juga dia pergi.

Memang gua sayang dia. Gua sangat sayang perempuan itu.

Gua dengan dia berkongsi rasa yang sama. Kalau gua menulis, dia juga akan menulis. Kalau gua membaca, dia juga akan membaca.

Ke mana dia pergi, gua akan pergi.

Tapi sekarang dia sudah pergi, tapi gua tak boleh pergi ke tempat dia pergi.

Perempuan itu pergi tanpa sempat gua mencium dahinya, atau mengusap pipinya. Gua tak sempat pun mengucapkan selamat tinggal untuk dia. Dia pergi terlalu awal dan cepat. Gua tak sempat menangkap tanda ucap selamat tinggal daripadanya. Dia pergi dan tinggalkan gua begitu sahaja.

Yang terdaya gua buat hanyalah mengusap pasir di pusaranya. Yang mampu gua buat hanyalah memperelok pusaranya. Gua tanam pohon kemboja untuk meredupkan pusaranya. Gua tau, di dalam pusara itu ada jasad perempuan itu, perempuan yang gua sangat sayang. Perempuan yang gua sayang itu pergi dengan bayi yang sedang dikandungnya.

Adik perempuan gua, dia pergi sangat cepat dan tiba-tiba, tanpa gua bersedia apa-apa.

Adik perempuan gua, dia telah pergi, tapi gua tak boleh pergi ke tempat dia pergi.

Tuesday, 9 February 2010

Nasinya kosong, jiwanya tak kosong

Pagi hari Jumaat. Embun pun masih basah di rumput dan di lalang.

Sejak awal pagi, dia sudah berada di bendang. Ayah dia pak tani. Maka dia harus menjadi seorang anak kepada pak tani. Selut di bendang ialah mainannya. Air bendang yang masam ialah mainannya. Segala jenis lintah ialah alat mainannya.

Dia ke bendang dengan hanya beralaskan nasi dingin lebihan semalam.

Menjadi anak kepada seorang yang mengais rezeki di bendang menjadikannya seorang anak yang menumpahkan rasa belas kepada ayahnya. Ayahnya tidak pernah meminta dia berada di bendang, bermain dengan selut dan lumpur. Tapi jiwa dan rasa seorang anak ialah anugerah Tuhan yang paling bernilai. Dia harus berada bersama dengan ayahnya di bendang. Membantunya mengais rezeki.

Pagi itu, ayahnya membajak sawah. Maka dia juga harus membajak sawah. Menumpahkan segala keringat di bendang. Dia sangat puas kerana, itu ialah alam ayahnya dan dia turut sama merasai alam tersebut.

“Kamu pulanglah dulu, hari sudah tinggi. Panas di sini,” kata ayah kepada dia. Kasih seorang ayah…tidak mahu anaknya dibakar panas matahari.
“Banyak lagi, tentu ayah penat mengerjakannya seorang diri,” kata dia. Kata-kata seorang anak yang sangat kasih akan ayahnya. Seorang anak yang tidak mahu ayahnya berpanas sendirian mengerjakan sawah yang tidak seluas mana.
“Tak apa, kamu balik dulu. Panas ni,” kata ayah dia lagi.

Dia melangkah perlahan-lahan. Pulang. Sambil berjalan, dia sempat melemparkan pandangan kepada susuk tubuh ayahnya di tengah bendang.

Dia mendongak. Matahari semakin tinggi. Hawa semakin membahang.

Tenaga dan keringat yang ditumpahkan di bendang sebentar tadi, menjadikannya sangat lapar. Sangat lapar.

Sesampai di rumah, dia terus menuju ke dapur. Kakinya masih berselut. Tangannya masih berselut. Di rambutnya ada selut.

Dan dia berasa sangat lapar.

Dia membuka tutup saji. Ada nasi. Nasi sahaja tanpa lauk. Dia mencari-cari kalau-kalau ada lauk. Tapi dia hanya mencari sahaja, lauknya memang tiada.

Dia keluar dari dapur, menuju ke bawah rumah. Terbongkok-bongkok mencari-cari nasibnya di situ. Dia hanya berharap agar adalah sebiji dua telur ayam yang boleh digoreng untuk dijadikan lauk. Tapi dia tak berjumpa apa-apa. Kosong, tiada apa-apa.

Dia naik ke rumah dan menuju ke dapur. Melihat nasi kosong tanpa ada apa-apa lauk.
“Tak apalah, nasi kosong sahaja,” kata dia.
Dia menyuapkan nasi kosong itu ke dalam mulutnya. Bau selut yang datang dari tangan, dari kaki, dan dari rambutnya bercampur gaul dengan aroma nasi kosong.
Dia menyuap dan menelan nasi kosong itu, satu satu. Hinggalah suapan yang seterusnya, dia tidak mampu lagi untuk menelannya. Sangat kosong nasi itu. Tiada rasa apa-apa. Dia berhenti menyuap. Bukan dia tidak bersyukur dengan nasi kosong itu, jauh sekali merintih sedih kerana hanya ada nasi kosong. Tidak sama sekali.

Di atas para-para, terdapat bekas berisi garam. Dia ambil semangkuk air. Garam dikacau sehingga larut. Air garam itu dia jiruskan di atas nasi kosong itu.
“Biar ada sedikit rasa,” kata dia dalam hati.

Dan dia makan nasi yang disiram air garam itu sehingga habis. Air garam sahaja. Tanpa lauk, tanpa ada apa-apa.

“Tuhan, kalaulah ini rezeki yang Engkau anugerahkan kepada aku, aku amat bersyukur,” kata dia dalam hati.

Dia kemudiannya bersandar di penjuru rumah. Dia merenung pinggang kosong yang sebentar tadi berisi dengan nasi kosong yang bersiram air garam.

Pinggang itu kosong. Nasi yang dijamahnya sebentar tadi juga kosong. Tapi jiwa dia tidak kosong. Dia memang miskin kerana ayahnya hanyalah petani yang tidak punya apa-apa. Tapi dia sentiasa percaya, kemiskinan bukanlah untuk diwarisi. Dia harus keluar dari lingkaran kemiskinan itu. Dia tak mahu ayahnya menghabiskan sisa umurnya di bendang.

Sambil bersandar, dia teringat-ingat akan nota-nota yang terpaksa disalinnya sendiri. Untuk mendapatkan sebuah buku rujukan baginya, umpama meniti di atas bendang sawah padi yang sangat kecil. Lunyai dan berselut.

Dia terus bersandar di penjuru rumah. Kemudian merebahkan badan untuk membebaskan lelah yang terperangkap.
Dia memejamkan matanya.
Matanya terpejam, hatinya tetap dibuka.

Matahari semakin tinggi. Hawa semakin panas. Sebentar lagi ayahnya akan pulang.

Dedikasi untuk Cikgu Mat Daud Ibrahim
Smk Sandakan 1998-2002

Metal Health

Gua ada banyak cerita yang nak conteng. Tapi gua nak kena tunggu dulu. Gua nak jadi kotak. Gua nak cari kepala gua. Kalau gua ada kepala, baru gua boleh menconteng.

Sori dude!



pic sedekah amal jariah daripada mas mohd yunus

Percubaan Berani Mati

Dalam percubaan berani mati untuk menjadi kotak.

Sunday, 7 February 2010

Janji yang tersimpan dalam kotak.

Senja. Langit beransur gelap.

Dia kata," Nanti kalau u dengar apa-apa cerita yang tak baik tentang aku, apa yang akan u buat?"
Gua senyum dan kata, "Tak akan ada apa-apa."
"Walau apapun ceritanya?" dia tanya.
Gua angguk.

Gua menarik rasa jauh ke dalam. Kemudian rasa itu tersimpan, juga jauh ke dalam.

"Tentu nanti ada kisah yang macam-macam tentang aku," dia kata.
"Saya dah mendengarnya," kata gua.
"Tentu banyak lagi yang u tak dengar," kata dia. Perlahan.
"Yang awal dan yang akhir sahaja yang saya mahu. Yang di tengah-tengah, saya tak mahu," kata gua. Gua senyum.
"Asal sahaja u tak berpatah pada bahagian tengah, bagi saya itu sudah memadai," gua sambung lagi.
"Promise?" dia tanya.
Kepala gua, gua angguk.
"Thanks," dia kata lagi.

Kemudian, langit senja itu semakin gelap. Selepas itu,janji gua, gua simpan dalam kocek baju gua sebelah kanan. Dan janji dia, dia bawa pergi bersamanya.

Selepas senja tamat, dan malam mengetuk, dia pergi. Gua terlihat akan janji-janji yang dia bawa itu telah tercicir. Sepanjang jalan. Dia yang mengatur janji, dan dia yang telah mencicirkannya.
Gua kutip dan gua ambil janji yang dia tercicir.
Gua simpan di dalam kotak.

Malam itu sangat gelap. Dinihari pula sangat lama untuk datang membawa embun.

Dari Gua Layan Pengtau, Bagus Gua Layan Megadeth



Gua dah lama layan megadeth. Dulu masa di SMK Sandakan, budak-budak dia tengah gila layan 4u2C, Nico, dan tah apa-apa lagi. Sekali bila gua layan Megadeth dalam kereta, durang terkedu. Pehal cikgu ni dengar lagu pecah kapal! Megadeth ni gua suka bila Dave buat rifting.

Dan Nirvana ni kira yang paling sendu yang gua layan. Gua suka cara Kurt ekpsresikan lagu melalui vokalnya.

Sepuluh ringgit itu sangat besar nilai untuk orang sepertinya.

“Bila kamu mahu bayar duit asrama ni?” tanya cikgu itu kepada dia. Suara cikgu itu keras, tiada segaris senyum pun. Ada cikgu-cikgu lain yang menumpang lihat. Yang lain menumpang dengar.
“Nantilah cikgu, saya belum ada duit lagi,” kata dia. Sayu pada suaranya.
“Kamu kena bayar cepat. Atau kamu tiada lagi tempat di asrama,” kata cikgu itu, tetap dengan suara yang tebal.

Dia. Melangkah keluar dari bilik guru. Hatinya sebak. Kerana sepuluh ringgit, dia dihambat oleh rasa yang sangat resah.

Petang itu, dia diam-diam keluar dari asrama. Destinasinya ialah bandar Sandakan, ke tempat neneknya menjaring rezeki.

“Nek, saya perlukan duit,” kata dia. Suaranya pahit keluar dari kerongkongnya. Dia tahu, nilai sepuluh ringgit amat besar bagi seorang nenek tua yang berjualan secara kecil-kecilan.
Neneknya memandang dia dengan mata yang sayu. Mata tua neneknya telah memberikan jawapan. Dan dia sudah tahu apa jawapannya.
Sebuah bekas tempat menyimpan hasil menjaring rezeki dibuka tutupnya. Yang ada beberapa helain wang kertas yang tidak seberapa.
“Nenek ada lima ringgit sahaja. Hasil jualan hari ini,” kata neneknya. Sayu lagi. Sangat sayu.
Dia memandang neneknya. Terjatuh air mata dari kelopaknya.
“Kamu jangan risau. Nanti nenek pinjam dari orang lain,” neneknya memberikan dia bunga harapan.

Pause

“Nah, ini duitnya. nenek pinjam dari kawan nenek,” kata neneknya. Dia mengambilnya dengan rasa yang gundah. Kerana sepuluh ringgit, neneknya terpaksa berhutang. Tapi dia tahu, dia tidak mempunyai banyak pilihan. Sepuluh ringgit itu harus diambilnya walaupun dia tahu itu adalah harga maruah seorang nenek tua yang terpaksa berhutang. Dia juga harus mengambil sepuluh ringgit itu supaya dia tidak lagi diherdik seperti seorang yang tidak punya apa-apa yang dipanggil maruah dan harga diri.
****
Betapa.
Betapa kerana sepuluh ringgit, rasa hormat seorang guru kepada seorang pelajar remaja seperti tiada nilai.
Betapa.
Betapa ‘bangga’ seorang guru kerana berjaya menjadikan pelajar itu takut akan dirinya. Mungkin guru itu tidak sedar yang rasa takut seorang pelajar kepada gurunya tidak seharusnya ada. Rasa takut itu seharusnya diganti dengan rasa hormat.



Dan gua,
Gua melihat betapa bernilainya sepuluh ringgit bagi manusia yang tak punya apa-apa. Hidup sekadar mengais rezeki Tuhan yang tidak seberapa. Tapi masih mampu menyekolahkan cucunya dengan kudrat tua.
Dan gua cuba meraup titis air matanya untuk dirasa pada hati.

Jolyena, air mata kamu yang terjatuh waktu itu sebenarnya lebih bernilai dari manik-manik intan...

Friday, 5 February 2010

Pipit yang sesumpah.

Seekor sesumpah, melintas dan statik di depan gua. Gua letakkan mata gua pada sesumpah itu.
“Dude, apa lu buat?” sesumpah tanya gua.
Gua senyap. Mata gua masih lagi pada sesumpah.
“Lu tak kenal gua?” sesumpah tanya gua lagi.
“Tak,” jawab gua.

“HAHAHAHA… “kata sesumpah.
“Yesssss…” kata dia lagi. Tercungit-cungit ekornya. Kepak dilehernya dikembang-kembangkannya. Lidahnya keluar masuk dari mulut.

Gua diam.
Sesumpah itu masih di hadapan gua. Menari-nari di atas ranting kapas. Melompat ke sana. Melompat ke sini.

Tiba-tiba *pling*… sesumpah itu bertukar menjadi pipit.
“Lu ke tu pipit?” gua tanya.
Yup…it’s me!” kata pipit.

“Kenapa lu jadi sesumpah?” tanya gua.
“Gua dah penat la bro. Lari ke sana. Lari ke sini,” pipit kata. Matanya tiba-tiba nampak letih bila dia sebut ‘penat’. "Sebab tu gua memilih untuk menjadi sesumpah,” kata pipit.

“Lu tau apa lebihnya sesumpah?” tanya pipit.
Gua geleng-geleng kepala.
“Sesumpah ni, boleh bertukar-tukar warna badannya. Kalau gua pegi ke rimbunan daun-daun, badan gua boleh menjadi hijau. Kalau gua bermain dengan api, gua boleh menjadi merah. Kalau gua bermain ombak, badan gua boleh menjadi biru. Seronok.” kata pipit. Gua mendengar.

“Kenapa lu buat macam tu?” gua tanya.
“Alam yang minta gua menjadi begitu. Gua hanya mengikut permintaan alam,” kata pipit.

“Oh..” kata gua.
Semasa gua berkata ‘oh’ gua lihat pelangi yang kehilangan satu garis warnanya.

Sewaktu gua melihat pelangi yang kehilangan satu garis warnanya, pipit itu terbang lagi. Dan gua tak sedar bila pula pipit meninggalkan gula-gula kapas kat tapak tangan gua.

Gula-gula kapas itu kat tangan gua. Mula mencair.

Dan tangan gua melekit kerana gula-gula kapas itu.

Hidup, roda yang berpusing, tak berhenti

Setiap malam, gua akan merayau bagaikan langsuir kehilangan tuannya. Gua akan merayau-rayau dari satu hati ke satu hati, dari satu kehidupan ke satu hidupan. Ada hati yang kapas, ada hati yang lumpur. Ada kehidupan yang berdarah, ada kehidupan yang diselimuti sutera paling indah.

Setiap pagi gua akan merantau. Dari satu ufuk ke ke satu ufuk. Kadang-kadang gerimis tumbuh di celah-celah sinar membahang matahari. Kadang-kadang kemarau datang pada musim tengkujuh.

Setiap petang, gua akan bermain-main. Kadang-kadang dengan ikan-ikan emas yang santai di akuarium, kadang-kadang dengan anjing-anjing yang rakus menyalak.

Malam - pagi - petang - malam …. hidup satu putaran. Susah untuk diteka apa yang akan hadir pada esok hari.

“Woiii…tidurlah,” kata pipit.
“Lu dari mana?” gua tanya.

Pipit tak menjawab soalan. Pipit terbang selepas gua berkelip, laju menyongsong angin.

Kata Sarasandakan kat gua

Kata Sarasandakan:

"CM sanggup kembali ke sandakan....tgk dia menjejaki kenangan lalu sepenuh hati...yg korang tak tau.........jiwanya duka....jiwanya nestapa...hatinya sedih dan bimbang...lukanya tertoreh kembali....senyuman terpaksa....ketawanya sinis berselindung duka...hatinya bergelora.....harapannya menggunung........kakinya menapak setiap inci bumi sandakan, matanya memandang setiap ruang, akalnya dipenuhi seribu kenangan pahit dan manis.....jauh di sudut hatinya.....dia MENYESAl menapak jauh ke destinasi lain....akhirnya.....titisan gugur di sebalik kaca, kaca, kaca nya.....heheheheh........."


Kata gua:
Bila gua balik Sandakan, gua balik ke akar gua semula. Akar yang berselirat dengan pelbagai rencam. Memang gua menjejaki apa-apa yang gua tertinggal. Sandakan berada hati gua pada ruang yang paling dalam. Di Sandakan, gua menjadi manusia. Bila gua kata gua menjadi manusia, tak ramai manusia yang dicipta Tuhan faham dan tahu apa yang gua maksudkan. Dan lu, Sarasandakan memang faham. Sebab apa? Sebab kita datang dari satu gelanggang. Kita dari satu mahaguru. Bunga silat kita adalah sama. Jadi kerana itu, bila lu menjeling kat gua, gua tak rasa apa-apa. Sebab gua tahu, lu cuba tolong gua.
Memang gua telah tersilap memilih destinasi. Gua tidak sepatutnya meninggalkan destinasi itu. Bila lu kata gua tersilap tuju, memang gua akui. Bila gua tersilap dan tersesat, lu pegang tangan gua, dan kata "Jangan pergi ke sana, datang ke sini". Memang gua ikut cakap lu, cuma lu yang tak nampak yang gua ikut laluan yang lu cakapkan.

Sarasandakan,
Lu memang sahabat gua. Gua perlukan sahabat macam lu. Gua dan lu mesti meneruskan pemburuan kita. Lu dengan gua tidak boleh berhenti memburu. Lu tahukan, sebenarnya kita memburu di padang yang sama?

BERHENTILAH SEKEJAP....

  Apabila kita berundur beberapa tapak, bukanlah maknanya kita sedang menerima kekalahan. Ibarat satu pertempuran yang sengit, kadang-kadang...